![]() |
| KUASA pemerintah yang menggunakan penguatkuasa awam (kanan) untuk merealisasikan sikap haloba mereka merupakan initipati penting yang dipaparkan dalam Lingkaran Kapur. |
DUNIA pementasan teater mempunyai banyak pengaruh yang melatari konsep dan gaya penceritaan di sebaliknya sebelum ia disampaikan kepada kalangan audiensnya.
Misalnya daripada segi watak, mesej dan sehinggalah juga kepada konsep intipati di belakang gaya penceritaan di mana semuanya itu memainkan peranan yang tersendiri.
Teater Lingkaran Kapur contohnya, banyak mengambil pengaruh daripada ideologi fahaman Marxist yang jelas memaparkan perbezaan antara dua lapisan masyarakat yang berbeza.
Ia antara lain memaparkan tentang satu srata sosial yang memperlihatkan pengasingan pekerja buruh bawahan dengan pekerja atasan sehingga mencetuskan suatu konsep yang dikenali sebagai alienation.
Teater arahan Prof. Ches J. Skinner ini misalnya, memperlihatkan keadaan lapisan masyarakat bawahan yang berdepan dengan golongan atasan yang memerintah negeri Caucasus.
Meskipun karya hasil tulisan penulis Eropah tersohor, Bertolt Brecht ini beraspirasikan daripada kisah fiksyen tetapi ia banyak bersangkut paut dengan senario sebenar pada hari ini.
Skinner selaku pengarah Lingkaran Kapur cuba menterjemah serta memanjangkan ideologi yang mendatari teater hasil nukilan Brecht itu dalam terjahannya yang samar-samar.
Walau bagaimanapun, sebagai individu yang matang, para penonton sudah boleh mengagak setiap mesej tersirat yang cuba dipaparkan menerusi karya bertaraf antarabangsa ini.
Teater ini banyak mengungkap tentang kerakusan golongan atasan terutamanya pemerintah yang seakan-akan lepas tangan apabila tampuk pemerintahan mereka goyah kerana krisis tertentu.
Rakyat terutamanya masyarakat marhain adalah golongan paling awal menerima kesan hasil daripada pergolakan politik dan rampasan kuasa yang secara umumnya tidak menguntungkan mereka.
Dalam Lingkaran Kapur, watak Grusha yang mewakili golongan bawahan menjadi mangsa pelarian apabila daerah Grusinia yang didiaminya turut terkena bahang 'putaran ganas' tersebut.
Namun, pada masa sama Brecht juga mahu memperlihatkan nilai kemanusiaan yang dimiliki oleh golongan bawahan seperti Grusha yang masih mempunyai nilai murni itu.
Grusha diperlihatkan sanggup menyelamatkan Mikail iaitu si anak kecil golongan atasan yang belum mengerti apa-apa biarpun dilahirkan dalam kelompok keluarga yang berpengaruh.
Bukan setakat kerakusan pemimpin, Lingkaran Kapur turut membongkar ketidaktelusan institusi kehakiman yang seolah-olah banyak dilingkari dari belakang oleh kuasa rakus para pemimpinnya.
Biarpun teater ini dipersembahkan secara santai dan sekali-sekali dengan dialog yang ringkas tetapi mencuit hati, tetapi ia banyak menyentuh sistem sosial yang berlaku di mana-mana ketika ini.
Ketua Hakim Azdak mungkin merupakan salah satu elemen lontaran rasa tidak puas hati Brecht terhadap pencabulan undang-undang terhadap golongan yang telah pun diberi amanah dalam soal kehakiman.
Jelas, dengan menggunakan falsafah dan sedikit pengaruh fahaman Marxist, karya ini cuba memperlihat serta mempersoalkan dasar srata sosial yang diperjuangkan oleh fahaman itu.
Fahaman yang membezakan status sosial antara golongan bawahan dan atasan bukanlah perkara baru di mana konsep alienation ini sudah lama kukuh di negara seperti Jerman.
Di negara tanah kelahiran Brecht itu, Marxist telah memperkenalkan konsep alienation dalam pelbagai sistem kehidupan mereka termasuklah politik, sosial dan ekonomi.
Beliau seakan-akan mahu memasukkan idea-idea itu dalam Lingkaran Kapur yang pada asalnya berjudul The Caucasian Chalk Circle sebagai suatu kelainan dalam karya hasil nukilannya itu.
Selain Skinner, teater yang turut dijayakan oleh Penolong Pengarahnya, Umi Kalsom Ahmad ini tidak seperti pementasan moden lain di mana ia turut menyerlahkan peranan narrator.
Pelakon Azrul Azrizal Azmy bukan setakat menyanyi dan berlakon dalam kebanyakan babak dalam teater ini, malah beliau turut bertindak selaku narrator bagi menjelaskan lagi penceritaan teater itu secara terus.
Lingkaran Kapur telah dipersembahkan oleh Sepatu Ilham Creative & Event Management di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur pada 16 hingga 18 Oktober lalu.
Pementasan dengan kerjasama daripada Fakulti Artistik & Teknologi Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM), itu berjaya menarik sekitar 200 penonton ketika waktu pementasannya.
Sunggupun jelas memaparkan konsep dan ideologi penceritaan, namun para penonton yang mengikuti persembahan itu terpaksa memberi penghayatan menerusi dimensi yang tersendiri.
Ini kerana, terdapat banyak dialog dan paparan pada babak yang dikaitkan secara tidak langsung mencerminkan keadaan sosial yang telah dan sedang berlaku pada masa kini.
Sesuai dengan taraf pementasan yang diadaptasi daripada sebuah karya asing, elemen pengadaptasian pemahaman para penonton juga tentunya menerawang dalam skop yang luas.
Sejauh mana Lingkaran Kapur yang cuba dicetuskan oleh Brecht mampu menangkap minda dan penghuraian para penonton, semuanya ada dalam pemikiran setiap penonton yang telah menonton teater tersebut.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: