
PARIS - Pengkritik-pengkritik bersorak gembira semalam selepas Jean Sarkozy iaitu anak lelaki Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy menarik diri daripada percubaannya untuk memegang jawatan sebagai pengerusi sebuah agensi yang mentadbir satu kawasan perniagaan utama di Perancis.
Ruangan pengarang akhbar berhaluan kiri Perancis, Liberation merumuskan bahawa Sarkozy memaksa Jean yang berusia 23 tahun itu berkorban bagi mengekalkan sokongan rakyat.
Jean yang diejek dengan gelaran Putera Jean oleh media Perancis muncul di kaca televisyen kelmarin untuk mengumumkan hasrat membatalkan permohonannya sebagai pengerusi sebuah agensi pengurusan daerah La Defense, barat Paris.
"Saya tidak dapat menerima dakwaan bahawa saya dikaitkan dengan kronisme," katanya semasa ditemu ramah dengan saluran televisyen France 2.
Dia yang merupakan pelajar undang-undang tahun dua turut menyelar kempen manipulasi dan fitnah oleh pembangkang terhadap dirinya tetapi pada yang sama, mengakui bahawa kritikan mereka mengandungi kebenaran.
Namun, Jean dipilih untuk menjadi ahli lembaga pengarah agensi yang menguruskan daerah La Defense itu.
Daerah itu menempatkan 2,500 ibu pejabat syarikat korporat termasuk Total dan Bank Societe Generale dan menjadi lokasi pekerjaan untuk lebih 150,000 orang.
Para pengkritik sebelum ini membidas tindakan Jean memohon jawatan utama itu dan menganggapnya sebagai bukti bahawa Perancis di bawah pemerintahan Sarkozy telah menjadi sebuah negara yang mengamalkan budaya kronisme.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: