Pembukaan galeri baru di bandar-bandar besar membuktikan perkembangan positif terhadap seni visual di India.

DUNIA kesenian India turut terjejas akibat kesan kemelesetan ekonomi global, tetapi bagi sekumpulan ahli perniagaan di bandar Mumbai, tiada masa yang lebih baik daripada sekarang untuk membuka galeri baru.
Pada minggu lalu, Bose Krishnamachari, Devaunshi, Dia Mehta dan Yash serta Avan Birla membuka Gallery BMB dengan harapan untuk memulakan sektor tersebut melalui pameran seni kontemporari terbaik India dan antarabangsa di bawah satu bumbung.
Pameran pertama yang bertajuk The Dark Science of Five Continents itu menampilkan pelukis terkemuka seperti Riyaz Komu dari India, Tunga (Brazil), Jake dan Dinos Chapman (Britain), Jon Kessler (New York), George Osodi (Nigeria) dan Wang Qingsong dari China.
Kebanyakan pemasangan, fotografi, video dan ukiran yang terdapat dalam pameran tersebut tidak pernah dipamerkan di India sebelum ini.
Dengan perancangan untuk mengadakan enam hingga lapan pameran setiap tahun, Krishnamachari selaku Pengarah Artistik Galeri BMB, mengibaratkan ia seperti Kriket Liga Perdana India dan Liga Bola Sepak Eropah yang mana kedua-duanya berjaya menarik bintang terhebat dari seluruh dunia.
"Saya memberi mereka sebiji 'bola' dan biarkan mereka 'bermain'," katanya.
Walaupun kini terdapat tanda-tanda pemulihan, kesuraman ekonomi global telah menyaksikan banyak galeri seni di seluruh dunia terpaksa ditutup, pembatalan festival kesenian dan pengurangan drastik dalam jumlah karya yang terjual dan harga sewaktu lelongan.
Akhbar harian Britain, The Daily Telegraph melaporkan pada bulan Januari lalu, jualan karya seni kontemporari di Christie's, Sotheby's dan Phillips de Pury & Co. jatuh daripada 1,064 lot pada Februari 2008 kepada 437 lot.
Nilai karya yang dijual melalui rumah-rumah lelongan jatuh daripada 204 juta pound (RM1.13 bilion) tahun lalu kepada 48.3 juta pound (RM267 juta) dengan purata lot dianggarkan turut jatuh daripada 234,000 pound (RM1.29 juta) kepada 102,000 pound (RM564,606).
Ketua Eksekutif dan pengasas bersama rumah lelongan India, Saffronart, Dinesh Vazirani berkata, terdapat 60 hingga 80 peratus kejatuhan dalam nilai untuk seni kontemporari dan 30 hingga 50 peratus kejatuhan dalam untuk kesenian moden di seluruh dunia.
"Tetapi selepas satu jangka masa terhadap spekulasi pelabur besar yang menyebabkan harga tidak stabil, pengumpul-pengumpul kini kembali sambil membawa kestabilan dalam pasaran.
"Ia satu pembetulan yang amat penting yang perlu berlaku," jelas Vazirani.

Bagi Krishnamachari, Gallery BMB mempunyai matlamat untuk menjadi seperti galeri dengan gaya London atau New York yang akan memberi tumpuan lebih kepada artis, pelajar, connoisseur dan pengumpul berbanding pelabur untuk menjana pendapatan.
"Sekarang bukanlah masa yang baik (untuk membuka galeri), tetapi kesenian sentiasa dicipta dalam suasana kemelesetan. Pada masa ini, banyak galeri terpaksa ditutup. Namun, bagi saya inilah masanya untuk anda menunjukkan kekuatan diri," ujarnya.
India mempunyai legasi terhadap kesenian sejak 9,000 tahun yang lalu, tetapi kekurangan infrastruktur dan sokongan institusi untuk membangunkan potensi mereka ke peringkat dunia telah membantutkan banyak usaha.
Negara itu hanya mempunyai sebilangan kecil galeri utama untuk ribuan artis dan hanya beberapa muzium lama yang kebanyakannya dibina sewaktu era penjajah kolonial Britain. Sekolah-sekolah kesenian dan dana awam juga amat daif.
Bagaimanapun, India kini dilihat cuba mengikut jejak langkah China dalam meraih sanjungan antarabangsa untuk aktiviti kesenian tempatan mereka. Mengulas hal itu, Vazirani berkata, ruang baru seperti Galeri BMB mampu membuka jalan untuk mencapai impian tersebut.
Dia menjangka bahawa sekurang-kurangnya 12 galeri baru boleh dibuka menjelang beberapa tahun akan datang dengan sokongan daripada individu seperti Birlas dan Mehtas yang mana keluarga mereka adalah sebahagian daripada perniagaan elit India.
"Dalam masa lima tahun akan datang, kami akan lihat satu pasaran berbeza di mana terdapat pameran kesenian awam yang diadakan atas dasar berterusan. Ia sebenarnya satu kekurangan ketika waktu puncak kegemilangan kesenian di India.
"Sewaktu tempoh tersebut, semua perkara hanya berkaitan harga, pelaburan dan wang. Saya fikir lima tahun akan datang, semua perkara seperti bangunan infrastruktur dan kesenian adalah semata-mata untuk kesenian. Sekurang-kurangnya, itulah harapan kami," ujarnya.
Riyas Komu yang telah banyak mengadakan pameran di seluruh dunia termasuk di Venice Biennale pada tahun 2007 berkata, dia amat teruja untuk menjadi sebahagian daripada pameran yang julung kali diadakan itu. Malah, Komu bersetuju dengan Krishnamachari bahawa 'artis sentiasa bekerja dalam suasana kemelesetan atau kemuraman'.
"Kini, terdapat banyak perkara berlaku dalam kesenian India. Ia berlaku tanpa menghiraukan kedudukan ekonomi negara. Saya rasa ia (galeri) merupakan satu pelengkap kepadanya. Ia dibuka tepat pada waktunya...ruang baru dan agenda baru," tutur Komu penuh makna.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: