![]() |
| Kedudukan video harus strategik bagi memastikan momen-momen yang penting dapat dirakamkan dan dijadikan kenangan untuk pasangan pengantin. |
MERAKAMKAN momen-momen indah di hari persandingan adalah kenangan terindah bagi setiap pasangan yang baru melangsungkan perkahwinan. Walaupun ia dilihat sebagai suatu tugasan yang mudah namun sebenarnya ia melakukan sesuatu yang besar maknanya iaitu melakukan rakaman nostalgik kepada pasangan tersebut.
Bagi anak jati Negeri Sembilan ini, Hirzee Mohammad, 24, berkecimpung dalam dunia pembikinan video dan jurufoto memberi satu pengiktirafan kepada dirinya bagi membuktikan kebolehannya selepas beberapa tahun mengabdikan diri dalam bidang penyiaran.
Akui bekas pelajar Akademi TV3 ini, memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan adalah terlalu sukar.
''Mungkin bagi kita sudah terlalu cantik dan sempurna, namun tidak bagi pandangan orang lain,'' ujarnya yang bertindak sebagai pengurus dalam syarikat pengurusan acara dan produksi yang dinamakan Rumah Acara.
Dia yang berpengalaman lebih empat tahun memberitahu, untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan, kesabaran adalah asas penting yang diperlukan semasa bekerja.
''Ini penting memandangkan ia perlu berurusan sesama manusia tambahan pula penilaian cantik itu terlalu subjektif untuk dinilai seseorang.
Berkongsi pengalaman dengan memberitahu pernah dimarahi pelanggan memberikan semangat baru kepadanya untuk lebih berhati-hati dalam bidang tugasnya.
''Pengalaman tersebut betul-betul memberi peringatan kepada saya dan rakan-rakan untuk terus berusaha dan memberikan yang terbaik dalam tugas,'' ujarnya mengenang kembali ketika diawal pembabitan dalam dunia pengurus acara.
Mengakui persaingan dalam bidang pengurusan acara dan produksi ini amat tinggi namun berkat kesabaran dan komitmen yang dipupuk menjadi kelebihan bagi syarikatnya untuk membuktikan ia adalah sebuah syarikat Bumiputra yang diterajui oleh anak muda
''Memang untuk sampai ke tahap hari ini, pelbagai pengalaman pernah dilalui namun komitmen daripada semua serta kerjasama yang diberikan adalah perkara utama yang diterapkan,'' katanya.
Ujarnya lagi, bertindak sebagai jurukamera video dalam majlis perkahwinan serta merakamkan video-video di hari persandingan adalah sesuatu tugas yang berat.
Malah kita memerlukan kreativiti sendiri dalam menghasilkan gambar yang sempurna dan cantik.
Katanya, selain itu, untuk menghasilkan gambar perkahwinan yang baik memerlukan kamera yang berkualiti.
Set kamera itu perlu sentiasa dinaiktaraf, servis dan diperbaiki jika berlaku kerosakan. Peralatan digital mengalami susut nilai yang lebih cepat berbanding peralatan kamera analog.
''Dengan mengambil kira semua kos inilah jurukamera video mengenakan harga tertentu untuk perkhidmatan mereka. Ini bermakna, selain mengupah jurukamera video atau jurufoto, pelanggan juga sebenarnya membayar kos 'sewa' peralatan mereka,'' katanya.
Selain itu katanya lagi, untuk menjadi seorang jurukamera video dan jurufoto yang baik, seseorang itu perlulah mempunyai kemahiran fotografi yang tinggi.
Mereka ini juga perlu mempunyai kemahiran lain seperti kreativiti, pandai berkomunikasi, mempunyai cita rasa yang tinggi dan kemahiran lain.
Kemahiran ini hanya dapat dikuasai dengan pengetahuan, latihan dan pengalaman. Ini bermakna, semakin tinggi kemahiran seseorang jurukamera video dan jurufoto itu, semakin tinggi pula harga yang akan dikenakan untuk perkhidmatannya.
Jelasnya, setelah jurufoto selesai merakam gambar untuk majlis perkahwinan, tugasnya sebenar tidak habis di situ sahaja.
Dia perlu menyunting kesemua gambar yang telah dirakam dengan memilih gambar yang terbaik sahaja. Sekiranya perlu, gambar yang terpilih akan diperbaiki lagi dari segi kecerahan, kontras, warna, ketajaman, komposisi dan sebagainya. Seterusnya, barulah gambar tadi akan dicetak.
Bagi jurukamera video pula perlu meneliti kembali kualiti gambar sebelum dimasukkan ke dalam cakera padat dan diserah kepada pelanggan.
Sementara itu, sebagai salah satu penaja peraduan Gerbang Cinta anjuran akhbar sisipan MEGA- Utusan Malaysia, Rumah Acara merangka pakej video menarik untuk pemenang utama peraduan itu nanti.
Mungkin anda merupakan pemenang bertuah yang bakal dirakamkan perjalanan menuju ke hari persandingan bermula proses pemilihan fabrik, cincin, mencuba baju pengantin, bertunang, Bagi yang ingin mendapat khidmat Rumah Acara, sila layari laman syokkahwin.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: