![]() |
| SITI Nurhaliza (tengah) dan adik-beradiknya, Saidah (kanan) dan Saerah sudah pun merakamkan lagu untuk Allahyarham bapa mereka. |
PENYANYI nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza tidak dapat menyembunyikan perasaan seronoknya apabila dapat merakamkan lagu bersama adik-beradiknya.
Kali ini, lagu yang diberi judul Kini Kau Jauh bukanlah sembarangan karya kerana ia merupakan lagu yang dicipta khusus bagi mengenang pemergian bapanya, Allahyarham Tarudin Ismail pada 15 Februari lalu.
Lebih manis lagi, idea untuk menggabungkan Siti dan adik-beradiknya itu adalah datangnya daripada ibu mereka sendiri iaitu Siti Salmah Bachik.
Malah, sepanjang rakaman dijalankan, Siti Salmah akan berada di studio dan memerhatikan proses rakaman berlangsung.
Ini diakui sendiri oleh Siti Nurhaliza sewaktu ditemui di pejabatnya usai sidang akhbar pengumuman Konsert Seribu Warna Datuk Siti Nurhaliza yang diadakan di Taman Connaught, Cheras, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Jelas Siti, ibunya itu sebenarnya yang cukup teruja dengan rakaman lagu itu selepas dia memberi cadangan kepada adik-beradiknya untuk merakamkan sebuah lagu untuk Allahyarham bapa mereka.
"Jadi, bila dia beri idea itu kami pun fikir apa salahnya untuk berkongsi sesuatu yang peribadi kepada peminat dan lagu ini adalah luahan hati serta kerinduan kami terhadap abah," jelas Siti yang sudah pun melunaskan rakamannya untuk lagu ciptaan Aidit Alfian dan lirik nukilan Ad Samad itu.
Selain Siti, empat beradik lain yang terlibat dalam rakaman ini ialah Saiful Bahari atau Ayie, Siti Norsaida (Saida), Siti Nur Sairah (Saerah) dan Mohd. Ali.
Hanya abang sulungnya, Saifullizan dan adik bongsunya, Mohd. Hafiz tidak terlibat dengan rakaman ini atas alasan tidak bersedia biarpun memiliki bakat nyanyian.
Sesuatu yang menarik tentang rakaman ini kata Siti, apabila proses rakaman suara Ayie dan Ali yang memakan masa sehingga lima jam.
"Saya mungkin tidak mempunyai masalah merakamkan lagu memandangkan sehingga kini saya masih lagi aktif.
"Tetapi kesukaran mungkin timbul buat abang Ayie kerana dia sendiri sudah lama tidak merakamkan album.
"Jadi, masa yang agak lama perlu diambil untuk menajamkan kembali vokalnya dan begitu juga dengan Ali," ujar Siti sambil ketawa dan memberitahu lagu tersebut akan dimuatkan dalam album duo Saida dan Saerah kelak.
Dalam perkembangan lain, Siti turut memberitahu, proses rakaman album duetnya bersama penyanyi seberang, Krisdayanti akan bermula sebaik sahaja kesemua lapan lagu sudah dapat dikumpulkan.
Buat masa ini, bagi pihak Siti, dia sudah pun mendapatkan empat buah lagu ciptaan komposer Malaysia iaitu Aubrey Suwito, Sharon Paul dan dua buah lagu dari Audi Mok.
Ternyata Siti tidak mampu lagi menyembunyikan perasaan terujanya untuk rakaman album ini yang dilihat mampu memperkasakan lagi kedudukan kedua-dua penyanyi itu di negara masing-masing.
Apatah lagi, konsert besar bagi mempromosikan album duet itu nanti akan diadakan di Malaysia dan Indonesia pada tahun depan.
"Biarpun Kris sedang mengalami krisis rumah tangga dan cuba menyesuaikan diri dengan kehidupan barunya, itu bukan satu halangan untuk kami meneruskan projek ini.
"Kris pun sedang mencuba mencari lagu dari komposer di sana dan Insya-Allah, jika tiada aral melintang, proses rakaman akan dijalankan di sini pada bulan depan.
"Kami mensasarkan album ini akan berada di pasaran sebelum penghujung tahun ini," kata penyanyi lagu Ku Percaya Ada Cinta itu yang baru sahaja selesai berbincang dengan Kris dan Audi mengenai lagu duet mereka minggu lalu.
Sebelum tahun 2009 melabuhkan tirainya, Siti terlebih dahulu akan terlibat dengan sebuah konsert yang bakal diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor pada 14 November ini.
Konsert yang diberi nama Konsert Seribu Warna Datuk Siti Nurhaliza itu merupakan kerjasama di antara syarikat Siti iaitu Siti Nurhaliza Productions Sdn. Bhd. (SNP) dan Hai-O Marketing Sdn. Bhd.
Ini merupakan persembahan kali kedua Siti untuk syarikat jualan langsung itu dan bezanya, cuma kali ini ia diadakan secara besar-besaran.
Konsert Seribu Warna diadakan khusus bagi meraikan ahli-ahli syarikat itu yang berjaya meraih kejayaan menerusi hasil penjualan mereka selain tanda simbolik di atas pelbagai kejayaan, semangat dan kegigihan ahli-ahli Hai-O.
Menariknya, Konsert Seribu Warna turut menampilkan artis-artis naungan SNP iaitu Saida, Saerah dan kumpulan Coda sebagai artis pembukaan.
"Ini adalah sebagai satu pembuka jalan mereka untuk menonjolkan lagi bakat mereka kepada umum.
"Biarpun hanya sebagai artis pembukaan, saya fikir ia adalah satu pendedahan yang baik untuk mereka dikenali," kata Siti yang akan membuat persembahan selama 90 minit.
Berbicara mengenai konsep persembahan pula, Siti memberitahu, konsert ini akan merupakan sebuah persembahan yang cukup santai di bawah pimpinan Aubrey.
Siti juga tidak mahu konsert ini dibandingkan dengan konsert Satu yang diadakan di Istana Budaya, pada bulan Jun lalu kerana ia adalah berbeza.
"Saya juga akan menampilkan kejutan dengan menyanyikan lagu-lagu dari dua orang penyanyi lelaki yang cukup saya kagumi.
"Siapakah mereka itu, mereka kena hadir dan menonton sendiri konsert ini nanti," ujarnya yang turut menyelitkan permainan visual untuk menghubungkan 13 lagu yang akan disampaikannya nanti.
Bagi mereka yang mahu menonton konsert ini, tiket berharga RM60 sudah pun mula dijual dan ia berdasarkan siapa cepat, dia dapat kerana hanya 4,000 keping tiket sahaja yang ditawarkan.
Untuk pembelian dan tempahan, sila hubungi talian 03-4149 8600 atau layari laman web, www.ticket2u.biz.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: