Saturday, October 17, 2009

Ceria, bahagia Deepavali




HARI ini penganut Hindu di seluruh dunia menyambut Hari Deepavali. Mengikut kepercayaan penganut agama berkenaan, ini adalah hari istimewa bagi memperingati kejayaan Dewa Krishna menumpaskan kuasa jahat Narakasura.

Seawal pukul 4 pagi, kebanyakan keluarga Hindu sudah pun bermandikan minyak bijan dan kemudian, berpakaian baru bagi menyambut perayaan Deepavali.

Sedikit sama cara amalan raya Deepavali dan Aidilfitri, mendapat restu daripada orang tua sebelum bersarapan dengan keluarga adalah satu amalan yang wajib. Bagi hari pertama Deepavali, seboleh-bolehnya penganut Hindu tidak keluar rumah untuk seharian bersama keluarga dan melayan tetamu yang datang bertandang.

Namun, saat teman-teman bercuti menyambut Deepavali dan menghabiskan masa bersama keluarga tersayang, tiga selebriti daripada stesen radio RTM, Minnal FM, Kumaran Subramaniam(Kumar), Anandrao Appannah (Anand) dan Saras Bijin, terpaksa akur tidak dapat bercuti hari ini demi tanggungjawab mereka kepada pendengar setia radio Tamil popular ini.

Enggan merasa terpinggir daripada perayaan ini, tiga selebriti ini menyambut Deepavali dengan cara yang berbeza pula.

Menurut Kumar yang juga merupakan Ketua Bahagian Rancangan Radio Minnal FM, beraya di pejabat bukanlah satu isu besar bagi mereka kerana sambutan Deepavali tetap diadakan, cuma ia disambut hanya di kalangan teman-teman dan bukan keluarga.

"Biasalah, kalau kita bekerja di radio yang bersiaran 24 jam, sudah pasti operasinya turut dijalankan tanpa henti. Tambahan pula tenaga kerja kami semuanya berketurunan India.

"Jadi, cuti raya juga akan dibahagikan dan kami memberi keutamaan kepada pekerja yang kampungnya di luar kawasan Kuala Lumpur.

"Siapa yang bekerja pada hari ini, mereka masih mengenakan baju baru dan segala amalan tradisional yang diamalkan setiap tahun masih lagi dilakukan. Cuma tidak semua perkara mereka dapat lakukan bersama keluarga.

"Menariknya di Minnal FM, kami sering diberi kuih-muih seperti muruku dan manisan-manisan lain oleh peminat-peminat. Ditambah pula dengan makanan yang dibawa oleh penyampai radio kami, konti radio Minnal FM sudah seperti ada majlis rumah terbuka," selorohnya yang memantau perjalanan siaran radio tersebut di rumah sahaja hari ini.

Bercerita mengenai sambutan Deepavali bersama keluarga, Kumar gembira kerana kali ini dia dapat beraya bersama isteri tersayang.

Tambah pula dengan penantian untuk menerima anak sulungnya pada Disember nanti, pasti membuatkan Kumar tersenyum setiap hari, tidak sabar melihat bakal anaknya itu.


DEEPAVALI diraikan dengan penuh kesederhanaan tetapi tetap meriah.


"Inilah kali pertama saya menyambut Deepavali bersama isteri dan rumah baru. Sebenarnya tahun ini adalah tahun bertuah saya kerana segala perkara yang saya impikan tercapai.

"Sebab itu untuk Deepavali kali ini, saya rasa begitu gembira dan teruja," katanya.

Menanti panggilan peminat

Biarpun sudah beberapa tahun dalam bidang penyiaran radio, rindu dengan kehidupannya yang penuh dengan 'kegilaan' sebelum ini bila tibanya musim Deepavali, ia masih lagi terpahat di hati dan akur mengenai kesukaran bekerja pada hari yang bermakna itu.

Namun, tidak bermakna perasaan menyesal menyelubungi diri kerana kerjaya sebagai penyampai radio adalah pilihan sendiri.

Menurut Anand, saban tahun dia pasti akan mengingati kenangan manis beraya pada tahun-tahun lalu ketika meraikan Deepavali bersama keluarga.

"Saya ingat lagi kenangan di zaman-zaman muda dahulu, tidak banyak tanggungjawab yang perlu difikirkan dan sambutan Deepavali adalah sebuah perayaan yang paling menggembirakan setiap tahun.

"Tapi semua itu hanyalah kenangan. Sekarang ini saya mempunyai tanggungjawab kepada peminat-peminat agar mereka gembira dan berpuas hati dengan penyampaian saya.

"Bagaimanapun saya masih merasai Deepavali kerana di konti kami mempunyai pelbagai masakan dan pada masa sama oleh kerana kami kerja dalam satu kumpulan Minnal FM, kami berasa seperti keluarga," katanya.

Dalam pada itu, apa yang membuatkan Anand bertambah seronok berada di konti ketika sambutan Deepavali ialah bila peminat-peminat menghubunginya untuk memberi ucapan raya.

"Memang saya tidak menang tangan pada waktu itu. Berderet-deret peminat menghubungi dan membuat ucapan. Kadangkala, ada yang rajin nak berborak pula, kena layan sajalah," ujarnya.

Dapat cuti raya!

Gembiranya tidak terkata bila mendapat tahu dirinya mendapat cuti sempena sambutan Deepavali.

Manakan tidak, pada tahun lalu, Saras terpaksa bekerja seharian di konti dan untuk kali ini, perasaannya teruja bila dapat pulang ke kampung halamannya di Johor Bahru.


SARAS gembira kerana mendapat cuti untuk beraya bersama ahli keluarga tahun ini.


Menurut Saras, kepulangannya ke kampung pasti membuatkan keluarganya juga gembira. Tambah pula, dia dapat merasai kesibukan membuat persiapan Deepavali.

"Sebagai perempuan, perkara utama yang akan saya titik beratkan ialah pakaian sari saya selain menyediakan duit raya untuk saudara-mara.

"Kemudian, sudah semestinya mengemas rumah sebelum teman-teman bertandang adalah perkara yang wajib. Kemudian, seperti biasa, kami akan bertafakur untuk ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

" Sebagai seorang penganut Hindu semoden mana sekalipun corak kehidupan sesebuah keluarga, sambutan Deepavali kami masih lagi mengikut adat tradisional agama," ujar wanita berusia 30 tahun ini.

Ketiga personaliti ini mahu berkongsi gembira dengan seluruh pembaca Kosmo! yang beragama Hindu dengan mengucapkan Selamat Hari Deepavali!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: