Tuesday, October 27, 2009

Kenang idola di pentas IB


JAMAL turut menghiburkan anak yatim dengan rangkaian lagu popularnya pada majlis Aidilfitri anjuran Hotel Quality, baru-baru ini.

Jamal Abdillah mula sibuk cari penaja untuk Konsert Nada Legenda tahun depan

NAMPAKNYA sambutan menggalakkan yang diberikan peminat terhadap Konsert Jamal...Kembara Seniman yang dijayakan Jamal Abdillah Ogos lalu di Istana Budaya, bukanlah yang pertama dan terakhir buat penyanyi bersuara 'jantan' itu.

Sebaliknya, Jamal akan kembali ke pentas berprestij itu untuk menghiburkan peminat setianya menerusi sebuah lagi konsert yang akan menyaksikan Jamal mengalunkan lagu yang pernah dipopularkan idolanya.


Diterbitkan oleh syarikatnya sendiri iaitu Bintang Channel Sdn Bhd, Konsert Nada Legenda ini juga menjadi tempat untuk Jamal meluahkan rasa kekagumannya terhadap idola yang begitu diminati dan dipujanya sejak dia mengenali dunia seni. Antara penyanyi yang bakal lagunya dinyanyikan Jamal adalah Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Saloma dan R Azmi. Manakala untuk legenda dari luar negara pula ialah Allahyarham S Effendi, Santana dan juga Frank Sinatra.

“Memang sejak dulu lagi saya memasang angan-angan untuk membuat sebuah konsert yang membolehkan saya menyanyikan lagu penyanyi pujaan saya. Apabila konsert Jamal...Kembara Seniman berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan, barulah saya berani untuk mengetengahkan hasrat ini dan untuk konsert ini, saya masih berminat untuk bekerjasama dengan Istana Budaya.

“Mengikut perancangan, kami akan mengadakan konsert ini selepas sambutan Aidilfitri tahun depan. Semua kertas kerja sudah siap dan kami sedang mencari penaja untuk sama-sama menjayakan konsert ini. Sama seperti konsert terdahulu, kami masih lagi menggunakan lokasi yang serupa iaitu Istana Budaya. Bukan tidak mahu memilih lokasi lain seperti stadium tetapi dari segi kemudahan, Istana Budaya memang mempunyai kemudahan yang kami inginkan untuk konsert ini nanti selain faktor keselesaan untuk penonton.



“Mungkin kami akan menggunakan hologram atau pancaran laser sebagai penghias konsert ini. Buat masa ini kami sedang menyiapkan kertas kerja dan dalam peringkat untuk mencari penaja yang sanggup bekerjasama dengan kami untuk merealisasikan konsert ini.

''Buat masa ini, saya dan Bintang Channel sedang mengumpul bahan untuk konsep dan pemilihan lagu di konsert itu nanti,'' katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Aidilfitri bersama anak-anak yatim Rumah Penyayang Raudhah anjuran Hotel Quality Kuala Lumpur, baru-baru ini. Hadir sama, Presiden Kumpulan Darul Ehsan Berhad, Datuk Abd Karim Munisar dan Presiden Rotary Club Danau Desa, Michael Kuan.

Pada majlis itu Jamal turut menyanyikan lagu berkonsepkan Hari Raya dan rangkaian lagu popularnya.

Bakal beraksi selama dua jam, Jamal berkata untuk konsert ini akan menyaksikan dia menyanyi tanpa sebarang sketsa seperti mana konsert yang diadakan sebelum ini.

“Selain menyanyi secara solo, saya juga akan menyampaikan lagu secara duet dengan penyanyi undangan wanita. Buat masa ini kami sedang mengumpulkan lagu yang bakal dinyanyikan untuk konsert yang akan berlangsung selama tiga malam itu. Semua lagu itu nanti akan diiringi kumpulan orkestra,” kata penyanyi ini yang turut ditemani anak sulungnya, Osama Yamani , 8 tahun.

Usahawan ikan hiasan

JIKA artis lain lebih gemar membuka perniagaan yang ada kaitan dengan dunia hiburan namun perkara itu tidak berlaku pada penyanyi ini. Dalam diam Jamal aktif dalam perniagaan ikan hiasan yang menurutnya lebih mendatangkan pendapatan lumayan.

“Saya meminati ikan hiasan ini sejak zaman remaja lagi. Justeru, apabila ada peluang untuk saya membuka perniagaan ini, sudah tentu saya takkan lepaskan. Untuk perniagaan ini, saya menjadi pelabur untuk sebuah syarikat yang beroperasi di Bukit Merah, Perak. Biarpun hanya perniagaan ikan hiasan tapi ia menjanjikan pulangan yang lumayan. Di Bukit Merah, kami menternaknya di sebuah kawasan seluas 50 ekar.

“Perniagaan ikan hiasan memang cukup popular sekarang ini. Bukan saja dalam negara tetapi juga di luar dan ikan ini semua turut dieksport ke pasaran luar negara seperti China, Hong Kong, Dubai, Taiwan dan Amerika Syarikat. Jika ada rezeki saya merancang untuk menambahkan lagi pelaburan untuk perniagaan itu,” kata Jamal dalam nada teruja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: