Wednesday, October 14, 2009

Liam cintakan sisi wanitanya


LIAM GALLAGHER


DI saat peminat sering melihat vokalis kumpulan rock terkenal Oasis, Liam Gallagher muncul di khalayak dengan gaya dan penampilan lelaki sejatinya, rupa-rupanya dia juga punya sisi wanita yang tidak diketahui umum.

Bukan itu sahaja, Liam tanpa berselindung turut mendedahkan bahawa dia cukup mencintai sifat wanita yang ada dalam dirinya kepada masyarakat.

Enggan lagi mengambil peduli dengan sikap atau kata-kata skeptikal daripada orang lain, Liam berbangga kerana dia menyukai dunia fesyen, membeli-belah dan mempunyai label pakaian miliknya, Pretty Green.

"Saya tidak kisah dengan pandangan orang luar yang mengaitkan perkara kurang enak apabila golongan lelaki memiliki minat terhadap dunia fesyen.

"Kenapa saya perlu malu dengan cakap-cakap sinis khalayak, sedangkan saya sendiri rasa yakin apabila dikurniakan sedikit sisi wanita dalam diri. Ini antara anugerah yang paling bernilai dalam diri saya.

"Sekarang saya tidak mempedulikan langsung kata-kata orang lain yang menempelak saya dengan bermacam-macam jolokan.

"Lagipun saya bukan pereka fesyen. Saya sekadar melancarkan label sendiri apatah lagi saya menyukai fesyen terkini," katanya kepada Contactmusic baru-baru ini.

Gallagher, 37, yang selalu mengadakan persembahan jelajah di seluruh dunia dengan Oasis sering mencuri-curi masa untuk membeli-belah dan mendapatkan maklumat terbaru tentang fesyen.

"Sifat saya ini cukup berbeza dengan abang saya, Noel yang baru saja menarik diri daripada kumpulan Oasis sebagai pemain gitar baru-baru ini.

"Saya tidak boleh duduk dalam bilik sepanjang masa tatkala berada di negara orang tidak kiralah sama ada mengadakan persembahan mahupun bercuti.

"Bahkan saya sendiri tidak mengerti apa yang Noel buat dalam bilik seorang diri. Barangkali dia berpakaian wanita dalam diam atau apa-apa saja. Siapa tahu dia juga ada sisi wanita sama seperti saya?

"Tetapi saya akui saya lebih suka keluar daripada memerap sepanjang waktu dalam bilik. Kalau balik ke tempat penginapan sudah tentunya saya membawa banyak beg kertas gara-gara gila membeli-belah," jelasnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: