|
|
CAMERON HIGHLANDS - Hasrat ahli Pertubuhan Pekebun Sayur-Sayuran Cameron Highlands untuk mengadakan protes besar-besaran dengan melonggokkan sayuran berkenaan di pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di Brinchang di sini ditarik balik semalam.
Ini ekoran FAMA semalam bersetuju untuk membeli sayur kubis bulat yang ditanam lebih 300 pekebun pertubuhan itu dengan harga 75 sen sekilogram berkuat kuasa serta-merta.
Tawaran itu diumumkan Ketua Pengarah FAMA, Datuk Mohamed Shariff Abdul Aziz pada majlis dialog antara pihaknya dengan Pertubuhan Pekebun Sayur-Sayuran Cameron Highlands di sebuah hotel di Brinchang di sini.
Menurutnya, selain menokok 15 sen sekilogram daripada harga yang ditawarkan 60 sen pada Khamis lalu, FAMA juga akan mengambil beberapa langkah segera bagi mengawal harga sayuran tersebut daripada terus menjunam.
"Satu jawatankuasa khas melibatkan FAMA, wakil pertubuhan serta pekebun sayur di sini akan berbincang dari semasa ke semasa dan ia berperanan mengumpul seberapa banyak data mengenai jumlah pengeluaran bagi satu-satu masa.
"Pada masa sama, kita akan menggandakan usaha membendung kemasukan kubis bulat dari negara luar yang melebihi jumlah AP (permit import) yang dibenarkan," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: