SEKALUNG tahniah Cik Normah ucapkan kepada penyampai radio Sinar FM yang juga pengusaha premis makanan, Linda Onn kerana baru-baru ini dinobatkan dengan satu anugerah. Bagaimanapun, anugerah yang diterimanya itu tiada kaitan dengan dunia hiburan, sebaliknya kemenangan itu diperolehnya dalam bidang perniagaan.
Ketika melayari blog Linda, Cik Normah sempat membaca catatannya yang begitu bersyukur ke hadrat Ilahi kerana restorannya My Asam Pedas Shop dianugerahkan sebagai Premis Perniagaan Makanan Bersih pada 9 Oktober lalu. Bagi yang tidak tahu, restoran itu beroperasi di sebelah Tesco Ampang, Lebuh Raya MRR2.
Anugerah itu diiktiraf Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sebagai salah satu restoran terbersih yang terpilih. Anugerah terbabit disampaikan sendiri oleh Yang Dipertua MPAJ iaitu Datuk Mohammad Yacob di Auditorium MPAJ.
Cik Normah tumpang gembira dengan kejayaan Linda itu. Dalam sibuk bekerja keras mengumpul aset, ada juga pihak yang nampak kesungguhan Linda untuk menjadi yang terbaik. Sudahlah bijak mengumpul aset dan semakin cantik, Linda disifatkan ramai sebagai antara selebriti yang pantas mencuri peluang di depan mata.
Sayangnya keseronokan dan kesenangan yang Linda kecapi sekarang tidak dapat dikongsi dengan lelaki yang bergelar kekasih mahupun suami. Tapi cukuplah buat sementara waktu, Linda dapat menggembirakan keluarga dan sanak saudaranya.
Siapa agaknya calon terbaik untuk menjadi kekasih Linda? Tak sabar Cik Normah nak tahu. Lelaki Melayu dan mat salih antara yang pernah bertamu di hatinya. Agaknya selepas ini, lelaki berbangsa asing mana pula yang dapat memenangi hati Linda. Cik Normah tunggu berita ini dengan penuh sabar.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: