![]() |
| AKSI Krisdayanti sewaktu membuat persembahan Malam Amal Bencana Gempa Bumi Padang di Kelab Borneo Baruk |
MELIHAT pada raut wajahnya yang cengkung dan sosok tubuhnya yang kurus itu sudah cukup untuk membuat satu kesimpulan tentang penghibur tersohor Indonesia ini.
Tidak cukup dengan itu, solekan nipis pada wajahnya juga menguatkan lagi telahan yang bermain di minda ini sebaik sahaja melihat kelibatnya pada petang Jumaat lalu.
Apa yang dialaminya sejak beberapa bulan lalu memang memberi satu tamparan hebat dalam hidup wanita bernama Krisdayanti ini.
Menatap wajahnya sahaja sudah cukup untuk menceritakan 1001 kisah yang dialami Krisdayanti atau lebih mesra disapa Kris bahawa apa yang berlaku dalam hidupnya adalah terlalu perit dan pedih untuk dilalui.
Biarpun senyuman sentiasa terukir, tetapi ia tidak mampu menyembunyikan kesedihan, kesengsaraan dan mungkin juga tekanan yang dihadapinya selepas diceraikan dengan talak tiga oleh bekas suaminya, Anang Hermansyah.
Dan, tanggal 22 Oktober lalu, Kris secara rasminya kini memegang status janda sebaik sahaja disahkan oleh Pengadilan Agama Jakarta Selatan.
Sudah pasti dengan gelaran itu, dia pasti akan menjadi buruan sang lelaki yang mungkin selama ini terlalu lama mendambakan cintanya biarpun dia bersuami ketika itu.
Sambil tersenyum, Kris menjelaskan dia tidak mahu lagi memikirkan soal cinta buat masa ini dan katanya, dia memerlukan masa yang lama untuk mengubati hati laranya itu.
"Saya enggan memikirkan soal cinta. Saya perlu ruang dan masa untuk menyesuaikan diri dengan kehidupan sekarang.
"Dengan apa yang telah berlaku, saya juga tidak mahu lagi menoleh ke belakang dan terlalu memikirkan permasalahan yang berlaku.
"Apa yang penting sekarang adalah untuk memikirkan tentang masa depan serta mengukuhkan lagi karier seni saya," katanya dalam nada tenang ketika ditemui selepas pelancaran album terbarunya, Aku Wanita Biasa di Kelab Borneo Baruk, Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur, petang Jumaat lalu.
Adakah kerana tidak mahu mencari cinta baru kerana Kris masih mempunyai rasa cinta dan sayang terhadap Anang sekali gus ada harapan untuk menyatukan kembali ikatan yang telah putus itu?
Dengan pantas Kris memberitahu, perkara itu tidak mungkin akan terjadi biarpun sedar segala yang tertulis semuanya adalah ketentuan Allah SWT.
"Rasa cinta dan sayang saya terhadap Anang sudah habis. Kalau ada yang mahu melihat kami rujuk semula, itu tidak akan terjadi.
"Namun, sebagai seorang yang pernah mendiami hati saya selama 13 tahun, saya tetap mempunyai rasa hormat terhadap Anang," kata Kris yang mendirikan rumah tangga pada usia muda iaitu 21 tahun.
Menerusi perkahwinan yang termeterai pada 22 Ogos 1996 itu, Kris dan Anang dikurniakan dengan sepasang cahaya mata iaitu Titania Aurelie Nurhermansyah dan Azriel Akbar Hermansyah.
Satu demi satu persoalan yang diajukan kepadanya dan semuanya dijawab dengan baik oleh wanita kelahiran Batu, Malang, Jawa Barat ini yang sememangnya cukup disenangi oleh pihak media tempatan.
Begitu juga dengan jawapan yang diberikan Kris apabila soalan yang ditanyakan kepadanya punca perceraian yang dikatakan berpunca daripadanya.
"Tidak. Saya tidak curang seperti mana yang dicanangkan di media mahupun yang diperkatakan orang.
"Mereka tidak tahu apa yang berlaku dalam kehidupan saya dan sewenang-wenangnya menafsir sekali gus melabelkan saya sebagai seorang perempuan jahat.
"Ingin saya jelaskan di sini, apa sahaja yang telah berlaku hanya saya, Anang dan Allah SWT sahaja yang tahu dan mereka diluar sana tidak perlu untuk memburuk-burukkan lagi keadaan," jelasnya dalam nada tegas.
Tambahnya, kadang-kala ada sesetengah pihak yang telah menyalah anggap serta memberikan tafsiran yang tidak elok di atas kemesraan yang ditonjolkan oleh Kris.
Jelasnya, dia memang mudah mesra dengan sesiapa sahaja dan kadang-kala panggilan manja yang diberikannya adalah sebagai tanda kemesraan terhadap orang itu.
"Tetapi, ia tidak membawa bermaksud apa-apa dan begitu juga dengan panggilan itu kalau diberikan kepada kalian (media).
"Memang susah untuk memuaskan hati semua orang dan biarlah apa yang orang mahu katakan diri saya kerana saya tahu apa yang saya lakukan.
"Kalau ada yang tidak suka sama saya, saya tidak boleh buat apa tetapi saya percaya, ada insan lain yang masih lagi menerima saya seadanya," katanya yang tidak akan mengubah dirinya semata-mata mahu menyenangkan orang lain.
Saat ditanya tentang kehidupannya kini, sambil menghela nafas Kris memberitahu, dia sedang cuba menjalani kehidupannya dengan sebaik mungkin.
Dia juga mengakui bahawa perasaan kekok masih lagi tebal dalam dirinya memandangkan semuanya harus dilakukan sendirian.
"Saya sedang cuba perlahan-lahan dan kekuatan serta kudrat yang saya perolehi ini semuanya datang daripada Allah.
"Saya juga bertuah kerana dikurniakan dengan keluarga yang begitu kuat menyokong saya dan gelaran janda juga bukan satu masalah buat saya.
"Saya berkata demikian bukan kerana bangga tetapi ia adalah sebagai satu simbol kekuatan untuk saya mengharungi hidup ini memandangkan ibu dan kakak saya juga bergelar janda," ujarnya yang masih belum diberi peluang bertemu dengan dua orang anaknya sejak Anang melafazkan cerai terhadapnya pada 19 Ogos lalu.
Dalam masa yang sama, Kris turut menjawab dakwaan yang mengatakan dirinya menjadi mangsa boikot oleh segelintir karyawan Indonesia sehingga mereka enggan menyumbang lagu untuk Kris.
Apatah lagi, Kris kini sedang mencari lagu untuk album duetnya bersama Datuk Siti Nurhaliza yang bakal berada di pasaran sebelum penghujung tahun ini.
Ini termasuklah rakan baiknya sendiri, Melly Goeslaw yang dikatakan marah dan kesal dengan berita perceraian itu.
Tidak cukup dengan itu, Anang juga dikatakan melarang bekas isterinya itu menyanyikan lagu-lagunya.
Ekoran itu, ada yang mendakwa Kris tidak tahan lagi untuk tinggal di negaranya dan mahu membawa diri berhijrah ke Malaysia.
Menjawab persoalan tersebut dengan tenang, Kris menjelaskan semuanya adalah salah faham dan kini segala-galanya sudah selesai.
"Mungkin ketika itu Anang sedang marah dan biasalah, kalau orang sedang marah pasti akan melakukan perkara-perkara di luar kesedaran kita.
"Begitu juga dengan Melly yang kini juga sudah mula kembali berbicara dengan saya apabila saya menghubunginya baru-baru ini selepas saya menerangkan perkara yang sebenar.
"Apabila terjadinya perkara seperti ini, akan ada pihak yang cuba menangguk di air keruh dan mengeruhkan lagi keadaan.
"Kalau ada yang kata saya akan tinggal di Malaysia, itu tidak benar kerana saya akan datang ke sini hanya untuk menyelesaikan rakaman album duet bersama Siti.
"Saya juga mahu mencuba pengalaman baru merakamkan album di negara ini ," jelas juara Asia Bagus tahun 1992 ini yang begitu mengagumi komposer Malaysia, Audi Mok.
Berbicara tentang album terbarunya, Aku Wanita Biasa pula, Kris menyifatkan album ini sungguh istimewa kerana ia menampilkan sisi lainnya sebagai seorang penyanyi.
Apatah lagi, Aku Wanita Biasa diterbitkan oleh Anang sebelum mereka bercerai dan album itu juga memuatkan sebuah lagu duet mereka berjudul Jangan Biarkan Cinta, Menangis.
Memuatkan lapan buah lagu, enam daripadanya merupakan lagu-lagu hits Kris seperti Menghitung Hari, Mencintaimu dan Ku Tak Sanggup yang dinyanyikan semula dengan susunan muzik yang baru.
"Album ini berbeza dengan apa yang pernah saya lakukan sebelum ini kerana ia tidak begitu menonjolkan gaya vokal akrobatik saya selain muziknya yang lebih santai dan mudah.
"Bukan itu sahaja, album ini juga sebagai tanda ulang tahun ke-11 saya sejak kehadiran saya ke Malaysia pada tahun 1998," ujarnya yang kali terakhir muncul dengan album Krisdayanti yang memuatkan lagu popular, I'm Sorry Goodbye pada tahun 2007.
Aku Wanita Biasa diterbitkan sendiri oleh Kris menerusi syarikatnya, KD Productions dengan kerjasama label Royal Prima Musikindo (RPM) manakala di Malaysia pula, ia dipasarkan oleh Tropic Jaya Entertainment.
Album yang turut memuatkan VCD karaoke itu sudah mula dijual pada 19 Oktober lalu dengan harga RM25.90.
Pada hari yang sama, di sebelah malamnya pula, Kris telah mengadakan sebuah persembahan amal bagi mengutip derma untuk membantu mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera Barat pada 30 September lalu.
Persembahan yang diadakan di tempat yang sama itu juga telah dihadiri oleh ramai artis tempatan seperti Datuk Siti Nurhaliza yang hadir bersama suaminya, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, Misha Omar, Fazli Zainal, Nora Danish, Shila (OIAM) dan Rebecca Nur Al-Islam.
Malah, Kris sempat lagi menyanyi bersama Siti Nurhaliza menerusi lagu Kopi Dangdut dan Penasaran dalam persembahan yang dihadiri hampir 2,500 orang itu.
Hasil daripada persembahan itu telah berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM74,128 di mana RM10,000 adalah sumbangan Siti sendiri selain syarikat kecantikan, Sari Ratu yang menyumbang sebanyak RM12,000.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: