Tuesday, October 27, 2009

Pulau Dayang makin mahal kepada rakyat sendiri




MUNGKIN tidak semua perasan selain Pulau Dayang Bunting di Langkawi, kita turut mempunyai Pulau Dayang di Mersing. Walaupun Pulau Dayang ini yang berdekatan dengan Pulau Aur turut mempunyai mitos sendiri, namun ia tidaklah sehebat mitos mengenai Pulau Dayang, Langkawi.

Apa pun, kali ini Bidai tak mau la menceritakan mengenai mitos yang ada di Pulau Dayang tapi nak cerita sikit mengenai masalah yang pelancong tempatan hadapi di tanah air sendiri.

Apa pun, bagi mereka yang ingin tahu di mana dan apa yang ada di Pulau Dayang, sini Bidai nak cerita sikit mengenai pulau itu.

Pulau Dayang yang merupakan jiran Pulau Aur di Mersing ini berdekatan juga dengan Pulau Pemanggil. Kalau dengan bot nelayan kecil, pelancong boleh ke pulau itu dengan perjalanan yang mengambil masa selama 4-5 jam bergantung kepada keadaan air laut.

Tapi, Bidai pernah ke pulau itu yang terpaksa mengharungi perjalanan hampir tujuh jam ekoran laut agak bergelora dan ombak pula besar.

Jadi bagi pembaca yang tidak pernah ke sini pastinya akan tertanya-tanya kenapa Bidai sanggup meredah ombak besar dalam tempoh masa berkenaan.

Ketika itu sebenarnya, Bidai gian memancing dan Pulau Dayang merupakan antara lokasi lubuk memancing yang terkemuka di Malaysia.

Malah, Pulau Aur dan Pulau Pemanggil yang terletak berdekatan juga merupakan lokasi lubuk bagi ikan sukan, mersuji hitam (Black marlin).

Spesies ikan ini dicari kaki pancing sebagai pelengkap 'lesen' selain membuktikan 'darjat' memancing mereka disebabkan kuasa tarikan yang ada pada ikan tersebut.

Bukan hanya di Pulau Aur dan Pemanggil sahaja ikan ini terkenal, namun kaki pancing juga akan ke Australia, Indonesia malah ke Hawaii untuk melayan ikan ini.

Mersuji

Jadi, Bidai turut mengambil kesempatan merasai kehebatan ikan itu di negara sendiri walaupun ramai yang mengatakan mersuji di Malaysia agak kecil berbanding saudaranya di Australia, Indonesia dan Hawai.

Biarlah, bagi Bidai, peluang untuk merasai tarikan ikan itu di perairan sendiri lebih baik daripada perbelanjaan beribu ringgit untuk ke negara orang memancing ikan yang sama dan belum tentu dapat.

Itu bab memancing. Pulau Dayang, Aur dan Pemanggil juga merupakan lokasi terbaik buat penyelam skuba termasuk dari negara jiran, Singapura.

Penyelam skuba Singapura menjadikan Pulau Dayang sebagai destinasi utama untuk menyelam disebabkan perjalanan darat yang dekat selain membolehkan mereka melakukan percutian selam skuba hujung minggu tanpa mengambil cuti yang panjang.

Malah, Pulau Dayang juga mempunyai fasiliti selam skuba yang cukup bagi membolehkan penyelam menerokai perairan Mersing yang mempunyai pelbagai spesies ikan dan hidupan marin yang lain.

Bayangkan resort yang ada di Pulau Dayang itu kini mampu mengambil sehingga 300 pelancong sekali gus dan tidak hairanlah ia menjadi destinasi terakhir penyelam skuba yang mahu mengambil lesen untuk menjalani latihan praktikal.

Selain kaki pancing dan penyelam skuba, Pulau Dayang juga menjadi tumpuan kepada mereka yang gemarkan aktiviti air terutama snorkeling.

Pantai Pasir Putih yang ada di situ menjadi tumpuan kepada mereka ekoran keadaan pantai yang memutih serta kebiruan air laut yang pastinya amat memukau sesiapa sahaja yang berada di situ.

Bidai pernah berada di situ termenung tak tahu berapa lama sampai ditegur rakan kerana terpaku dengan keindahan dan kedamaian di situ walaupun beberapa kali kehadiran bot penyelam dan pelancong berulang di situ.

Dan kebanyakan chalet yang ada di Pulau Aur dan Pemanggil akan menjadikan Pantai Pasir Putih sebagai destinasi utama bagi pelanggan mereka yang datang hanya untuk bersantai.

Namun yang agak menyedihkan ada pihak yang kurang bertanggung jawab menjadikan kehadiran pelancong yang ramai sebagai alasan untuk menguatkuasakan undang-undang mereka sendiri.

Bayangkan untuk berada di Pulau Dayang sahaja, selain sudah membayar harga pakej percutian, pengunjung juga didakwa kena membayar RM12 seorang.

Jika pantai-pantai lain yang menjadi Taman Laut di Malaysia, pengunjung hanya dikenakan caj RM5, di Pulau Dayang harganya dikatakan lebih sekali ganda.

Manakan tidak, selepas kena membayar fee Taman Laut sebanyak RM5, pengunjung didakwa kena bayar RM5 seorang untuk ‘fee pendaratan’ ke pulau itu pula walaupun hitam putih mengenai kutipan itu tidak pernah dinyatakan di mana-mana.

Selain kutipan ada pengunjung mendakwa mereka perlu membayar caj RM2 untuk penggunaan tandas yang ada di pulau berkenaan.

Imej negara

Ini baru seorang, jika yang datang dengan anak bini seramai enam orang, adakah mereka kena membayar RM72 untuk berada di pulau berkenaan?

Bidai agak hairan dengan perkara ini dan merasakan sesuatu perlu dilakukan. Bukan apa, imej negara perlu dijaga dan dipelihara. Jangan nanti ada yang mengatakan mereka ditipu hanya kerana semua perkara dilakukan tanpa ada hitam putih.

Bagi yang menjalankan kutipan itu pula, Bidai nasihatkan supaya menghentikan usaha mereka serta merta sebelum dikenakan tindakan pihak berkuasa.

Bukan apa, rasanya kawasan pantai pulau-pulau di seluruh negara ini merupakan milik kerajaan dan untuk mengutip ‘fee pendaratan’ adalah tidak munasabah disebabkan perkara itu tidak digazetkan.

Dan mengatakan pulau itu hak persendirian juga adalah tidak patut kerana Bidai merasakan Pulau Dayang masih lagi hak kerajaan Malaysia, paling tidak pun kawasan pantainya.

Selain itu mengenakan bayaran RM2 untuk penggunaan tandas adalah satu perkara yang tidak boleh diterima dilihat tidak masuk akal.

Bagi Bidai mudah saja, jika mahu kenakan bayaran, buatlah berpada-pada dan bukan satu angka yang tidak masuk akal. Tidak salah untuk mereka mengutip bayaran bagi tandas yang mereka bina tapi biarlah berpada-pada.

Apa pun, kutipan bayaran yang tidak diwartakan patut dihentikan dan pihak berkuasa yang bertanggung jawab patut menjalankan siasatan supaya taklah nanti pelancong tempatan terasa seperti pelancong asing di tempat sendiri.

Fikirkanlah...

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: