Wednesday, October 21, 2009

Kisah wanita teraniaya di TV2


Antara babak menarik yang dipaparkan dalam Berikan Aku Kasih.


KASIH seorang ibu membawa ke syurga. Ibarat air yang dicincang tidak akan putus. Namun, bagaimana pula jika kasih antara seorang ibu dengan anak kesayangannya dipisahkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab?

Persoalan itu cuba dibangkitkan dalam sebuah drama yang mengisi slot Citra di TV2, Berikan Aku Kasih yang bakal bersiaran pada hari Jumaat (23 Oktober) pukul 8.35 malam.

Memegang watak seorang ibu, wanita dan isteri yang teraniaya, saksikan kemantapan lakonan pelakon cantik berdarah kacukan Pakistan-Melayu, Fouziah Gous.

Melatari kisah tersebut, pelakon tinggi lampai itu membawakan watak sebagai seorang gadis bernama Kasih yang berkenalan, bercinta, berumahtangga dan menimang cahayamata bersama suaminya Irfan tanpa menyedari ada rahsia yang tersimpan kemas di dalam diari hidup Irfan dan ibu mertuanya, Mak Leha.

Merupakan seorang anak yatim piatu, perkenalan Kasih dengan Ifran membawa mereka ke jinjang pelamin.

Biarpun mengenali sikap Irfan, namun Kasih seringkali dikejutkan dengan mimpi-mimpi ngeri Irfan di tengah malam, menyebabkan dia tertanya-tanya tentang rahsia yang disimpan oleh Irfan.

Bagaimanapun, kehidupan sebagai suami isteri dilayari mereka dengan penuh bahagia sehingga kelahiran bayi sulung, Rizal.

Ketika berpantang, Kasih dijaga sepenuhnya oleh Mak Leha.

Mak Leha memberikan Kasih pelbagai ubat-ubatan herba dengan alasan supaya Kasih lekas sembuh, namun sebaliknya yang terjadi. Kasih menjadi semakin lemah dan tidak bermaya.

Kasih mula mengesyaki sesuatu yang tidak kena berlaku dan ternyata andaiannya berasas.

Dia cuba mengadu kepada Irfan, sebaliknya Irfan mengatakan Kasih hanya berprasangka buruk.

Kerana sikap pentingkan diri, Kasih telah dipisahkan dari anak tunggalnya, Rizal oleh ibu mertuanya, Mak Leha.

Dalam pada itu, kehadiran Salina telah membantu menjernihkan kekeruhan yang melanda rumahtangga Kasih dan Irfan.

Selain Fouziah Ghous, drama terbitan Gama Taktik Sdn. Bhd., ini turut dibintangi oleh Zulhuzaimy, Maimon Talib, Zulkifli Azari dan Iris Yasmin.

Untuk mengetahui kesudahan kisah tersebut, pastikan anda tidak terlepas menonton drama Berikan Aku Kasih pada 23 Oktober ini pukul 8.35 malam di TV2.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: