Tuesday, October 27, 2009

Pendapatan lumayan penjual susu


Setelah selesai sesi taklimat, Wanita Yakult telah sedia untuk menemui pelanggan dengan menaiki motosikal elektrik.


RUTIN harian wanita muda, Kudo Misako, 25 sungguh padat. Selain menguruskan rumah tangga, beliau merupakan salah seorang daripada 41,4830 orang Wanita Yakult di Jepun.

Setelah membersihkan rumah, membasuh pakaian, memasak untuk suami dan anaknya, Misako menyiapkan diri dan memakai uniform Wanita Yakult yang menjadi kebanggaannya sejak empat bulan lalu.

Meletakkan anak tunggalnya yang berusia setahun setengah di tempat duduk belakang basikal yang menjadi kenderaan hariannya, Misako mengayuh kira-kira 10 minit menuju ke Pusat Wanita Yakult di Chiba, Jepun.

Inilah rutinnya dari hari Isnin hingga Sabtu dari pukul 8.30 pagi hingga 3 petang. Penat lelah jawatan yang baru dijawatnya selama empat bulan itu terbalas juga apabila berjaya meraih pendapatan sebanyak RM3,200 sebulan.

Inilah yang membakar semangatnya dalam mengharungi hidup sebagai Wanita Yakult. Sementelah pula suaminya hanya pekerja di pusat hiburan Pachinko, maka pendapatan sebanyak itu sedikit sebanyak boleh menampung perbelanjaan mereka tiga beranak untuk hidup di negara yang terkenal dengan kos kehidupan yang tinggi.

Misako telah dipertanggungjawabkan untuk memberi perkhidmatan jualan di kawasan bernombor 23, maka setiap hari sekurang-kurangnya 45 buah rumah harus dikunjungi.

Sebaik tiba di Pusat Wanita Yakult jam 8.30 pagi, beliau segera meletakkan anaknya di pusat jagaan Yakult yang hanya bersebelahan dengan pusat tersebut.

Setelah mencium dan mengucapkan selamat tinggal kepada anak lelakinya, beliau beredar dan segera ke pusat bagi memulakan tugas sebagai Wanita Yakult.

Misako pantas mencapai beg plastik dan meletakkan ketulan-ketulan ais bagi menyejukkan beg yang mengandungi produk-produk keluaran Yakult yang akan dibawa semasa mengunjungi rumah pelanggan.

Sebaik sahaja taklimat diberi, beliau mencapai motosikal elektriknya untuk menemui pelanggan-pelanggan tetap yang sedia menanti kedatangannya serta mencari pelanggan baru.

''Minat saya untuk menjadi wanita Yakult memang telah lama terpendam. Sejak kecil saya sering melihat Wanita Yakult berpakaian uniform mengunjungi dari rumah ke rumah. Malah, saya juga pelanggan setia minuman Yakult yang bukan sahaja berkhasiat tetapi memberi 1,001 faedah kepada kesihatan badan.

''Oleh itu, sebaik sahaja anak saya berusia setahun, saya terus memohon untuk menjadi Wanita Yakult. Banyak keistimewaannya selain boleh membantu menambah pendapatan keluarga, anak juga ada tempat untuk menjaganya.

''Saya lebih rasa selamat dan senang hati untuk bekerja kerana tahu anak saya dijaga dengan baik. Walaupun harus membayar RM340 sebulan, tetapi itu tidak menjadi masalah kerana layanan penjaga dan aktiviti yang dijalankan di pusat jagaan sungguh menyakinkan keselamatan dan keselesaan anak saya,'' katanya yang pernah berkunjung ke Malaysia tidak lama dahulu ketika mengikuti program Homestay.

Bagi pelanggan tetap Misako iaitu Kurashima Misuyo, 78 dan Tani Takako, 60, perkhidmatan yang disediakan oleh Wanita Yakult seperti Misako ini harus dicontohi oleh syarikat-syarikat produk yang lain.

Selain memudahkan surirumah untuk mendapatkan produk tanpa perlu keluar ke kedai, Wanita Yakult ini ibarat sebagai seorang perunding yang turut memberi penerangan mengenai kebaikan produk yang ditawarkan. Bahkan mereka juga ibarat seorang rakan yang sedia mendengar keluhan dan bertukar-tukar pandangan mengenai kehidupan berkeluarga.

Begitu juga dengan pelanggan yang lain iaitu Sasaki Masumi, 46, Sakino Akiko,63 dan Wada Setsuko, 72 yang telah mengambil produk Yakult sejak muda lagi dan kini diwarisi ke anak dan cucu.

Sementara itu, Ketua Kumpulan Pusat Wanita Yakult Chiba, Yokoyama Hiroe yang mengawasi lima buah pusat di kawasannya memberitahu, seseorang Wanita Yakult tidak boleh berputus asa sekiranya pelanggan tidak mahu membeli.

''Walaupun pelanggan tidak berminat, mereka harus mengucapkan terima kasih kerana sudi menemui mereka. Minggu depan mereka akan berkunjung lagi dan memberi maklumat dan risalah mengenai produk. Dengan cara ini mungkin suatu hari, mereka mungkin akan menjadi pelanggan,'' katanya yang juga bekas Wanita Yakult tetapi telah dinaikkan pangkat menjadi pengurus pusat dan seterusnya ketua kumpulan.

Ujarnya, Wanita Yakult ini akan selesai mengunjungi rumah sekitar pukul 1 petang dan akan balik ke pusat untuk membuat persiapan tempahan dan jualan untuk esok. Pada waktu ini, mereka akan mengira wang jualan harian dan barulah boleh balik ke rumah sekitar 3 petang.

''Di Chiba sahaja terdapat 119 Pusat Wanita Yakult. Sebanyak 23 pusat diuruskan oleh Yakult Keio Sales Co.. Daripada 23 pusat itu, ia terbahagi kepada lima kumpulan pula dan pusat ini adalah dalam kumpulan empat. Terdapat 15 orang Wanita Yakult yang berkhidmat di pusat ini.

''Untuk menjadi Wanita Yakult cukup mudah. Hanya memerlukan senyuman yang ikhlas, peramah dan bersedia memberi perkhidmatan yang baik kepada pelanggan.

''Walaupun mereka diwajibkan mengunjungi 45 hingga 60 rumah setiap hari, namun bukan semuanya membeli. Oleh itu, kita sasarkan 20 rumah dan 200 botol sehari dijual,'' katanya yang sering mementingkan disiplin dan kualiti bekerja terutama di pusat seliaannya.

Memang tidak dinafikan, kata Hiroe, beribu-ribu wanita di luar sana telah mendaftar untuk menjadi Wanita Yakult tetapi kerana kekosongan tempat adalah terhad, maka hanya segelintir sahaja dipilih.

''Seseorang wanita yang ingin menjadi Wanita Yakult harus menjalani beberapa proses sebelum ditauliahkan menjadi Wanita Yakult. Mula-mula calon harus menjalani ujian dan temuduga diikuti latihan mengenai informasi produk di cawangan Keio dan seminggu di pusat latihan Yakult. Selepas itu, dibawa latihan praktikal berjumpa pelanggan,'' katanya yang berbangga kerana pusat ini telah berjaya meningkatkan jualan sebanyak 25 peratus pada bulan lalu berbanding bulan yang sama tahun lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: