KOTA BHARU - Seorang ibu, Azma Yahya, 33, di sini, melahirkan bayi perempuan bersaiz luar biasa seberat 5.3 kilogram di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini Jumaat lalu.
Bayi yang diberi nama Nur Delisha Bahie Mohd. Hanafiah itu dilahirkan pada pukul 5.50 pagi secara normal walaupun bersaiz besar.
Dia yang bekerja sebagai Pegawai Belia dan Sukan Daerah Machang berkata, walaupun bayinya agak besar tetapi dia tidak menghadapi masalah sewaktu bersalin.
"Saya pergi ke hospital (HRPZ II) pada 22 Oktober setelah tarikh saya dijangka bersalin sudah terlebih selama 11 hari dan bersalin keesokannya pada pukul 5.50 pagi," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Azma, anak lelaki keduanya juga dilahirkan agak berat iaitu 4.4 kilogram manakala anak pertama dan ketiga pula hanya sekitar tiga kilogram sahaja.
Katanya, beliau tidak mempunyai penyakit termasuk kencing manis sebelum melahirkan bayinya itu tetapi bayinya masih mendapat rawatan di HRPZ II kerana mempunyai masalah paru-paru tetapi keadaannya semakin stabil.
Sementara itu, bekas Presiden Persatuan Pediatrik Malaysia, Dr. Zulkifli Ismail berkata, pemakanan yang diamalkan oleh ibu semasa mengandung merupakan antara faktor menentukan berat bayi yang dilahirkan.
Menurutnya, kebiasaannya berat normal bayi yang baru dilahirkan di negara ini hanya sekitar 2.7 hingga 3.2 kilogram.
"Ibu mengandung yang mengamalkan pemakanan yang melampau boleh memberi kesan kepada berat bayi yang bakal dilahirkan," katanya ketika dihubungi semalam.
Selain itu, Zulkifli berkata, seseorang ibu mengandung yang mempunyai penyakit kencing manis juga merupakan antara faktor yang menyebabkan bayi boleh dilahirkan dengan berat badan melampau.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: