Thursday, October 1, 2009

Hati Cheryl berbunga riang


Cheryl Samad bakal muncul dengan single terbaru tidak lama lagi.


BERTEMU gadis bertubuh kecil ini ada-ada sahaja yang hendak dibualkan. Kepetahannya berbicara menggambarkan dirinya yang begitu berkeyakinan. Mungkin faktor itu jugalah menjadi titik tolak si pemilik nama Cheryl Samad ini pantas mencipta nama khususnya di bidang pengacaraan.

Sungguhpun mengacara adalah kepakarannya, namun hati nurani gadis berdarah kacukan Melayu-Portugis itu tetap ingin mencari kelainan.

Itulah sebabnya dia mula berjinak-jinak dalam bidang lakonan dan seni suara.

Namun, pada saat ini jika diminta memilih lapangan yang menjadi minatnya, pantas dia menjawab mengacara kerana bidang itu merupakan nadi kerjaya seninya.

Apa tidaknya, pengalaman mengendalikan sesebuah majlis mahupun rancangan televisyen telah dicanai sejak 13 tahun lalu.

"Kerjaya saya bermula sejak usia saya empat tahun lagi. Bezanya ketika itu saya bermula dengan iklan dan bukannya pengacaraan.

"Terus terang saya cukup suka dengan kerjaya sebagai pengacara. Pada masa yang sama saya juga meminati bidang lakonan tetapi sekiranya disuruh membuat pilihan saya akan memilih bidang pengacaraan.

"Saya tak akan berhenti begitu sahaja. Selagi ada minat dan peluang saya tetap akan teruskan kerjaya sebagai pengacara," luah Cheryl ceria menterjemah kecintaannya pada bidang pengacaraan.

Mungkin bagi mereka yang belum cukup mengenalinya beranggapan dia sedikit keanak-anakan. Hakikatnya, sikap Cheryl yang periang dan tidak henti berceloteh itu begitu disenangi ramai.

Sedar akan hakikat tersebut, akui Cheryl pada usia yang kini mencecah 29 tahun, kalau boleh dia ingin melakukan sesuatu yang lebih serius dalam kehidupannya.

"Sebab itulah saya rasa teringin sangat nak ada talk show sendiri seperti Oprah. Saya begitu meminati Oprah kerana apa yang saya lihat dia menggunakan kuasa yang dia ada untuk membantu orang lain.

"Dia berani mencuba dan bersikap jujur. Dia adalah idola saya dari dahulu lagi. Saya bukan mahu tiru dia tetapi ingin menjadikannya sebagai panduan dalam kerjaya saya," kata Cheryl bercerita perihal idolanya.

Antara rancangan-rancangan hiburan yang pernah dikendalikannya ialah Malaysian Idol musim pertama dan kedua, MTV No Limit, MTV Pulse, Nescafe Kickstart dan Anugerah Juara Lagu.

Manakala drama-drama yang pernah dilakonkannya ialah RM8888, Impian Ilyana, Each Other, Table For Two, Astana Idaman 3, Frontpage, Island FM dan Ghost musim pertama dan kedua.

Menyambung perbualan, anak kedua daripada 11 beradik itu sendiri tidak ketinggalan menjalani pelbagai aktiviti kemasyarakatan bagi memenuhi tuntutan dan tanggungjawab sosialnya.

Malah, baru-baru ini dia terlibat dalam program bersama Kotek selama empat bulan dalam sesi lawatan ke sekolah-sekolah di seluruh negara.

Menariknya, kata Cheryl menerusi program sedemikian dia berkesempatan bertukar-tukar pendapat dengan para pelajar perempuan sepanjang sesi lawatan tersebut.

"Saya mendapat maklum balas yang sangat baik. Kepercayaan yang diberikan membuatkan saya berani untuk mencuba sesuatu yang baru.

"Sebagai individu yang dikenali, saya ada tanggungjawab untuk sampaikan pesanan.

"Disebabkan saya minat, saya tidak kisah tentang bayaran sebab memang dari dahulu lagi saya teringin melibatkan diri dengan aktiviti sebegini," kata Cheryl lagi.

Tak terburu-buru berkahwin

Pada usia begini, Cheryl mengakui, tidak terlepas daripada diajukan pertanyaan berhubung pasangan hidup.

Mengakui hatinya sudah dimiliki, kata Cheryl, setelah tujuh tahun berkenalan akhirnya dia dan pasangannya mengikat janji sebagai pasangan kekasih sejak dua tahun lalu.

"Kalau saya nak kahwin memang saya tidak akan sorok," kata Cheryl yang turut mendedahkan bahawa pasangannya itu tujuh tahun lebih tua daripadanya.

Menggambarkan kekasihnya seorang yang bertanggungjawab dan penyabar, itu sudah cukup menambahkan bahagia di hatinya.

Cheryl sungguh bahagia menemui lelaki yang memahami peribadinya.

Bahkan, bagi Cheryl yang selama ini komited dalam kerjaya seni pula sudah tentu memerlukan pasangan yang mudah bertolak ansur dalam banyak perkara melibatkan kehidupannya.

Persoalannya, apakah Cheryl dan kekasihnya itu sudah merancang untuk menamatkan zaman bujang mereka?

"Kami pernah berbicara perihal perkahwinan tetapi tidak formal. Kedua-dua keluarga kami turut merestui hubungan kami.

"Saya dahulu pernah kecewa, sebab itu kali ini kalau boleh saya tidak mahu terburu-buru.

"Dari segi mental saya memang sudah bersedia. Komitmen bagi saya memang tiada sebarang masalah cuma tunggu masa yang sesuai sahaja.

"Tertekan juga saya bila ada orang tanya pasal perkahwinan tetapi saya tidak mahu fikir sangat sebab ahli keluarga saya kebanyakannya ramai yang kahwin lambat," kata Cheryl sambil ketawa kecil.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: