![]() |
| ROSYAM Nor (kanan) puas hati dengan sambutan rancangan TV realiti pertama terbitannya itu mendapat sambutan para penonton. |
JUARA pertandingan mencungkil bakat pelakon baru, Pilih Kasih musim pertama, Iqbal Mazlan menyertai pertandingan itu.
bukan kerana mahu mencari populariti atau mengejar hadiah lumayan yang ditawarkan oleh pihak penganjur semata-mata.
Sebaliknya, anak kelahiran Bagio, Filipina ini mahu menjadikan pertandingan televisyen (TV) realiti itu sebagai satu platform untuknya mengembangkan bakat serta menceburi bidangan lakonan sebagai kariernya pada masa depan.
Justeru, tidak hairanlah Iqbal tidak terlalu memikirkan soal hadiah yang dimenanginya pada pertandingan itu lantas menyerahkan sebahagiannya kepada ibu bapa dan adik beradiknya.
Menurut pelakon baru berusia 20 tahun ini, dia antaranya menggunakan wang tunai kemenangannya berjumlah RM10,000 bagi menghantar ibunya, Nur Haslinda Veracion Abdullah pulang ke kampung halamannya di Bagio, Filipina.
"Saya akan gunakan duit itu sebagai belanja dan tambang kapal terbang supaya emak dapat pulang ke kampung halamannya. Emak saya tidak pulang ke sana sejak tiga tahun lalu selepas bapanya meninggal dunia.
"Insya-Allah, emak saya akan pulang ke sana sebelum Krismas ini bersama-sama dengan bapa saya, Mazlan Ibrahim dan adik perempuan saya, Nur Hidayah untuk melawat saudara-mara kami di sana.
"Selain hadiah wang tunai, saya juga telah memberikan hadiah pakej pelancongan ke Perth, Australia juga kepada mereka," katanya kepada Hits ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang Pilih Kasih di Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.
Selain hadiah berupa wang tunai dan pakej pelancongan, Iqbal juga menerima sebuah kereta Naza Sutra pada pertandingan yang menggunakan undian menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) para penonton dan penilaian juri termasuklah penerbitnya, Rosyam Nor.
Jelas Iqbal, selepas menjuarai Pilih Kasih musim pertama baru-baru ini, dia menerima banyak tawaran berlakon drama dan telemovie dengan melakonkan pelbagai jenis watak.
"Antara telemovie awal yang menawarkan saya berlakon berjudul Terima Kasih Cikgu yang diarahkan oleh Along Kamaluddin. Sebelum itu, saya juga sempat berlakon dalam drama berjudul Celupar terbitan Nuad Production.
filem aksi
"Selain drama, selepas ini kalau boleh saya juga mahu berlakon filem terutamanya filem aksi yang memberi peluang kepada saya melakonkan sendiri adegan-adegan tersebut," kata Iqbal.
Iqbal yang meminati gaya lakonan Eman Manan, Rosyam Nor dan Abu Bakar Omar ini akan memberi tumpuan kepada bidang lakonan terlebih dahulu biarpun pada masa sama dia turut meminati bidang nyanyian.
Meskipun sudah bergelar juara Pilih Kasih tetapi anak muda ini masih belum puas dengan ilmu dan pengalaman yang diraihnya daripada para tenaga pengajar program TV realiti tersebut.
"Sebab itu, di samping berlakon saya bercadang mahu melanjutkan lagi pelajaran saya dalam bidang lakonan. Kalau tidak ada aral melintang tahun depan saya mahu menyambung pelajaran dalam bidang lakonan di Aswara (Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan)," katanya.
Selain Iqbal, pemenang tempat kedua Pilih Kasih dirangkul oleh Reza Hasbi, Indera Hafiz (tempat ketiga), Nabila Dally (tempat keempat) dan Wanina Zaki (tempat kelima), manakala Sofian Bujang memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik serta Wanina Zaki (Pelakon Wanita Terbaik).
Pilih Kasih program TV realiti itu terbitan bersama Suhan Movies & Trading Sdn. Bhd. dan RTM.
Penerbitnya, Rosyam Nor, 43, berasa bangga dengan pencapaian rancangan terbitannya itu yang berjaya menarik ramai penonton selain berjaya melahirkan golongan pelakon generasi baru.
"Program TV realiti ini mencatat rekod sebagai rancangan terbitan syarikat produksi yang pertama berjaya menyiarkannya secara langsung. Sebelum ini, program-program TV realiti biasanya diterbitkan oleh stesen-stesen TV.
"Pilih Kasih juga merupakan program TV realiti mencari pelakon baru yang paling ramai ditonton di negara ini dengan rating mencecah 2 juta penonton. Disebabkan sambutan yang amat menggalakkan itu, kami akan berbincang dengan RTM bagi menerbitkan Pilih Kasih musim kedua pada tahun depan," jelasnya.
Hadir sama pada majlis itu ialah wakil-wakil pihak penaja seperti Telekom Malaysia (TM), Oriva Professional Beauty marketing Sdn. Bhd., Aliff Utama Sdn. Bhd. dan White Wizzard Sdn. Bhd.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: