Saturday, October 17, 2009

Peserta Sehati Berdansa perlu ikhlas


HOS Sehati Berdansa musim ke-3, Awal, Scha dan Fahrin.


MEMASUKI musim ketiga, program realiti tarian terbitan Astro, Sehati Berdansa sudah pun mengumumkan kemasukan pengacara barunya, Scha Al-Yahya dengan gandingan Fahrin Ahmad dan Awal Ashaari. Selain daripada pembaharuan itu, apa yang sering dinanti-nantikan oleh penonton seperti dua tahun sebelumnya adalah pasangan selebriti yang akan terlibat sebagai peserta.

Tahun ini, hanya sembilan pasangan selebriti akan berentap untuk bergelar juara berbanding 10 pasangan pada musim sebelumnya. Namun, kekurangan satu kumpulan bukannya bermaksud Sehati Berdansa tidak mendapat sambutan.

Malah sebenarnya lebih 30 selebriti telah memohon untuk menyertai musim terbaru ini. Cuma apa yang menjadi syarat utama untuk memasuki Sehati Berdansa adalah komitmen masa. Itu yang menyebabkan ramai selebriti tidak berpeluang untuk menjadi pesertanya.

"Setiap tahun, kami tidak mempunyai jumlah peserta yang ditetapkan. Selepas membuat perbincangan dengan pihak produksi, kami merasakan angka sembilan cukup untuk hidangan musim ini. Lagipun bukan senang untuk mencari pasangan berwarna-warni.

"Walaupun ramai yang menunjukkan minat, tapi kami perlu merisik terlebih dahulu mengapa mereka mahu menyertai Sehati Berdansa. Selain daripada komitmen, mereka perlu ikhlas dan bertanggungjawab terhadap badan kebajikan yang diwakili," kata Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul pada sidang media memperkenalkan kesemua sembilan pasangan peserta Sehati Berdansa.

Memulakan pencarian sejak bulan April lagi, sembilan pasangan selebriti yang dipilih tahun ini dilihat kurang popular berbanding tahun sebelumnya.

Mereka ialah Sazzy Falak dan Nazril Idrus, Mirnawan Nawawi dan Noorah Mokhsin, Didie Alias dan Nor Isham Ismail, Sein dan Noor Diyana Muhammad, Oshin dan Mohd Firdaus, Isma dan Zulkefli Majid, Anita Baharom dan Mohamad Ismadi, Dira dan Ash serta Enot dan Zainul Abidin.


SAZZY dan Nazril


"Mereka bukannya tidak popular tetapi dikenali pada bidang masing-masing. Seperti yang dikatakan sebelum itu komitmen artis amat penting untuk program ini. Mereka perlu mengorbankan masa dan keluarga selama tiga bulan.

"Kami ada bertanya kepada Datuk Siti Nurhaliza tetapi jadualnya amat ketat. Lagipun ia memerlukan persetujuan daripada kedua-dua pihak, suami dan isteri. Ditambah tahun ini peserta perlu memulakan rakaman promosi lebih awal kerana bertembung dengan bulan puasa dan raya," tambah Khairul.

Memulakan tayangan pada 17 Oktober, kontroversi perpisahan Fahrin dan Scha juga dikatakan telah membayangi program Sehati Berdansa itu sendiri. Namun, menurut Khairul, perpisahan itu bukan satu kontroversi tetapi merupakan hal peribadi Fahrin dan Scha.

"Mereka berdua amat profesional dan pihak Astro sudah berbincang dengan mereka. Lagipun semasa kami memilih Scha bukannya kerana hendak mencipta kontroversi tetapi itu strategi Astro. Scha sekarang sangat popular terutama dalam drama Awan Dania.

"Malah disebabkan itu, Scha hanya akan mengacarakan Malam Sehati Berdansa kerana sibuk dengan jadual penggambaran drama. Maka, kesemua program lain yang berkaitan dengan Sehati Berdansa akan dihoskan oleh Awal yang sudah bersama kami untuk tahun ketiga."

Bakal ditayangkan menerusi saluran Astro Ria (Astro 104), peserta akan diberikan satu tugasan setiap minggu dengan bantuan jurureka tari masing-masing. Persembahan peserta akan diadili dengan sistem pemarkahan 50 peratus daripada juri dan selebihnya daripada undian penonton.

Seperti tahun sebelumnya, setiap minggu, pasangan yang tersingkir akan menghulurkan wang tunai yang terkumpul kepada badan kebajikan yang diwakili. Dengan kombinasi pasangan peserta baru, pengacara dan perunding tari, Farah Sulaiman, musim ini akan menjanjikan impak mendalam.

1 comment:

  1. bukan peserta..tetapi yg penting pengacara sehati berdansa yang perlu ikhlas..

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: