PUTRAJAYA - Lebih tiga hingga empat peratus guru termasuk pengetua dan guru besar bakal menerima insentif istimewa yang dinilai pada kecemerlangan sekolah masing-masing, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan demikian semalam.
Beliau berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan oleh Kementerian Pelajaran bagi membuat penilaian untuk menentukan guru-guru yang layak.
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, bentuk insentif istimewa itu hanya akan diumumkan akhir tahun ini bagi membolehkan tumpuan para guru dapat diberikan sepenuhnya terhadap aspek kepimpinan di sekolah mereka.
"Ia akan dinilai bukan hanya bersandarkan kepada kecemerlangan keputusan peperiksaan semata-mata tetapi turut mencakupi aspek kepimpinan di sekolah dan beberapa kriteria lain," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan Mighty Minds di sini.
Katanya, ia mungkin dalam bentuk bonus gaji sebulan atau dua bulan.
"Semua ini akan diberikan dalam bentuk pakej kerana ia bukan hanya bergantung pada kejayaan pengetua atau guru besar sahaja, ia mesti usaha yang membabitkan ramai pihak. Kita akan maklumkan sebelum akhir tahun ini," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: