![]() |
| Diana memegang watak sebagai Samsiah dalam siri seram, Nenek Kebaya. |
JIKA dahulu sewaktu berlakon filem Susuk arahan Amir Muhammad dan Naeim Ghalili, seboleh mungkin pelakon bertubuh kecil Diana Rafar kukuh dengan pendiriannya untuk tidak melakonkan aksi berkemban dalam filem tersebut.
Namun, setelah tiga bulan mendirikan rumah tangga, kemunculan pertamanya selepas bergelar isteri dalam drama bersiri terbaru yang bakal bersiaran di TV3 menerusi slot Lagenda, Nenek Kebaya mulai 4 November ini, menjadi tanda tanya apabila dia mula menerima tawaran lakonan yang memerlukannya berkemban.
Khalayak sering membuat kesimpulan bahawa artis yang telah berkahwin bakal kehilangan populariti yang mereka miliki. Namun, sejauh manakah kebenarannya?
Mungkinkah ini merupakan strategi yang cuba 'dimainkan' oleh Diana kerana takut kehilangan populariti memandangkan statusnya kini bersuamikan pelakon yang tidak asing lagi, Zamarul Hisham?.
Bertemu Diana pada sesi pelancaran dan pratonton drama tersebut di Cineleisure, Damansara baru-baru ini, dia tidak terlepas daripada ditebak persoalan yang sama.
"Memang benar saya tidak selesa berlakon watak seksi atau berkemban. Malah, dalam filem Susuk dahulu pun saya kalau boleh tidak mahu berkemban.
"Sebelum ini, saya dan Zamarul pernah berbincang tentang batasan yang perlu dijaga tetapi saya semakin yakin setelah suami sendiri mengizinkan untuk saya menyerlah dan lebih menonjol dalam lakonan," katanya.
Dalam drama tersebut, Diana melakonkan watak Samsiah, seorang gadis kampung yang berkahwin dengan Adam, seorang duda pertengahan abad berketurunan raja.
Tanpa disedari, Samsiah telah digunakan oleh roh jahat Intan Sari yang berdendam dengan Raja Negara Kembayat Cahaya yang membunuh tunangnya, Indera Laksamana.
Kerana dendam dan amarah, Intan Sari bersumpah untuk membalas dendam namun terpaksa menunggu sehingga tujuh keturunan.
Selepas tujuh keturunan, hanya tinggal seorang pewarisnya iaitu Mak Putih (Mariani) yang tinggal bersama cucunya, Samsiah.
Menerusi Mak Putih, Samsiah dipergunakan oleh roh jahat Intan Sari demi melaksanakan dendamnya terhadap Adam yang merupakan keturunan ketujuh Raja Negara Kembayat Cahaya.
Sebelum memulakan penggambaran, Diana pernah bertanya kepada pengarahnya, Ismail Yaacob tentang babak berkemban yang perlu dilakukannya. Bagaimanapun, setelah berbincang babak tersebut telah dikurangkan sebanyak 70 peratus.
Meliputi adegan berlulur dan mandi bunga, sebanyak enam babak berkemban yang dilakonkan Diana dalam siri tersebut.
Bersama Mariani, dia pernah menyatakan kegusarannya untuk melakonkan aksi berkemban.
"Namun, saya sedikit tercabar apabila Mariani kata kalau tak nak jangan jadi pelakon. Malah, Mariani sendiri yang mula-mula beraksi kemban dalam siri ini.
"Sebab itulah saya ambil juga watak ini sebagai cabaran buat saya," kata Diana lagi.
Tidak rasa diri dieksploitasikan, kata Diana, Ismail bersikap fleksibel, malah langsung tidak melarangnya untuk mengenakan tuala ataupun berbaju ketika melakonkan babak tersebut.
"Cuma saya sendiri rasa seperti tidak kena jika adegan mandi lulur dan mandi bunga dilakonkan dengan memakai baju ataupun bertuala," kata Diana sambil ketawa kecil.
Biarpun layar televisyen tempatan seringkali dilambakkan dengan pelbagai judul kisah seram, namun kata Diana, Nenek Kebaya langsung tidak serupa dengan mana-mana kisah seram yang pernah ditayangkan sebelum ini.
"Mungkin ini sudah rezeki saya sebab bukan senang saya nak dapat peluang untuk berlakon dalam cerita-cerita sebegini.
"Selepas berkahwin saya langsung tidak menerima mana-mana tawaran yang diberikan. Sehingga kini, tidak silap hampir lapan tawaran yang telah saya tolak.
"Bukan sebab nak berhenti berlakon tetapi sebab pada awalnya saya nak tumpukan pada perniagaan spa dahulu.
"Selepas kahwin rasanya itulah masa terbaik untuk menumpukan perhatian pada perniagaan. Mulanya saya merancang berlakon semula mulai tahun depan tetapi dah rezeki saya memang tak boleh nak lari," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: