
PARIS - Presiden Nicholas Sarkozy mendakwa anak lelakinya, Jean Sarkozy menjadi mangsa tuduhan membuta tuli berhubung permohonan pemuda berusia 23 tahun itu bagi menjadi pengerusi sebuah agensi yang menguruskan sebuah kawasan perdagangan utama di Perancis.
Beliau yang diminta mengulas mengenai kecaman media terhadap anaknya berhubung isu itu berkata, adalah tidak wajar mengkritik seseorang secara melampau dan membuta tuli.
"Anda (media) sibuk mencari kontroversi dan kadangkala sengaja mencetuskannya. Saya pula terpaksa menyelesaikan masalah negara dan melakukan pembaharuan," katanya kepada pemberita semalam.
Berita bahawa Jean yang merupakan pelajar jurusan undang-undang hampir pasti dinamakan sebagai pengerusi sebuah agensi yang mengurus tadbir pembangunan kawasan La Defense kerana mendapat sokongan bapanya itu mencetuskan bantahan daripada banyak pihak.
Menjelang semalam, lebih 40,000 orang menandatangani satu petisyen meminta anak lelaki presiden itu yang dipersendakan sebagai Putera Jean menarik balik permohonan tersebut.
Parti pembangkang utama Perancis iaitu Parti Sosialis pula membuat gesaan rasmi agar Sarkozy melupakan rancangan melantik anaknya itu dengan alasan ia telah menjadikan Perancis sebagai bahan ketawa oleh negara-negara demokrasi lain.
Bagaimanapun, para penyokong Sarkozy membidas kecaman tersebut apabila bekas menteri, Charles Pasqua menyifatkan bahawa Jean cukup matang bagi mengisi tugas itu manakala jurucakap kerajaan menegaskan bahawa pemuda tersebut berhak memilih kerjayanya sendiri.
Jean turut melahirkan rasa tidak puas hati berhubung kritikan bertubi-tubi terhadap dirinya.
"Perlukah saya menarik diri daripada pemilihan tersebut semata-mata kerana status bapa saya. Saya hanya meminta hak saya sebagai seorang warganegara," katanya dalam satu wawancara di sini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: