Liyana Jasmay akui ibu kota Perancis itu lebih romantik dan penduduknya pula bijak bergaya
HUJUNG tahun lalu hingga awal 2009, Liyana Jasmay, 21, sekeluarga bercuti ke Rome, Itali. Meneruskan rutin kebiasaan mereka itu lagi, Liyana Jasmay (Nana) ditemani ibu bapanya, Habsah Simpon dan Jasmay Shah 'melarikan diri' daripada kesibukan kota ke London dan Paris sejak 9 Oktober lalu.
Selama 10 hari masa diluangkan di dua lokasi kegemaran ramai itu. Sekembali saja pada 19 Oktober lalu, Nana mengotakan janjinya untuk berkongsi gambar percutiannya itu dengan pembaca Hip. Kata pelakon yang bakal muncul dengan filem Pisau Cukur itu pada 5 November ini percutian itu sepatutnya disertai ahli keluarganya yang lain.
Bagaimanapun, soal masa menjadi penghalang untuk yang lain turut serta dalam agenda percutian ini. Lagipun, tarikh itu Nana tidak terikat dengan sebarang komitmen kerja sebelum memberi perhatian sepenuhnya kepada proses pelancaran album EPnya 18 November depan.
“Sebenarnya pergi dengan adik beradik yang lain lebih seronok sebab saya akan ada teman berjalan. Tapi pengalaman kali ini biarpun buat pertama kali menjejaki London dan Paris akan terus saya titip sebagai kenangan paling indah untuk diingati.
“Berbanding London, Nana lebih suka Paris kerana suasananya lebih romantik dan orang di situ sentiasa nampak cantik serta bergaya. Kalau ke Paris, tak sah kalau tak menjejaki Menara Eiffel dan bayangkan nak naik menara itu pun perlu beratur panjang.
GAMBAR kiri, Liyana bersama ayahnya di depan Sungai Saime. Gambar kanan, Bersama ibu di Eye Of London. |
“Kerana terlalu teruja berada di Paris, hampir kebanyakan barang yang dipesan dari Kuala Lumpur tidak dapat dipenuhi. Berjalan di kota Paris memang cukup menyeronokkan terutama merasai pastri yang dijual. Nana banyak menghabiskan masa berjalan dengan mama kerana papa ada urusan kerja yang perlu dibereskan,” kata Liyana sambil memberitahu bapanya perlu ke Jerman kerana ada perbincangan mengenai perniagaan makanan dengan pihak di sana.
Kata Liyana, percutiannya kali ini seperti mengimbas kenangan sewaktu bercuti dengan ibu bapanya di Jepun. Mungkin agak mengejutkan apabila gadis yang dianggap bergaya sepertinya tidak mengambil kesempatan untuk membeli belah di dua kota itu.
“Memang saya tidak banyak berbelanja kali ini. Tapi adalah beli beberapa pasang jaket dan baju. Bukannya apa, hampir kebanyakan premis barangan di sana tidak mempunyai saiz saya. Saya bersaiz 6 dan itu saiz orang negara Asia, lalu tidak peliklah kalau negara Eropah itu hanya mempunyai saiz 8 saja untuk ukuran paling kecil.
“Sedih bercampur cemburu kerana tidak dapat membeli baju pelbagai jenama apatah ini buat julung kalinya saya menjejaki London dan Paris. Tapi apakan daya, mungkin selepas ini saya boleh menyambung aktiviti membeli belah di negara kita saja,” usiknya penuh manja.
Sekembalinya Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia ke-22 Ogos lalu menerusi filem Papadom ini ke tanah air bererti ia memberi isyarat untuk dirinya memberi tumpuan kembali kepada bidang nyanyiannya. Sejujurnya, duta produk kecantikan Maybelline ini begitu berdebar menanti kehadiran EPnya menerusi kerjasama syarikat Metadome itu.
“Siapapun yang berada di tempat saya semestinya akan mengakui rasa debaran ini. Saya harus memantapkan diri bersama band saya sebelum hari kemuncaknya. Ketika ini, saya banyak menghabiskan masa melakukan sesi jamming dan berlatih menyanyi di studio sekitar Cheras.
“Selepas lagu Tak Percaya Cinta, akan menyusul sebagai single seterusnya ialah lagu Aku Jatuh Cinta. Insya-Allah hujung tahun nanti, saya akan kembali ke dunia lakonan untuk membintangi sebuah filem. Kalau tiada aral melintang juga, saya akan menyambung kembali pengajian dalam diploma Seni dan Persembahan di kolej Sunway Mac depan,” katanya yang berkawan baik dengan Aizat.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: