Tuesday, October 27, 2009

Cabaran terbit Alaisya bukan sedikit


Aliff Razali

UNTUK muncul dengan album penuh, mungkin agak sukar, terutama pada ketika kesuraman industri muzik cukup dirasa. Lalu, jalan alternatif adalah dengan penghasilan album mini, demi memastikan kesinambungan kreativiti dan minat terhadap dunia muzik berterusan.

Begitupun, penyanyi yang dilahirkan menerusi program Akademi Fantasi, Aliff Razali, mengaku cabaran menghasilkan album mini juga bukan sedikit. Dia sendiri sudah mengalaminya sewaktu proses menerbitkan album diberi judul Alaisya dilakukan. Walaupun hanya memuatkan tiga lagu, keringat yang tumpah bukan kepalang.

Kata anak muda dari Pulau Pinang ini, cabaran utama tentunya untuk mengumpulkan dana sebelum proses rakaman muzik dan seterusnya vokal dapat dilakukan.


"Bagi mendapatkan komposer yang sudah mempunyai nama, pastilah perbelanjaannya agak besar. Saya yang bergerak dengan syarikat sendiri, Aliff Razali Entertainment, belum mampu untuk berbelanja lebih untuk percubaan pertama.

"Lalu, kami mencari pencipta baru yang berbakat, yang mampu kami bayar dengan harga berpatutan. Walaupun masih belum dikenali ramai, namun komposer seperti Aesar Mustafa dan Faiz Azizi atau lebih dikenali sebagai GG (Sixth Sense) berupaya menghasilkan lagu yang sesuai dengan konsep ingin kami tampilkan," kata Aliff ketika berkunjung ke Balai Berita baru-baru ini.

Selain Alaisya yang diangkat sebagai judul album, Aesar turut menghasilkan sepenuhnya sebuah lagi lagu berjudul Tiga Malam Ada Bintang, manakala Faiz pula mencipta Tiada Rasa (lirik tulisan Juan Danza).

"Saya mengumpulkan modal selama setahun sebelum proses rakaman dan pembungkusan akhirnya dapat dilakukan, iaitu selama kira-kira tiga bulan," ujar Aliff melahirkan kesyukuran apabila bapanya sendiri, serta ramai juga rakan seperjuangan sudi menghulurkan bantuan sehingga terhasilnya album perdana ini.

Akibat kekangan bajet juga penyanyi ini berkata, hanya tiga lagu dapat dimuatkan dalam album sulung. Namun, penghasilan album mini sebegini dikira amat bertepatan dengan keadaan pasaran semasa. Dia sendiri merancang untuk muncul bersama album single demi album single saja, sehinggalah satu ketika nanti lagu berkenaan dapat dikumpulkan dalam sebuah album.

Hasil pertama Aliff juga tidak dipasarkan di kedai muzik seperti biasa, sebaliknya peminat penyanyi ini boleh mendapatkannya daripada laman sesawang Aliff FC atau Facebook miliknya (Aliff Razali).

"Saya turut menjual sendiri album ini pada lokasi persembahan, termasuk ketika mengadakan persembahan di Singapura bersama Roslan Shah, baru-baru ini," katanya yang turut terbabit dalam acara persembahan bagi mempromosikan produk Aura Seri pada acara Karnival Gegaria Harian Metro yang berlangsung di Dungun, Terengganu pada 9 dan 10 Oktober lalu.

Menurut jejaka berusia 23 tahun ini, untuk album perdananya, keberanian menghasilkan sendiri lagu yang dirakamkan belum ada. Justeru, dia meminta komposer lebih berpengalaman membantunya dalam bab berkenaan.

"Memang saya juga berkeupayaan untuk mencipta lagu, tetapi rasanya ‘cahaya’ belum sampai lagi untuk saya menyanyikan lagu sendiri menerusi album sulung ini. Insya-Allah, jika rezeki berpanjangan, saya akan mencuba berbuat demikian pada masa akan datang," kata pemuda yang boleh bermain alat muzik seperti gitar, dram dan piano ini.

Menyentuh pemilihan lagu dalam album itu, Aliff memberitahu, Alaisya sebuah penghasilan pop yang dapat memenuhi selera kesemua peminat. Lagu itu sendiri, umpamanya, mempertaruhkan rentak balada dan soul.

"Lagu ini sebenarnya seperti rojak kerana ia menggabungkan lirik dalam bahasa Melayu dan Inggeris. Rasanya belum ada artis yang berbuat begitu. Jadi, pendekatan ini diambil bagi memberikan kelainan kepada produk kami. Alhamdulillah, ia diterima dan sudah pun diputarkan di stesen radio seluruh negara. Penyampai radio Singapura juga nampaknya sudah memainkan lagu ini di sana.

"Tiga Malam Ada Bintang pula lebih kepada irama rancak dengan elemen rock ala Mambo No 5. Manakala Tiada Rasa ialah duet saya bersama seorang lagi peserta AF, Ika Nabella. Kami berkongsi peruntukan bagi menghasilkan lagu yang mempunyai pengaruh irama Indonesia ini," cerita Aliff.

Selain dunia muzik yang menjadi keutamaan dalam kerjaya seninya, anak muda ini juga sebenarnya berkebolehan dalam lakonan. Sehingga kini, dia membintangi beberapa telefilem, drama bersiri dan teater. Terbaru, dia membintangi drama bersiri lima episod berjudul Mak Yong, yang bakal disiarkan RTM pada Disember depan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: