Saturday, October 24, 2009

Thaksin ditawar jadi penasihat ekonomi


GAMBAR fail menunjukkan Hu Sen (kanan) berbual dengan Thaksin di Phnom Penh, Kemboja pada 10 Ogos 2006.


CHA-AM, Thailand - Perdana Menteri Kemboja, Hung Sen semalam membuat tawaran untuk melantik bekas perdana menteri Thailand yang digulingkan, Thaksin Shinawatra sebagai penasihat ekonomi beliau.

Kenyataan Hun Sen dilihat oleh penganalisis politik akan mengeruhkan hubungan berikutan ketegangan antara kedua-dua negara Asia Tenggara yang berjiran itu.

Beliau terus membangkitkan kemarahan Thailand apabila menyamakan Thaksin dengan ikon demokrasi Myanmar yang ditindas junta tentera, Aung Sang Suu Kyi.

Hun Sen menyatakan demikian kepada wartawan sejam selepas beliau tiba di Thailand bagi menghadiri sidang kemuncak tahunan Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN).

"Ya, benar saya mengundang beliau (Thaksin) ke Kemboja untuk datang pada bila-bila masa. Pada masa yang sama, saya turut menawarkan beliau untuk menjadi penasihat saya," katanya.

Thaksin yang masih berpengaruh di Thailand, digulingkan dalam rampasan kuasa tentera pada 2006 selepas didakwa menyalahgunakan kuasa selain tidak menghormati keluarga diraja negara itu.

Hubungan antara Kemboja dan Thailand tegang akibat perebutan kawasan kuil Preah Vihear yang terletak di sempadan kedua-dua negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: