Thursday, October 29, 2009

Teater Cuci disabotaj?




RASA bangga sekejap bila melihat kejayaan artis tempatan kita, Hans Isaac menerbitkan teater Cuci The Muzikal (CTM) yang begitu gempak!

Sampaikan Marilyn pun begitu bersemangat menguar-uarkan teater tersebut kepada rakan-rakan tidak kira melalui telefon, Facebook, Myspace, Friendster dan Twitter.

Namun, ketika seronok berbicara tentang teater CTM dengan teman-teman, salah seorang daripada teman Marilyn berkata sepanjang latihan CTM, ada sahaja perkara yang tidak elok terjadi.

"Aku kesian tengok Hans, ada saja yang tak kena. Setakat ini orang cuma tahu yang Hans pengsan waktu sesi latihan dijalankan. Tetapi, sebenarnya banyak lagi perkara pelik berlaku.

"Yang terbaru, hari kedua pementasan CTM, tiga tayar kereta Hans dipancitkan oleh pihak tidak bertanggungjawab. Macam-macam hal yang boleh membuatkan seluruh team produksi jadi menggelabah.

"Tak cukup dengan itu, Afdlin Shauki pun ada problem juga. Tiba-tiba tak ada suara nak nyanyi.

"Sebelum ini pula, hampir separuh pentas terbakar, nasib baik tak banyak barang yang rosak. Itu boleh tahan lagi, tapi bila sudah melibatkan nyawa takut juga.

"Bayangkan, pentas Istana Budaya canggih yang boleh bergerak naik turun itu, salah seorang penari terjatuh dari pentas setinggi empat meter. Ngeri!" cerita teman Marilyn menyebarkan 'rahsia' besar CTM.

Tambahnya lagi, beberapa pelakon tambahan juga mengalami kecederaan seperti terseliuh kaki dan macam-macam hal yang tidak pernah dijangkakan.

Kenapa sampai macam itu sekali? Tak fahamlah pulak Marilyn. Tetapi menurut teman itu mungkin serba sedikit ada kaitan dengan sikap krew produksi sendiri.

Mana tidaknya, khabarnya mereka berlatih tidak kira masa sehinggakan setiap kali azan berkumandang, langsung tidak ada rehat, terus berlatih saja. "Sampaikan pihak IB pula sengaja menguatkan suara azan di TV supaya mereka faham dan berhenti seketika tanda hormat. Bila kita buat tak endah kepada hal-hal seperti itu, macam-macam boleh berlaku," ujarnya.

Aduh! Takutnya dengar! Tak sangka pula CTM ada macam-macam masalah sebelum pementasan, tetapi Hans tidak pernah pula mengadu atau mengeluh tentang masalahnya itu. Biasalah, hero akan anggap semua itu cabaran yang akan mematangkan.

Apapun, syabas buat Hans, kerana berjaya menerbitkan CTM walaupun terpaksa melalui pelbagai dugaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: