![]() |
| Wan Raja (belakang) dan Arje Lee bersedia menghadapi kritikan berikutan penglibatan mereka dalam filem ...Dalam Botol. |
Khir Rahman! Orang kenal nama itu sebagai pelakon dan penggiat teater. Bukan sebagai pengarah?
Memang benar! Saya bermula sebagai pelakon pada umur 19 tahun. Lepas tu saya berlakon teater. Kemudian pula saya jadi penyanyi Iklim. Dapatlah keluar satu album. Tak lama lepas tu saya agak kecewa dengan dunia seni, saya sambung belajar di UiTM. Alhamdulillah, sekarang saya kembali aktif.
Filem ...Dalam Botol adalah kerja tangan pertama Khir sebagai pengarah. Macam mana ya? Tak ada pengalaman tetapi mahu ambil tanggungjawab itu?
Sebelum ini saya pernah arahkan filem pendek. Saya gunakan pengalaman saya semasa belajar dan berlakon untuk menjadi seorang pengarah. Saya memang merancang pada tahun hadapan saya ingin aktif dalam kerja-kerja pengarahan tetapi rezeki tu nak datang awal, hujung tahun ini saya sudah dapat peluang yang diberikan Raja Azmi. Jadi saya terima cabaran tersebut.
...Dalam Botol, sebuah filem kehidupan masyarakat gay. Filem ini kontroversi sehingga mendapat bantahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan dikritik pihak tertentu. Macam mana Khir mahu berhadapan dengan situasi ini?
Saya tak nafikan memang saya gemuruh untuk buat filem yang agak kontroversi. Yang pertama saya lihat macam mana nak tangani naskah ini. Orang akan kata kalau kita bukan daripada kelompok gay, macam mana kita nak faham filem macam ini? Tapi saya percaya ia bukan satu masalah besar kerana kita boleh berjaya jika kita buat kajian mengenainya.
Keduanya saya gemuruh kerana kadang-kala sukar untuk menerangkan kepada masyarakat untuk bezakan kehidupan sebenar seseorang dan karya yang dihasilkan. Saya percaya yang filem adalah filem. Jangan menuduh filem akan memusnahkan masyarakat kita.
Tadi anda berkata nak buat kajian. Adakah Khir sudah mengkaji mengenai budaya untuk mengarahkan filem ini?
Ya... saya kena cari kawan-kawan yang berada dalam kelompok yang macam tu. Mereka bawa saya bergaul untuk tahu budaya hidup golongan berkenaan dan sikap mereka yang sebenar. Dari situlah saya akan buat lakon layarnya.
Banyak tema filem boleh kita hasilkan tetapi kenapa jenis filem ini?
Nak sampaikan mesej bukan kerja pembikin filem. Kalau kita sibuk nak sampaikan mesej saja, filem akan jadi murah. Bagi saya senang saja, kita kena jujur dalam berkarya barulah mesej itu akan datang dengan sendiri. Jujur itu penting.
Maksud jujur macam mana?
Contohnya kalau kita minum teh, kita rasa dulu kena atau tidak dengan tekak kita. Bukan terus tolak air teh itu. Sama juga dalam filem ini. Kita bagi peluang untuk mengenali pelbagai jenis masyarakat yang dicipta di dunia. Dan filem ini memberi pelung kita mengenali jenis kaum berkenaan yang dicita oleh Tuhan. Bukan terus menghukum.
Ada yang berkata geli tengok lelaki dengan lelaki berpeluk. Akan timbul nanti filem ini sebuah filem yang jijik. Boleh komen pendapat itu?
Saya dibesarkan sebagai Islam yang memegang kuat adat Melayu. Kita nak jijik dekat siapa? Kalau kita seorang yang berfikiran terbuka, kita seorang yang untung kerana kita akan berpeluang mengenal pelbagai jenis ragam dan sifat manusia. Tetapi jika kita seorang yang kolot, kita hanya akan memandang perkara tak betul saja mengenai orang dan mulalah kita buat macam-macam andaian. Itu sudah tak betul.
Bukan apa, ada pihak bimbang, budaya dalam filem akan mempengaruhi orang diluar sana.
Kita buat filem bukan sahaja mendidik tetapi bercerita dengan jujur. Dalam apa juga hal, penonton yang pilih jalan masing-masing. Kalau tak ada filem pun bukan bermakna tak ada gejala sosial. Tak ada seorang pembikin filem pun yang suruh penonton pilih jalan itu.
Ada atau tidak adegan terlampau yang hendak ditonjolkan?
Saya berani kata benda ini tak akan berlaku. Kalau berlaku sekali pun ia hanya tuntutan cerita atau watak sahaja. Pihak kami juga akan mematuhi garis panduan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPFM) yang menasihatkan supaya adegan yang ditonjolkan adalah nasihat dan bukannya nak mengajar.
Contohnya seorang penagih dadah. Kita tak tunjuk adegan bagaimana penagih dadah itu memproses dadah sebelum menghisapnya kerana takut jadi ikutan apabila orang belajar melaluinya. Begitu juga adegan-adegan "panas" dalam ...Dalam Botol ini.
Orang turut mengaitkan Raja Azmi hanya nak cari kontroversi dengan menghasilkan sebuah filem murahan. Apa pendapat Khir sebagai pengarah baru?
Saya puji Raja Azmi kerana dia seorang yang berani buat cerita yang berbeza temanya berbanding orang lain. Kalau dia salah, jangan bunuh keberanian dia kerana dia seorang yang jujur untuk buat filem. Kita harus beri semangat pada dia. Dalam filem ini saya akan gabung unsur-unsur ilmiah untuk memudahkan orang faham. Dan saya percaya penonton boleh menerimanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: