![]() |
| David Teo (dari kanan) dan Farid Kamil menghulurkan sumbangan peribadi mereka kepada balu Ismail Din, Kalsom (dari kiri) & Siti Zubaidah sambil diperhatikan anak-anak mereka. |
Minggu lepas Pancaindera menyiarkan laporan mengenai keluarga pelakon veteran Allahyarham Ismail Din yang hidup dalam kesusahan selepas arwah meninggal dunia di Mekah empat tahun lalu.
Isteri pertama dan kedua Allahyarham iaitu Kalsom Idris,62, dan Siti Zubaidah Abidin,44, hidup dengan menjual kuih dan rempeyek bagi menyara lima anak mereka yang berumur antara 8 hingga 20 tahun.
Dalam masa yang sama Kalsom dan Siti Zubaidah turut mengambil upah menjaga bayi.
Perkahwinan pertama Allahyarham tidak dikurniakan anak. Disebabkan itulah Kalsom membenarkan suaminya berkahwin dengan Siti Zubaidah. Alhamdulillah, walaupun bermadu, mereka bahagia tinggal di bawah satu bumbung.
Semasa Allahyarham meninggal dunia, dia tidak meninggalkan apa-apa kemewahan untuk keluarganya. Maklumlah, jadi pelakon bukannya ada pencen.
Hanya sebuah rumah dan kereta untuk mereka meneruskan hidup.
Tapi syukurlah berkat hubungan baik hidup bermadu, mereka dilimpahkan kesenangan apabila anak-anak berjaya dalam pelajaran.
Dua anak mereka sudah belajar di institut pengajian tinggi dan seorang daripadanya akan melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di United Kingdom pada tahun hadapan.
Kesengsaraan keluarga Allahyarham yang kini bernaung di bawah rumah kebajikan Yayasan Rahoma Darul Fakir, Taman Melati, Kuala Lumpur mendapat perhatian orang ramai apabila membaca kisah mereka minggu lalu.
Niezam pun dapat banyak panggilan telefon daripada peminat Allahyarham yang mahu menghulurkan sumbangan dan memberikan mereka wang zakat.
Selama ini orang hanya menonton kehebatan Allahyarham di televisyen. Orang ketawa terbahak-bahak tengok aksi komedi yang dia lakonkan. Tapi tak siapa yang tahu selepas Allahyarham meninggal dunia, keluarganya hidup dalam kesusahan.
Rabu lalu, penerbit filem David Teo tidak melepaskan peluang untuk menziarahi keluarga Allahyarham yang tinggal di Datuk Keramat, Kuala Lumpur.
Kata David, Allahyarham banyak berlakon dalam filem terbitan syarikatnya MIG Production, termasuklah filem Anak Mami yang mencecah kutipan RM3 juta.
Semasa di lokasi penggambaran kata David, Allahyarham tak pernah tinggal solat. Malah Allahyarham juga banyak bagi nasihat kepada pelakon-pelakon baru untuk berjaya.
Mungkin kerana itulah Allah mengambil nyawanya di tempat mulia iaitu ketika solat sunat di Hijir Ismail, depan Kaabah.
David turut menghulurkan sumbangan peribadinya. Farid Kamil yang pernah berlakon dengan Allahyarham dalam filem Mistik pun memberi sumbangan.
Kata David, di juga merancang dengan Yayasan Rahoma Darul Fakir untuk menganjurkan tayangan amal filem bagi membantu meringankan beban keluarga Allahyarham.
Semasa kunjungan kami, Siti Zubaidah dan Kalsom turut menitiskan air mata kerana ada juga pihak yang prihatin dengan kesempitan hidup mereka itu.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada sesiapa yang membantu. Hanya Allah yang dapat membalasnya," kata Kalsom.
Kepada pembaca yang selama ini tertanya-tanya macam mana hendak menghubungi keluarga Ismail Din bagi memberi bantuan, bolehlah berhubung dengan Noor Roszita A. Aziz, Pengetua, Yayasan Rahoma Darul Fakir, 45, Jalan 2/5A, Taman Melati, 53100 Kuala Lumpur. Nombor telefon 016-3111569.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: