Wednesday, October 28, 2009

Kekasih bela maruah Farah - Duda dakwa bekas isteri cuba burukkan melalui e-mel

"Farah bukanlah punca penceraian saya dengan bekas isteri kerana kami bercerai sebelum saya mengenali Farah lagi. Jadi dia memang tidak ada kena mengena dengan perkahwinan saya sebelum ini" – M


KENANGAN percutian Farah di China baru-baru ini.


KONTROVERSI penyanyi Farah Asyikin yang dikatakan bercinta dengan suami orang beranak satu nampaknya belum berakhir biarpun Farah telah membuat kenyataan bahawa lelaki itu seorang duda. Apatah lagi, terbaru pihak media menerima lagi layangan e-mel yang mendakwa Farah berbohong dalam kenyataannya kepada Kosmo! Sabtu lalu.

Selepas hanya Farah yang tampil ibarat berbaju kalis peluru mempertahankan diri dan menjawab satu demi satu persoalan yang dilontarkan kepada dirinya, akhirnya lelaki yang dikatakan bercinta dengan janda cantik itu mula membuka mulut.

Kepada Kosmo! lelaki berasal dari Singapura dan hanya ingin dikenali sebagai 'M' tampil demi membersihkan nama Farah yang telah tercalar. Kenapa 'M' tidak mahu mendedahkan identiti sebenarnya, hanya Allah saja yang tahu walaupun berkali-kali diminta oleh Kosmo! berbuat demikian. Katanya, belum masa untuk dia tampil bertemu wajah dengan pihak media.

Jelasnya, Farah bukanlah punca penceraiannya dengan bekas isteri yang dinikahi tujuh tahun yang lalu kerana mereka hanya berkenalan menerusi laman web facebook kira-kira empat bulan yang lalu sedangkan dia telah menamatkan perkahwinannya pada tahun lepas.

"Saya dengan bekas isteri telah bercerai sebelum saya mengenali Farah. Jadi dia memang tidak ada kena mengena dengan perkahwinan saya sebelum ini.

"Cuma sekarang ada beberapa hal yang masih belum selesai seperti hak penjagaan anak, ingin saya tegaskan ketika Farah mengenali saya, memang saya bukan suami orang," ujarnya.


FARAH membuat keputusan menamatkan hubungannya dengan M.


Tambahnya, dia memberanikan diri tampil untuk membuatkan kenyataan kerana kasihan akan nasib yang menimpa Farah walhal penyanyi itu tidak langsung terbabit dalam penceraiannya.

Ulasnya lagi, dia mengambil keputusan berada di Macau sejak bulan April juga kerana ingin memulakan hidup baru selepas bercerai dan tidak menyangka sama sekali Farah akan hadir dalam hidupnya.

"Meskipun berada di Macau sejak April, bila kenal Farah, saya tahu dia seorang yang baik. Saya tidak tahu cerita hubungan kami menjadi teruk.

"Selepas mendapat beberapa e-mel yang dikirim Farah, baru saya tahu perkara ini memang sudah menjadi besar dan paling menerima kesannya pastinya Farah dan keluarga," ungkap duda berusia 35 tahun ini lagi.

Ditanya sama ada Farah tahu akan status dirinya sebagai duda pada awal pertemuan mereka, M mengatakan dia tidak pernah menyembunyikan statusnya.

"Masa kali pertama kami berjumpa, saya telah jelaskan kepadanya yang saya seorang duda dan mempunyai seorang anak. Saya tidak sembunyikan apa-apa daripadanya kerana dia berhak tahu sebelum kami meneruskan hubungan ke tahap yang lebih serius.

"Pada awal perkenalan memang saya tidak tahu dia seorang artis, tetapi melihat pada rakan-rakannya di facebook saya tahu dia bukanlah orang biasa. Saya tahu dia penyanyi apabila dia memberitahu saya," tuturnya.

Kami hanya kawan biasa

Ditanya sejauh mana hubungan dengan Farah, lama juga M terdiam tetapi kemudian menjelaskan dia sememangnya menyayangi Farah dan pernah bertemu dengan keluarganya sebelum ini tetapi disebabkan perkara ini, Farah menarik diri daripada meneruskan hubungan bersamanya.

"Saya tahu dia sedih atas apa yang terjadi dan saya tidak boleh menghalangnya untuk mengundur diri kerana dia tahu apa yang terbaik untuk dirinya dan keluarga."

Beritahu M lagi, dia dapat merasakan dalang sebalik layangan e-mel yang diterima pihak media adalah daripada bekas isterinya sendiri.

Malah, dia tidak tahu apa niatnya untuk menyebarkan fitnah sedemikian rupa sedangkan bekas isterinya pernah berbicara dengan Farah sebelum ini.

"E-mel itu mendakwa saya bercuti dengan Farah di Hong Kong, Macau dan China. Sebenarnya Farah memang ke sana seorang diri saja. Tetapi saya ada meminta dia membawa makanan dari Malaysia kerana di Macau tidak banyak makanan halal.

"Sebab itulah, Farah datang bertemu saya untuk serahkan makanan tersebut, sebelum meneruskan percutiannya di Hong Kong dan China. Ketika dia datang bertemu saya, secara kebetulan pula bekas isteri menghubungi saya.

"Dia sempat berbual dengan Farah dan pada waktu itu, perbualan antara mereka berjalan dengan baik sahaja. Saya tidak lihat perkara yang pelik pula.

"Itulah kali pertama mereka bercakap antara satu sama lain. Tetapi bila Farah pulang ke Malaysia, tiba-tiba sahaja ada e-mel seperti itu. Bila saya baca e-mel tersebut, ia memang ketara itu adalah daripadanya (bekas isteri). Jika tidak, orang yang menghantar e-mel itu memang tidak ada kerja," ujarnya.

Katanya lagi, mungkin waktu dan situasi mereka bertemu bukanlah masa yang sesuai. Jika tidak keadaan tidak akan jadi begini.

"Saya rasa sedih dan sayang untuk melepaskan seorang wanita yang baik seperti Farah. Andai ada jodoh kami akan bertemu kembali. Jika tidak, kami hanya kekal sebagai kawan sahaja," tuturnya.

Farah belum lega

Farah pula yang dihubungi memberitahu, dia masih tidak boleh berkata lega meskipun tuan punya badan telah tampil untuk menjernihkan keadaan.

"Sebelum ini hanya saya yang lantang bersuara dan orang ingat saya yang salah sedangkan saya tidak ada kena mengena dengan masalah keluarganya.

"Saya lebih bimbang akan reputasi saya, kerjaya dan keluarga. Bila perkara ini terjadi kehidupan saya sudah tidak sama seperti dulu. Orang akan memberi pandangan sinis terhadap saya walaupun hanya keluar bersama keluarga," terangnya.

Luah Farah, dia amat terkejut apabila layangan e-mel terbaru yang mengatakan dia berbohong dalam kenyataannya sebelum ini.

"Saya terkejut sangat dan sedih. Ia bukan sahaja menjejaskan saya tetapi juga nama baik keluarga. Saya memang tertekan dengan apa yang berlaku, tidak tahu nak cakap macam mana.

"Saya harap orang yang rajin menghantar e-mel itu sudah-sudahlah. Berhenti lakukan perkara yang tidak berfaedah," tuturnya.

Ulasnya lagi, buat masa sekarang dia tidak memikirkan hala tuju hubungannya dengan M, baginya apa yang penting adalah kerjaya dan keluarganya sahaja.

"Kalau ada jodoh adalah, saya berserah sahaja. Sekarang ini saya hanya berhubungan dengan dia melalui e-mel kalau ada perkara penting sahaja seperti hal yang sedang berlaku ini. Saya hanya mahukan cerita ini di landasan yang betul, itu sahaja," kata Farah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: