Wednesday, October 28, 2009

Fazura atau Maya, siapa lebih gedik?




JELITA, popular, gedik dan 'dibela' oleh orang kaya itulah watak Intan lakonan pelakon terkenal Nur Fazura dalam filem terbaru lakonannya Pisau Cukur.

Meskipun filem arahan pengarah kreatif, Bernard Chauly menggandingkan Fazura bersama jelitawan, Maya Karin sebagai Bella yang merupakan sahabat baiknya dalam filem itu, namun aura lakonan Fazura lebih jelas kelihatan berbanding Maya.

Tidak menganggap isu siapa lebih menonjol sebagai pujian kerana baginya kedua-dua watak mempunyai keistimewaan masing-masing.

"Mungkin watak itu yang membuatkan saya lebih menonjol, kalau dari segi lakonan semuanya atas acuan pengarah. Saya sebagai pelakon hanya mengikut apa yang dimahukan Bernard.

"Jadi tidak timbul siapa yang tenggelam, siapa yang timbul. Semua pelakon menjayakan watak mengikut kehendak pengarah," ujarnya yang ditemui selepas tayangan perdana filem Pisau Cukur di Cathay Cineleisure, Damansara, minggu lalu.

Tambahnya lagi, mungkin ramai penonton yang menganggap wataknya lebih kuat berbanding Maya disebabkan Intan lebih agresif dan gedik.

"Walaupun dalam filem ini kami merupakan sahabat baik yang memburu orang kaya untuk kesenangan hidup tetapi Intan dan Bella sangat berbeza.

"Bella sedikit pemalu dan lembut manakala Intan yang bertugas sebagai pengacara rancangan jenayah suka kepada cabaran, gedik dan berani," jelas Fazura.

Meskipun filem Pisau Cukur merupakan gandingan kali pertama antaranya dan Maya, namun mereka tidak berasa kekok apabila di hadapan kamera.

"Mungkin kami tidak sekepala sebab Maya orangnya lembut dan pemalu dan saya pula bersikap terbuka serta gila-gila tetapi apabila tiba di set penggambaran semuanya berubah.

"Kami seolah-olah kenalan lama dan cukup mengenali antara satu sama lain. Kalau ada babak yang Maya kelihatan sedikit malu-malu saya pengaruhi dia supaya buang sikap malu, begitu juga bila tiba babak yang saya tidak boleh lakukan, Maya akan membantu," tuturnya.

Beritahunya lagi, sebelum penggambaran bermula semua pelakon diwajibkan menghadiri kelas lakonan dan ia sangat penting untuk memupuk keserasian antara watak.

"Dalam kelas itu, kami akan lakonkan watak mengikut skrip. Pengarah dan penulis skrip, Rafidah Abdullah turut hadir. Jika ada yang tidak kena dengan skrip ia akan diubah pada masa itu juga.

"Kadangkala, saya dan pelakon lain akan memberi pendapat apa yang bagus dan apa yang tidak. Ada bahagian perlu diubah skrip dan mereka menerima dengan hati yang terbuka. Sebab itu kami semua berlakon dengan cukup selesa," luahnya yang pernah memegang watak Puteri dalam filem Gol & Gincu juga di bawah arahan pengarah yang sama.

Nampaknya Bernard bijak menonjolkan bakat yang dimiliki Fazura kerana filem Pisau Cukur dilihat antara lakonan terbaiknya setakat ini

"Bernard memang seorang pengarah yang fokus dan tahu apa yang diinginkan. Saya senang bekerja dengannya, lagi pun ini bukan kali pertama saya berlakon di bawah arahannya jadi saya sudah tahu cara kerjanya.

"Selain itu, dia juga akan memarahi pelakon jika gaya lakonan dan tutur kata tidak kena dengan apa yang dibayangkan. Itu yang bagus kerana kami semua pernah ditegur sepanjang penggambaran. Jika tidak, kami tidak tahu kesalahan sendiri," akui Fazura lagi.

Maya pilih pasangan sendiri!

Melakonkan watak Bella seorang bekas pramugari yang memburu jutawan untuk dijadikan suami, Maya telah digandingkan dengan seorang pelakon baru Shahredza Minhat yang memegang watak Faqir.

Apa yang menariknya, Maya turut terlibat secara langsung dalam pemilihan watak pasangannya itu bersama pengarah.


SECOCOK, Aaron dan Fazura dalam filem Pisau Cukur.


Meskipun nama pelakon ternama turut disenarai pendek sebagai pasangannya tetapi akhirnya Maya tetap digandingkan bersama pelakon baru atas alasan keserasian.

"Saya turut dipanggil semasa sesi uji bakat watak Faqir. Saya berlakon bersama semua pelakon pada sesi uji bakat itu dan dalam banyak-banyak orang yang datang, Bernard dan saya melihat dia cukup sesuai meskipun ada beberapa nama besar yang lain," kata Maya.

Walaupun digandingkan dengan orang baru, itu bukanlah masalah besar buat Maya kerana sebagai pelakon dia bersedia untuk digandingkan dengan siapa sahaja demi menjayakan watak.

"Saya tidak kisah berlakon dengan sesiapa, yang penting ada keserasian barulah senang nak bekerjasama. Walaupun ini lakonan pertama Shahredza saya lihat dia cukup berbakat," jelasnya.

Bercakap tentang isu pisau cukur, Maya menjelaskan semasa usia remaja, dia senang melabelkan perempuan seperti itu sebagai perempuan murahan tetapi apabila menginjak dewasa pandangannya terhadap si pisau cukur telah berubah.


TIDAK mencantas sesiapa, Fazura dan Maya tidak sesekali menenggelamkan saingannya ketika di depan kamera.


"Kalau masa remaja saya mudah saja melabel orang tetapi apabila dewasa bagi saya itu hak individu dan ada sebab mengapa seseorang itu menjadi pisau cukur.

"Pisau cukur ini terjadi dalam setiap peringkat di seluruh dunia, jika perempuan itu gembira dengan apa yang dilakukan dan lelaki kaya itu juga gembira, okeylah. Asalkan ia tidak mengganggu kehidupan saya," luah Maya yang turut ditemani suaminya ketika tayangan perdana filem tersebut.

Cabaran besar

Bagi pengarahnya Bernard Chauly, pertama kali mengarah sebuah filem komedi yang turut mempunyai unsur romantik dan siasatan bukanlah satu tugas yang mudah.

Ini kerana filem tersebut membabitkan penggunaan Imej Janaan Berkomputer (CGI) serta props tambahan memandangkan penggambaran tidak dapat dibuat di atas kapal mewah sebenar sedang jalan ceritanya 90 peratus berlangsung di atas kapal mewah.

"Itu cabaran besar bagi saya dan seluruh tenaga produksi. Memanglah bagus kalau dapat sebuah kapal yang sebenar tetapi ia membabitkan kos yang sangat tinggi.

"Sebab itu kami mengambil keputusan mengubah sebuah apartmen kepada sebuah kapal mewah. Apabila melihat hasilnya di layar perak, hati saya tersentuh dengan kerja keras krew-krew produksi kerana berjaya mengubah sebuah apartmen kepada kapal mewah," katanya dalam senyuman.

Bercerita tentang pemilihan pelakon yang kebanyakan mempunyai nama yang cukup besar terutama Maya dan Fazura, Bernard menjelaskan setiap pelakon dipilih berdasarkan kesesuaian watak.

Meskipun barisan pelakon filem Pisau Cukur merupakan pelakon popular tetapi mereka tetap menjalani sesi uji bakat yang dijalankan oleh pihak produksi.

"Setiap pelakon perlu menjalani uji bakat tidak kiralah popular atau tidak. Ini kerana saya mencari pelakon yang sesuai dengan watak termasuk Maya dan Fazura juga diuji bakat terlebih dahulu," ujarnya.

Penulis skrip filem ini, Rafidah Abdullah pula memberitahu, dia mendapat ilham untuk menulis skrip apabila adiknya memberitahu seorang rakan di sekolah mempunyai cita-cita untuk berkahwin dengan orang kaya.

"Adik saya cakap, seorang kawannya telah memberitahu guru cita-citanya untuk berkahwin dengan orang kaya. Saya sangat terperanjat dan tidak sangka bahawa gadis yang masih bersekolah sudah tahu apa yang diinginkan dalam hidup.

"Itu puncanya saya mula menulis skrip ini. Selain itu, ada antara dialog dalam filem itu diambil daripada realiti yang terjadi di sekeliling saya," jelasnya.


DUNIA sebagai wanita perampas hak orang lain dihayati dengan baik oleh Maya dan Fazura.


Filem terbitan Red Films dan Primeworks Studios ini mengisahkan dua gadis jelita, Bella (Maya Karin) dan Intan (Nur Fazura) yang pergi bercuti di atas kapal mewah Putri Duyung dengan harapan untuk mendampingi lelaki-lelaki kaya.

Bella cuba mendampingi seorang duda, Datuk Hisham (Eizlan Yusoff) dengan mempergunakan seorang jejaka kacak, Faqir (Shahredza Minhat) untuk mencapai impian itu.

Intan yang bertugas sebagai pengacara sebuah rancangan jenayah pula mempunyai seorang 'sugar daddy' iaitu Datuk Salleh (Radhi Khalid) yang sudah beristeri.

Bagaimanapun perancangan percutian antara Intan dan Datuk Salleh tidak menjadi dan menyebabkan Intan membawa rakan baiknya Bella.

Kebetulan ketika pelayaran mereka bertemu dengan Datuk Zakaria (Datuk Rahim Razali) yang datang belayar bersama tiga isterinya (Khatijah Tan, Umie Aida dan Sharifah Sofia) dan dua anaknya Suri (Liyana Jasmay) dan Johan (Nas-T)

Namun, Intan cuba membuktikan bahawa kecantikan dirinya datang bersama minda yang bijak. Lalu dia telah membantu seorang detektif, Ari (Aaron Aziz) menyiasat misteri pembunuhan Datuk Zakaria yang terjadi di atas kapal itu.

Filem Pisau Cukur menemui anda mulai 5 November depan di pawagam seluruh negara.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: