Tuesday, October 27, 2009

Kediaman berseri dengan pelapik dinding


RUANG tamu nyata tampak bergaya dengan tambahan pelapik dinding.


SATU ketika istilah wallpaper atau kertas dinding memang sinonim dengan dekorasi dalaman sesebuah rumah. Tapi kini istilah tersebut semakin jarang digunakan sebaliknya nama baru wallcovering atau pelapik dinding mengambil tempat.

Apa bezanya antara wallpaper dengan wallcovering? Pakar seni hias dinding dari HDN Decor Sdn. Bhd., Hamidah Husein berkata, kertas dinding yang digunakan satu ketika dulu tidak praktikal kerana tidak tahan lama dan mudah koyak.

"Sebab itu inovasi terkini menghasilkan wallcovering yang menggunakan bahan seperti vnyl yang lebih tahan lasak dan mampu kekal cantik sehingga 10 tahun lamanya,'' jelasnya ketika ditemui di pejabatnya Ampang, Selangor, baru-baru ini.

Tambahnya, pelapik dinding yang digunakan kini juga kalis air, kalis kotoran dan sekiranya kotor ia mudah dibersihkan. Kertas dari jenis vinyl ini juga lebih tebal dan ia lebih praktikal untuk digunakan dalam satu tempoh jangka masa yang lama.

Seperkara menarik tentang pelapik dinding ini ialah ia didatangkan dengan pelbagai jenis bentuk yang kebanyakannya dapat dirasa (timbul).

"Sebab itu kini kita dapat melihat wallcovering yang bermacam-macam corak. Pelanggan boleh memilih mana satu menjadi pilihan hati. Malah warna pelapik dinding yang ditawarkan kini juga lebih pelbagai dengan corak-corak terkini," kata Hamidah yang telah menerajui syarikat pemasangan pelapik dinding sejak dua tahun lalu.

Mengubah seri kediaman

Tentang pemilihan jenis corak manakah yang sesuai untuk kediaman seseorang, Hamidah lazimnya meminta maklumat asas seperti konsep hiasan dalaman, warna kegemaran dan akhir sekali tentulah bajet yang akan dikeluarkan oleh tuan rumah.

"Ada juga tuan rumah yang menggemari corak tertentu tetapi kami dapati corak pilihannya itu tidak sesuai yang akan menampakkan kediaman mereka lebih sempit dan berserabut.

"Sebab itu rundingan diberikan sebagai pakej kepada pelanggan untuk mereka mendapatkan hasil terbaik bagi kediaman mereka," jelas Hamidah yang menguruskan perniagaan ini bersama suaminya, Mohd. Hassan Kamarudin.

Menurut Hamidah, untuk mengatakan tentang sejauh mana kecantikan sesuatu pelapik dinding memang subjektif kerana semua orang mempunyai cita rasa yang berbeza-beza.

Tambahnya, panduan memilih pelapik dinding pula warna yang dipilih mestilah sepadan dengan langsir. Konsep kediaman pula kini ramai yang sukakan konsep moden kontemporari dan tak kurang juga yang gemarkan sesuatu yang klasik.

Bagaimanapun tidak semua ruang dinding perlu dipasang pelapik dinding, hanya titik tumpu atau feature wall yang lazimnya diberi perhatian.

Mengikut aliran semasa, Hamidah berkata, semakin ramai penduduk di Lembah Klang menggemari corak pelapik dinding dari Itali. Dan faktor tersebut mungkin dipengaruhi hasil daripada majalah dekorasi luar negara, akses gambar dari Internet mahupun rancangan dekorasi di televisyen.

"Memang tidak dinafikan harga pelapik dinding yang diimport dari Itali agak mahal tetapi jika dapat memasangnya di kediaman sendiri ia umpama satu kepuasan yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata.

Hamidah kini memiliki lebih 5,000 corak pelapik dinding yang semuanya diimport dari Itali, Jerman, Belanda, Korea Selatan dan lain-lain negara.

"HDN mempunyai petugas pemasangan pelapik dinding yang berpengalaman lebih dari 20 tahun. Untuk hasil terbaik pemasangan pelapik dinding sebaiknya menggunakan khidmat pakar, jika tidak mahir maka akan nampak cantuman yang tidak sekata. Pelapik dinding HDN dijual dari harga serendah RM80 hingga RM500 segulung, untuk maklumat lanjut sila layari laman web www.wallcovering.webs. com," ujarnya menutup bicara.

1 comment:

  1. berapa modal nak buka perniagaan macam niii

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: