Saturday, October 24, 2009

Penghibur tuntut penjelasan Amerika Syarikat


GAMBAR bertarikh 25 Jun 2005 menunjukkan pagar di Kem Delta 2 dan Delta 3 di penjara Teluk Guantanamo, Cuba.


WASHINGTON - Kumpulan REM, Pearl Jam, penyanyi Billy Bragg dan Britney Spears merupakan antara sekumpulan penghibur yang menuntut pemerintah Amerika Syarikat (AS) membuat penjelasan sama ada muzik mereka digunakan untuk tujuan penyeksaan di penjara Teluk Guantanamo, Cuba, lapor sebuah akhbar semalam.

Satu aduan daripada kumpulan Pembebasan Kebebasan Informasi (FOI) telah dikemukakan bagi pihak artis sebagai usaha untuk mendedahkan kebenaran sama ada muzik yang kuat digunakan untuk tujuan soal siasat di penjara Teluk Guantanamo milik tentera AS.

Sempena kempen tersebut, Arkib Keselamatan Negara di Washington sedang memfailkan permohonan berdasarkan Akta Kebebasan Maklumat untuk memperoleh rekod sulit yang memperincikan mengenai penggunaan muzik kuat sebagai kaedah menyeksa tahanan.

"Di Guantanamo, pemerintah AS menjadikan muzik menjadi alat penyeksaan," kata pengarah eksekutif arkib berkenaan, Thomas Blanton.

Berdasarkan beberapa dokumen yang didedahkan kepada umum selain wawancara dengan bekas tahanan, pihak arkib menyatakan bahawa antara lagu yang dijadikan alat seksaan termasuk oleh kumpulan rock AC/DC, Spears dan kumpulan Bee Gees, Marilyn Manson.

Lagu program televisyen kanak-kanak termasuk lagu tema Barney dan Sesame Street turut diperdengarkan dengan amat kuat di dalam penjara bagi menyeksa tahanan.

Sebelum ini, Obama berjanji akan menutup penjara tersebut tetapi ia sukar untuk berbuat demikian berikuatan tentangan daripada ahli-ahli Parti Republikan di Dewan Senat.

Usaha Obama turut terjejas selepas bekas naib presiden AS, Dick Cheney memberi amaran kononnya penutupan penjara Teluk Guantanamo itu akan menjejaskan keselamatan negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: