
![]() |
| WIM VANHOOF |
![]() |
| AFANG LIU |
SELAIN merayakan Thaipusam, penganut agama Hindu juga meraikan festival Navarathiri. Baru-baru ini, Kuil Sri Maha Mariamman di Lebuh Queen, Pulau Pinang mengadakan festival Navarathiri secara besar-besaran. Festival itu diraikan dengan perarakan kereta berhala, persembahan tarian tradisional yang diiringi muzik dan sketsa. Ia bukan sahaja menjadi pelengkap sambutan tetapi turut mencuri tumpuan pelancong asing.
Selain itu, pengunjung tempatan yang lalu di situ turut berpeluang melihat festival tersebut.
Ramai pengunjung menganggap festival itu adalah sambutan sempena Deepavali yang akan datang dan ada pula menyangkanya aktiviti kuil.
"Saya selalu ingat sambutan ini diadakan menjelang Deepavali," kata seorang penarik beca, Kim Wei Foon, 54.
Dia yang tidak mahu memberi maklumat salah mengenai festival itu kepada pelancong asing yang menaiki becanya, meminta beberapa penganut Hindu menerangkan tujuan festival itu.
"Navarathiri adalah festival Sembilan Malam yang diraikan untuk menghormati Dewi Shakti, Dewi Laxmi dan Dewi Saraswathy.
"Dewi-dewi ini mewakili kuasa kekuatan, kekayaan dan ilmu. Setiap Dewi diperuntukkan tiga hari. Hari terakhir sambutan (hari ke-10) adalah hari ketiga-tiga Dewi bergabung untuk memusnahkan kuasa jahat, Mahisasura.
"Sketsa Dewi membunuh Mahisasura dengan menggunakan anak panah turut dipersembahkan," kata P.Magaenthiran kepada Kosmo!.
Sepasang pelancong dari Hong Kong, Brian Yam dan Afang Liu masing-masing 24 tahun turut mendengar penjelasan itu. Mereka juga teruja melihat adat memecahkan kelapa.
"Ia sangat menarik dan mengasyikkan. Saya mengenali budaya Hindu menerusi program-program dokumentari di televisyen. Hari ini, saya bertuah kerana dapat melihatnya sendiri," kata Brian.
Afang pula teruja melihat warna-warna pakaian tradisional dan cahaya lampu dari kereta berhala.
Bagi empat sekawan dari Belgium yang datang menaiki beca, mereka turut tidak melepaskan peluang mengikuti kereta berhala. Menurut mereka, kedatangan mereka di situ tidak dirancang.
"Kami tidak tahu apa yang sedang berlaku. Kami datang setelah melihat orang ramai dan nyalaan lampu-lampu yang jelas kelihatan dari jauh.
"Ia cukup menyeronokkan khususnya tarian dan permainan muziknya," kata Yasmin Vicken, 25, merujuk kepada tarian tradisional Kolatham yang ditarikan oleh sekumpulan kanak-kanak perempuan. "Apa nama tarian ini? Adakah ia satu kemestian?" soalnya.
Walaupun bukan satu kemestian, tarian, bunyi gendang dan lagu-lagu nyata memeriahkan lagi festival.
Dalam keadaan kurang pasti dengan apa sebenarnya sedang berlangsung, Yasmin tetap menunjukkan minat untuk menonton sketsa tersebut.
Tom Geunes, 26, Wim Vanhoof, 24, dan Sanne Couns, 23, pula berpendapat kepelbagaian budaya dan adat resam di negara ini adalah sesuatu yang menarik dan perlu dipromosikan.
"Kami datang dari jauh untuk melihat budaya dan cara hidup orang di sini. Kami amat berpuas hati dengan apa yang dilihat," kata Wim.
Tambahnya, selain makanan dan bangunan warisan, kekayaan Pulau Pinang terletak pada kepelbagaian budaya penduduknya.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: