![]() |
| a. Rahman Hassan (kanan) bersama Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman (empat dari kiri) dan para peserta yang terbabit pada kongres anjuran MAHKOTA pada Ogos tahun lalu di Johor Bahru, Johor. |
USAHA Majlis Perundingan Industri Hiburan dan Kesenian Tanah Air (MAHKOTA) yang telah menganjurkan Kongres Kebangsaan Industri Hiburan dan Kesenian Malaysia di Johor Bahru, Johor, pada 15 hingga 17 Ogos tahun lalu patut diberi sanjungan oleh semua pihak.
Ini kerana pada kongres yang dipengerusikan Datuk A. Rahman Hassan itu, pelbagai isu membabitkan bidang perfileman, muzik, teater, media massa dan seni persembahan telah dibentangkan dengan disertai 420 peserta daripada bidang-bidang terbabit.
Tidak dinafikan kongres itu merupakan antara kongres terbesar yang diadakan untuk menambahbaik industri hiburan tempatan dan ia mendapat kerjasama daripada Kerajaan Negeri Johor serta Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Sebanyak 26 resolusi dan usul telah dikemukakan oleh para pembentang kertas kerja di mana ia telah diterbitkan menerusi sebuah buku berjudul Kongres Kebangsaan Industri Hiburan dan Kesenian Malaysia terbitan MAHKOTA dan diterbitkan sejak Julai lalu.
Buku itu telahpun diedarkan kepada banyak pihak termasuklah wakil-wakil media massa pada sidang akhbar MAHKOTA yang diadakan di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Daripada situlah kita dapat melihat pelbagai masalah yang berlaku dalam industri hiburan seperti soal kebajikan artis, taraf hidup, pendapatan dan masa depan para penggiat bidang-bidang seni yang tidak menentu serta memerlukan perhatian serius.
Pengerusi Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia, Datuk Aziz Bakar menerusi kertas kerjanya yang bertajuk Ruang Pembangunan dan Pengembangan Muzik Negara contohnya, memberikan statistik kemeruduman yang sedang berlaku dalam industri muzik tanah air.
Menurut Aziz, pendapatan industri muzik tempatan pada tahun 1996 mencatat keuntungan RM290 juta kemudiannya merosot kepada RM270 juta pada 1997, RM225 juta (1998), RM100 juta (2005) dan pada tahun 2008 jumlahnya setakat RM90 juta sahaja.
Sebagai Pengerusi MAHKOTA, puluhan isu yang diketengahkan oleh para peserta menerusi kongres dan buku itu tentunya merupakan suatu tanggungjawab yang besar buat Rahman.
Bukan niat memperkecilkan kemampuan dan komitmen MAHKOTA, sebaliknya majlis perundingan itu perlu lebih proaktif dan mempunyai fokus serta perancangan yang teliti bagi mengetengahkan puluhan isu yang dikutip daripada kongres tersebut.
Justeru, ada kalangan wartawan yang membuat liputan mengenai kongres tersebut melihat MAHKOTA sebenarnya baru sekadar 'mengetuk pintu' industri hiburan di negara ini dan 'belum masuk' ke dalamnya yang penuh dengan pelbagai birokrasi dan sebagainya.
Selepas setahun berkongres, MAHKOTA nampaknya hanya setakat mampu menerbitkan sebuah buku yang menghimpunkan laporan kertas kerja, resolusi dan usul daripada kongres itu, tetapi mereka belum lagi memperlihatkan anjakan-anjakan daripada isu-isu yang dibentangkan.
Realiti teruk
Tidak dinafikan buku dan kongres itu mengetengahkan pelbagai fakta tentang realiti teruk yang sedang berlaku dalam industri seni dan hiburan tempatan, tetapi persoalannya apakah langkah MAHKOTA seterusnya selepas ini bagi menyelesaikan semua masalah tersebut?
Sepatutnya, dalam masa setahun selepas kongres itu MAHKOTA sudah mula sedikit demi sedikit beranjak memperjuangkan satu persatu isu-isu yang diketengahkan dengan mengadakan tindakan susulan dan tidak setakat terhenti di atas kertas-kertas kerja sahaja.
Ke mana perginya ahli-ahli MAHKOTA yang lain dalam memanjangkan isu-isu yang diketengahkan pada kongres itu? Apakah yang mereka telah lakukan selepas setahun kongres itu berakhir?
Rahman mahupun MAHKOTA juga tentunya pening kepala untuk memperjuangkan kesemua isu atau permasalahan yang dikemukakan pada kongres itu secara serentak di mana pelan tindakan dan fokus seharusnya juga sudah dirancang oleh majlis perundingan tersebut.
Misalnya, idea penubuhan Perbadanan Kemajuan Industri Muzik Malaysia bukanlah suatu perkara baru, sebaliknya idea penubuhan perbadanan itu sudahpun dicetuskan menerusi kolum ini lebih setahun yang lalu.
Sayangnya, isu itu sekadar dijadikan bahan perbincangan dan disuarakan pada kongres tersebut tetapi tiada pula usulnya diperpanjangkan termasuklah daripada pihak Majlis Muzik Malaysia (MMM) yang juga dipengerusikan oleh Rahman.
Idea itu antara lain bagi menjaga kepentingan industri muzik sama seperti yang telah dilakukan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi menggalak, membantu serta memajukan bidang perfileman di negara ini sejak kira-kira 28 tahun lalu.
Jika penubuhan perbadanan muzik itu dianggap penting oleh MMM selaku pejuang dalam industri muzik di negara ini mahupun mana-mana juga pembentang kertas kerja pada kongres anjuran MAHKOTA itu, mereka seharusnya sudah ada rangka atau kertas kerja bagi menyokong idea tersebut.
Begitu juga dengan cetusan idea bagi menubuhkan Arkib Muzik Negara yang meliputi pengumpulan bahan-bahan seperti lagu-lagu yang dicipta dan dirakamkan oleh para karyawan muzik tanah air untuk dijadikan khazanah serta rujukan generasi akan datang.
Difahamkan, MAHKOTA bercadang menyerahkan buku Kongres Kebangsaan Industri Hiburan dan Kesenian Malaysia kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebagai membuktikan komitmen mereka memperjuangkan industri tersebut.
Rumusan kasar
Sayangnya juga, buku itu boleh diibaratkan sebagai suatu rumusan kasar yang belum memperlihatkan kaedah-kaedah pelaksanaannya, selain banyak kesilapan ejaan serta nama-nama peserta sama yang diulang cetak beberapa kali mungkin bagi memperlihatkan gahnya kongres itu.
Adakah bilangan hampir 400 peserta yang dimuatkan pada senarai nama peserta yang mengikuti kongres dalam buku itu mampu menggambarkan sokongan sebenar para penggiat seni terhadap apa yang sedang berlaku dalam industri seni dan hiburan ketika ini?
Kongres itu memang nampak bermaklumat dengan pembentangan kertas-kertas kerja daripada individu-individu yang mewakili pelbagai bidang seni. Namun, ia tentunya lebih bermakna jika disaksikan sendiri oleh para karyawan yang terbabit secara langsung dalam bidang tersebut.
Contohnya, kalangan komposer, penulis lirik, penyanyi, pelakon dan pemuzik di mana ia sepatutnya tidak tertumpu kepada golongan-golongan tertentu seperti agensi-agensi kerajaan atau wakil-wakil daripada persatuan-persatuan artis sahaja.
Setelah setahun, ramai yang tentunya ingin mengikuti apakah perkembangan MAHKOTA selanjutnya dalam menangani permasalahan yang telah dan sedang berlaku dalam industri seni dan hiburan di negara ini.
Dengan hanya berbekalkan intipati kongres itu, perjuangan MAHKOTA bukan setakat langkah pertama atau baru 'mengetuk pintu' dalam industri ini. Sebaliknya, ia juga membawa tanggungjawab serta reputasi terhadap majlis perundingan itu sendiri.
Sebabnya, kita tidak mahu MAHKOTA dianggap hanya sekadar mencari populariti sebagai jaguh pejuang di kalangan penggiat seni di negara ini semata-mata. Sedangkan pada masa sama, mereka belum lagi menangani segala isu yang dibangkitkan pada kongres itu biarpun ia telah dianjurkan lebih setahun yang lalu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: