Saturday, October 17, 2009

Dia duda, bukan suami orang


FARAH mengaku sudah punya kekasih hati, tetapi lelaki itu bukan suami orang seperti diperkatakan ramai.


TIDAK habis-habis kontroversi menghambat penyanyi Farah Asyikin Zulkifli, 30, yang popular dengan lagu Hello sejak bercerai dengan bekas suaminya Dr. Fariz Yahya pada 26 Mei tahun lalu.

Bermula dengan gosip cinta bersama Mark salah seorang peserta program realiti One In A Million musim kedua yang lama kelamaan hilang ditelan masa, nama Farah kembali hangat apabila dia mengaku sedang bercinta dengan jejaka berusia 35, asal Singapura.

Namun, apa yang menjadi persoalannya apabila ada pihak mendakwa lelaki yang bertakhta di hati Farah itu merupakan suami orang dan bapa kepada seorang anak. Farah ditujah sebagai perampas suami orang.

Bahkan, Farah dikatakan pernah bercuti sakan di luar negara dengan kekasihnya itu.

Sejauh mana kebenaran gosip terbaru ini, hanya Farah sahaja yang tahu. Ikuti temu bual eksklusif Kosmo! bersama Farah baru-baru ini.

Dengar khabar Farah sudah ada cinta baru dengan seorang jejaka Singapura yang agak berumur. Betul ke?

Saya tidak boleh nak nafikan sebab ramai yang sudah tahu. Kami baru berkawan tetapi saya tidak mahu perkara ini menjadi benda yang besar.

Bahagia sudah berteman baru?

Alhamdulillah, dugaan tetap ada, hidup solo atau tidak cabaran dalam hidup tetap ada. Saya rasa setiap dugaan itu buat saya kuat dan matang serta membuka satu perspektif yang lain. Hati saya tidak pernah terbuka untuk lelaki sejak bercerai. Jadi ini perkara yang baru buat saya. Keluarga juga sentiasa berada di belakang saya.

Boleh tahu sejauh mana hubungan kalian?

Kami masih dalam peringkat mengenal hati budi masing-masing. Masih berkawan tidaklah sampai terfikir nak kahwin kerana saya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Tambahan, kami baru berkenalan dalam beberapa bulan sahaja.

Ada pihak mendakwa, kononnya kekasih Farah masih suami orang dan mempunyai anak yang masih kecil, benarkah begitu?

Dia bukan suami orang, statusnya duda dan saya mengaku dia ada seorang anak. Tetapi dia memang sudah bercerai cuma masih ada kes yang tidak selesai di mahkamah berhubung dengan penceraiannya itu. Masa kenal dengan dia, Farah tidak tahu yang kes penceraiannya masih belum selesai. Macam Farah dengan bekas suami sekejap sahaja kerana kami tiada anak, tetapi kes dia (kekasih) tidak selesai kerana ada tuntutan lain.

Tidak takut orang tuduh sebagai perampas?

Saya kenal dengan dia memang dia sudah bercerai. Jadi tidak timbul isu dia suami orang. Cuma bila ada yang tahu cerita menuduh saya yang bukan-bukan sedangkan hubungan kami baru peringkat perkenalan sahaja. Buat masa sekarang, Farah tarik diri untuk beri dia masa sehingga kesnya dengan bekas isteri di mahkamah selesai. Selepas itu terpulang kepada jodoh. Saya pun tidak boleh cakap lebih-lebih kerana harus menjaga hati banyak pihak.




Farah tidak risau cabaran dan dugaan bercinta dengan seorang duda?

Saya tidak kisah statusnya sebab saya sendiri pun ada status sebagai janda. Secara jujur saya memang tidak kisah dengan siapa bercinta meskipun dia sudah ada anak. Saya sendiri tengok ibu saya besarkan anak-anak tiri dengan penuh kasih sayang. Jadi saya rasa status bukan satu masalah yang besar. Sebenarnya lelaki itu yang main peranan yang besar. Saya tidak bermusuh dengan sesiapa selama ini sebab saya selalu buat hal sendiri. Kalau cakap pasal dugaan sebagai manusia dari dulu sehingga hari ini ada sahaja dugaan tidak pernah habis.

Ada pihak yang mendakwa Farah pernah bercuti bersama kekasih sampai ke China, Hong Kong dan Macau. Boleh komen?

Memang saya ada jumpa dia di Macau sebab dia bekerja di sana. Sampai di Macau dia yang ambil saya tetapi ke China dan Hong Kong saya pergi sendiri. Saya bercuti di sana selama lapan hari. Walaupun saya sudah berusia 30 tahun, saya tidak membuat sesuatu perkara tanpa pengetahuan keluarga. Mereka semua tahu saya bercuti ke sana. Bagi saya, cukup jika keluarga tahu apa yang saya lakukan.

Nampaknya selepas bergelar janda, terlalu banyak gosip tentang Farah berbanding kerjaya. Kenapa ya?

Itulah sebab saya senyap dan cuba keluar dari radar glamor sekejap. Tujuannya untuk menghindarkan gosip kalau boleh tidak mahu dikenali sebab gosip. Tetapi apa nak buat, bila saya senyap ada sahaja cerita baru yang keluar.

Agak-agaknya bila mahu menamatkan zaman bujang?

Soalan itu saya tidak mampu nak jawab. Selepas apa yang saya alami, saya berserah pada takdir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: