![]() |
| Paris Texas Eiffel Tower. |
Melancong merupakan antara perkara wajib bagi kita semua sebagai antara cara terbaik untuk menenangkan fikiran setelah penat bekerja.
Pelbagai kaedah dan tempat yang boleh dilakukan atau dilawati untuk menunaikan hasrat melancong. Pastinya dalam memilih tempat pelancongan kita sedaya upaya akan cuba memilih tempat yang dirasakan terbaik memandangkan pelbagai faktor perlu diambil kira termasuklah jumlah perbelanjaan, jenis tempat yang mahu dilawati mahupun kesesuaian persekitaran terutama apabila ia melibatkan ahli keluarga.
Namun dalam kita membicarakan tentang aktiviti pelancongan tidak semestinya ia akan melibatkan aktiviti santai sahaja. Adakalanya mungkin kita akan memilih aktiviti percutian dengan melawat tempat-tempat seperti muzium, memorial mahupun kawasan bersejarah.
Semuanya terpulang kepada kita cara bagaimana kita mahu melakukannya. Namun di Amerika Syarikat (AS) pelbagai aktiviti pelancongan boleh dilakukan kerana negara tersebut sememangnya terkenal dengan pelbagai pilihan kawasan pelancongan. Sebut sahaja kawasan menarik di sana seperti Disneyland, Las Vegas, kawasan tepi pantai di Miami, dan pelbagai lagi, ia sudah cukup menggiurkan kita untuk ke sana. Namun di sebalik semua kawasan terkenal ini sebenarnya AS turut menghidangkan pelbagai pakej percutian aneh yang mungkin tidak pernah terfikir bagi kita. Menurut data yang dikeluarkan oleh sebuah laman web perunding pelancongan, TripAdvisor terdapat 10 lokasi pelancongan paling aneh untuk dilawati. Menariknya kawasan ini terdiri daripada tempat-tempat pelik dan mungkin juga agak keterlaluan bagi sesetengah pihak. Menduduki tempat pertama senarai lokasi pelancongan paling aneh ialah Muzium Seni Penutup Mangkuk Tandas Barney Smith's yang terletak di San Antonio, Texas.
![]() |
| Minnesota Twine Ball. |
Mengelilingi muzium ini mungkin dilihat agak aneh bagi kebanyakan kita namun pada mereka yang menghargai seni mungkin terdapat kelainan yang ingin ditampilkan oleh Smith. Setakat ini terdapat lebih 800 penutup tandas yang telah dilukis dan diukir oleh lelaki yang berusia 88 tahun. Dan setakat ini tidak terdapat tanda-tanda lelaki ini akan berhenti melakukan kerja-kerja yang disukainya. Beliau yang bekerja sebagai tukang paip sebelum ini menyatakan walaupun selepas bersara beliau sangat selesa dengan medium ini.
Segalanya bermula apabila Smith cuba mencari tapak untuk meletakkan kepala rusa jantan dan kemudian mencuba penutup mangkuk tandas dan ternyata bagi dirinya ia dilihat sebagai satu hasil seni.
Beliau yang telah berkecimpung dalam bidang itu sejak 30 tahun lepas bagaimana pun sangat menghargai hasil seninya itu dan semua ini tidak mungkin akan dijual.
susunan
Menduduki tempat kedua ialah Carhenge yang menyerupai replika kesan-kesan batu dikenali sebagai Stonehenge yang terletak di England. Tempat ini yang terletak di Alliance, Nebraska merupakan susunan kereta-kereta lama yang disusun menyerupai Stonehenge. Susunan kereta-kereta lama ini turut dicat dengan warna kelabu untuk dilihat sama seperti batu.
Tempat ketiga lokasi pelancongan aneh ialah Cadillac Ranch yang terletak di Amarillo, Texas. Kawasan ini merupakan tempat kesenian awam terbuka yang mana 10 buah kereta Cadillac yang di tanam sebahagian badannya ke dalam tanah dan menjadi perhatian mereka yang melalui jalan Interstate 40. Menariknya para pelawat juga bebas untuk mewarna atau menyembur cat mengikut kemahuan mereka pada badan kereta ini.
Projek ini yang dimulakan Hudson Marquez dan Doug Michels pada 1974 sebagai mewakili keprihatinan sekumpulan peminat seni yang menamakan diri mereka "Ant Farm". Kereta Cadillac yang terdapat di sini terdiri dari model yang dikeluarkan pada 1949 hingga 1963.
Bagaimanapun pada 1997 tapak ini dipindahkan dua kilometer ke arah barat dari tempat asal, atas alasan menjarakkan tapak ini dari kawasan bandar.
Muzium gula-gula yang dikenali sebagai Burlingame Museum of Pez Memorabilia pula menduduki tempat seterusnya. Muzium ini yang terletak di California menempatkan pelbagai gula-gula jenama Pez yang diperkenalkan oleh Eduard Haas pada 1927.
Namun kejayaan utama gula-gula ini ialah mengeluarkan gula-gula bertangkai dengan pelbagai karakter kartun dan buah-buahan yang mendapat sambutan ramai. Selain itu muzium ini juga menempatkan pelbagai patung-patung menarik dan terkenal sepanjang zaman.
![]() |
| Extraterrestrial Highway. |
Seterusnya menduduki tempat kelima ialah Gatorland yang juga tempat tinggal kepada lebih 3,000 buaya di Florida. Diasaskan oleh Owen Godwin pada 1949 dan tetap dimiliki oleh ahli keluarganya sehingga sekarang, ladang seluas 110 ekar ini menyediakan pelbagai aktiviti untuk pengunjung antaranya pertunjukan buaya, program pembelajaran mengenai pemuliharaan buaya, lawatan waktu malam malah anda boleh mencuba memberi makan "hot dog" kepada buaya-buaya di sana. Selain itu terdapat pelbagai haiwan lain ditempatkan di sini yang mampu menarik perhatian pengunjung.
Lokasi seterusnya mungkin agak pelik kerana kita akan melihat sebuah menara menyerupai menara Eiffel yang kita tahu terletak di Paris. Namun menara ini yang terletak di Paris, Texas bukan sahaja tidak menyamai ketinggian menara Eiffel tetapi di puncaknya telah diletakkan sebuah topi koboi raksaksa. Dengan ketinggian mencecah 60 kaki, replika ini telah siap di bina pada 1993 sebagai penghormatan memandangkan kebanyakan penduduk di sini mempunyai pertalian dengan negara Perancis.
unik
Tempat seterusnya diduduki oleh sebuah rumah yang dikenali sebagai House on the Rock yang terletak di Spring Green, Wisconsin. Rumah ini yang dimiliki oleh Alex Jordan mempunyai 14 bilik namun yang menjadikan rumah ini unik ialah setiap bilik dan ruangnya dilengkapkan dengan pelbagai koleksi yang mengkagumkan kerana pemiliknya mempunyai dorongan dan nafsu yang kuat terhadap pelbagai koleksi unik.
Antara sebuah biliknya yang dikenali sebagai bilik infiniti telah diubahsuai dengan reka bentuk dan dan saiz yang berbeza malah turut dilengkapi dengan 3,264 cermin yang membenarkan pengunjung melihat dari pelbagai sudut.
Selain itu salah sebuah bilik di rumah ini dilengkapi dengan pelbagai peralatan muzik dan boleh dimainkan oleh pengunjung dengan dikenakan bayaran.
Tempat ke lapan pula diduduki oleh Stonehenge II. Uniknya mengenai lokasi ini yang terletak di San Antonio, Texas ialah ia menggabungkan dua replika kegemilangan zaman silam iaitu susunan batu di Stonehenge di England tetapi pada waktu ia turut menempatkan replika patung di Easter Island. Dengan ini para pengunjung boleh melihat kedua-dua replika yang menjadi kekaguman dunia dengan hanya mengunjungi Texas.
Seterusnya lokasi berikut, Nevada State Route 375, agak unik kerana ia dikatakan merupakan antara kawasan yang menjadi tumpuan makhluk asing. Jalan ini yang turut digelar sebagai Extraterrestrial Highway yang terletak di Nevada dinamakan sebegitu setelah terlalu didedahkan tentang rahsia besar kerajaan AS mengenai Area 51 yang dikatakan melibatkan fenomena makhluk asing. Malah pada satu papan tanda yang terdapat di situ berbunyi "Bersedialah, anda mungkin akan berhadapan dengan makhluk asing pada kilometer 51 di hadapan,".
Lokasi terakhir untuk percutian aneh anda ialah di Darwin Minnesota yang merupakan tempat asal untuk bola getah terbesar dunia. Bola getah berkenaan mempunyai ketinggian 12 kaki dan seberat 17,400 telah mula dibina oleh Francis A. Johnson sejak 1950 dan hanya disiapkan pada 1979. Dalam tempoh 39 tahun beliau telah mengambil masa selama empat jam sehari untuk menyiapkan bola getah tersebut. Walaupun Johnson meninggal dunia 10 tahun selepas menyiapkannya namun penduduk di bandar tersebut sangat berbangga dengan usaha beliau dan menganggapnya sebagai satu khazanah dan kejayaan untuk orang tempatan yang perlu dipertontonkan kepada umum.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: