DALAM Pembentangan Bajet 2010 di Parlimen Jumaat lalu, antara agenda yang kita anggap tidak terlepas pandang oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ialah mengenai galakan terhadap industri kreatif tanah air.
Antara lain, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan menyatakan kerajaan akan menyediakan Dana Industri Kreatif berjumlah RM200 juta bagi membiayai aktiviti seperti pengeluaran filem dan drama, muzik, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan tempatan. Dana berbentuk pinjaman dengan kadar faedah rendah akan dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN). Yang mustahaknya urusan mendapatkan pinjaman ini akan dipermudahkan supaya boleh dimanfaatkan oleh industri.
Dana Industri Kreatif ini jelas berbeza dengan dana sebanyak RM50 juta yang sebelum ini dikhususkan kepada penggiat filem dan dikendalikan oleh SME Bank. Kali ini, dana itu untuk semua iaitu pengeluaran filem dan drama, muzik, animasi, pengiklanan dan pembangunan kandungan.
Urusan mendapatkan pinjaman daripada dana ini juga dipermudahkan. Tapi, walaupun mudah, proses pengeluarannya masih perlu dilakukan dengan hati-hati. Perlu ada had maksimum yang boleh dikeluarkan kepada pihak memohonnya. Paling penting latar belakang pengalaman dan kemampuan syarikat penerbitan atau pihak yang memohon untuk membayar semula pinjaman.
Kita tidak mahu ada ‘penjual sayur’, ‘pemandu teksi’, ‘pemotong rumput’ atau sesiapa saja yang tiba-tiba muncul entah dari mana menjadi penerbit filem, drama, animasi, syarikat muzik atau iklan kerana ghairah untuk mendapatkan dana ini. Jangan jadikan peruntukan sebanyak RM200 juta sebagai ‘lubuk emas’.
Peruntukan sebanyak RM200 juta dalam Bajet 2010 boleh dilihat sebagai satu wawasan Perdana Menteri terhadap industri kreatif negara. Dalam kata lain, Najib menaruh harapan tinggi supaya peruntukan yang disediakan itu benar-benar mendatangkan manfaat besar kepada rakyat yang terbabit dalam industri kreatif.
Minat mendalam Perdana Menteri kita terhadap industri kreatif seni bukanlah baru. Ketika merasmikan Pelancaran Program Animasi Negeri Melaka di Ayer Keroh, Melaka pada April 2007, Najib yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri mengambil contoh kisah kejayaan Korea Selatan dalam bidang animasi. Katanya, beliau sendiri berpeluang meninjau perkembangan sektor ini dalam lawatan rasminya ke Korea, dan jelas sekali dapat dilihat bahawa Korea Selatan berjaya menjadikan sektor animasi sebagai hasil eksport utama dalam masa singkat.
Najib berkata, bayangkan, pada tahun 1997, Korea Selatan mengeksport sejumlah RM245 juta hasil animasi dan kandungan kreatif ke pasaran antarabangsa. Pada tahun 2005, jumlah eksport itu meningkat kepada RM2.5 bilion iaitu peningkatan sepuluh kali ganda, hanya dalam tempoh kurang dari 10 tahun. Hari ini Korea Selatan menguasai lebih 30 peratus pasaran animasi dunia manakala bakat-bakat animasi dari Korea diburu oleh majikan dari industri animasi di Amerika Syarikat dan Eropah dan dibayar gaji ratusan ribu dolar. Ini adalah pencapaian yang cukup hebat, dan hasilnya juga begitu lumayan.
Justeru, dalam konteks ini sudah pasti Perdana Menteri melihat pembangunan kandungan tempatan, animasi, muzik, filem dan drama tidak sekadar hiburan semata-mata tetapi lebih daripada itu. Ia juga satu pembangunan sosial dan ekonomi yang menyediakan kemahiran dan pekerjaan kepada anak muda tempatan dalam industri animasi dan kreatif.
Kesungguhan Najib untuk melihat pembangunan industri kreatif negara turut ditunjukkan ketika sesi Pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2009) di Dewan Rakyat pada 10 Mac 2009.
Antara lain, beliau menyentuh soal Pembangunan Industri Seni Kreatif yang mana kerajaan turut memberi perhatian serius kepada golongan karyawan tempatan dalam mengeluarkan hasil kreativiti mereka secara sistematik.
Katanya, RTM mengambil tindakan melaksanakan beberapa projek mengembangkan seni muzik tempatan. Ia juga dapat menjadi punca pendapatan kepada lebih ramai penggiat seni negara, terutama di kalangan bakat muda. Untuk tujuan ini, peruntukan sebanyak RM20 juta akan disediakan.
Kita tertanya-tanya apa projek yang sudah dilakukan oleh RTM dalam menguruskan peruntukan RM20 juta itu? Menteri Penerangan ketika itu, Datuk Ahmad Shabery Cheek sekadar mengulas RTM akan menggunakan peruntukan itu untuk meningkatkan industri tempatan.
“Wang itu akan digunakan untuk membantu mewujudkan kandungan dalam industri muzik tempatan di mana RTM akan melancarkan satu saluran baru berbentuk hiburan 24 jam iaitu Muzik Aktif di saluran 180 Astro, yang akan diperkenalkan dua hari lagi (Khamis)," katanya.
Wang sebanyak RM20 juta bukanlah jumlah yang sedikit. Adakah memperkenalkan saluran Muzik Aktif sebahagian daripada projek pembangunan muzik yang membabitkan kos sehingga RM20 juta?
Hakikatnya Najib mahu wang RM20 juta digunakan untuk mengembangkan seni muzik tempatan, terutama di kalangan bakat muda. Persoalannya, apa bentuk pembangunan muzik yang sudah, sedang dan bakal dirancang oleh RTM?
Siapa atau pihak mana yang sudah menikmati wang sebanyak itu? Adakah RTM sudah menyalurkan kepada badan, persatuan muzik, agensi, institusi pendidikan muzik atau mewujudkan biasiswa kepada penuntut muzik melanjutkan pengajian dalam bidang muzik ke peringkat lebih tinggi. Kita pun tidak tahu dan sebenarnya semua pihak terutama penggiat industri muzik tanah air tertanya-tanya dalam soal ini.
Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim atau Ketua Setiausaha kementerian ini, Datuk Kamaruddin Siaraf diharap dapat menjelaskan perkara ini iaitu bagaimana RTM membelanjakan peruntukan RM20 juta itu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: