Thursday, October 1, 2009

Perjuangan dan misi murni Hans


BARISAN pelakon yang akan membintangi Cuci the Musical, (dari kiri) Awie, Hans, Isaac, Vanidah Imran, Ramli Hassan, Adibah Noor, Afdlin Shauki dan Harith Iskander.


SEBOLEH-BOLEHNYA dia tidak mahu lagi menguliti dirinya dengan sebarang kontroversi yang mampu menjatuhkan karier seni yang sudah dibinanya sejak 15 tahun yang lalu.

Apa sahaja episod duka telah dibuangnya jauh dari kotak fikirannya kerana dia ada tanggungjawab yang perlu dilunaskannya demi masa depan industri hiburan tanah air.

Menerusi pementasan Cuci the Musical (CTM), pelakon, pengarah dan penerbit, Hans Isaac bukan sahaja mahu memberikan hiburan kepada masyarakat tetapi dia mempunyai misi dan visi yang mahu diperjuangkan.

Katanya, dia mahu penonton dan masyarakat yang menonton pementasan itu kelak akan turut sama-sama membantu dalam memberi peluang kepada generasi baru untuk menceburi dalam bidang seni.

Bukan itu sahaja, Hans juga melahirkan rasa bertuah kerana isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Seri Noorainee Abdul Rahman yang juga penaung pementasan ini juga menyokong perjuangannya untuk terus memartabatkan industri seni tempatan.

“Saya mahu meluaskan minda masyarakat di negara ini bahawa seni itu sebenarnya mampu memberikan satu impak yang positif.

“Bukan sekadar hiburan tetapi kita harus melihat sisi lain cabang seni itu yang hakikatnya mampu memberikan pulangan yang mampu dibanggakan.

“Menerusi pementasan ini juga, saya tidak melakukannya untuk diri saya sendiri tetapi ia lebih kepada situasi menang-menang di mana semua pihak yang terlibat mendapat kebaikan dan keuntungan.

“Saya mempertaruhkan bakat-bakat terbaik yang bagi saya adalah karyawan seni Gred A demi memberikan kepuasan maksimum kepada penonton,” kata Hans penuh optimis mengenai CTM.

Untuk itu jelasnya, sebahagian daripada penjualan tiket untuk CTM akan disalurkan kepada dua yayasan yang dipilih iaitu Yayasan Nurul Yaqeen dan Yayasan Raja Muda Selangor.

Kedua-dua yayasan ini merupakan pertubuhan yang amat menitik beratkan perkembangan serta penyediaan golongan belia dengan ilmu pengetahuan serta kemahiran seni.

CTM masih mengekalkan empat pelakon utamanya iaitu Afdlin Shauki, Awie, AC Mizal dan Hans sendiri yang membawakan watak Fairil, Jojo, C’Tan dan Khai.

Hans juga cukup beruntung kerana berjaya mendapatkan dua aktivis teater tersohor, Datuk Zahim Al-Bakri dan Harith Iskander sebagai pengarah untuk pementasan ini.

Tidak cukup dengan itu, CTM juga menampilkan Stephen Rahman-Hughes sebagai koreografer, Raja Maliq yang bertindak sebagai pereka set serta pemuzik terkenal, Rudi Muhammad dan Pacai selaku pengarah muzik dan komposer untuk lagu-lagu yang ditampilkan dalam CTM.

“Saya bangga kerana dapat bekerjasama dengan mereka yang hebat dan pakar dalam bidang masing-masing.

“Saya sendiri tidak sabar dan teruja menantikan hasilnya kerana saya percaya dengan kredibiliti mereka yang mampu memberikan magis untuk CTM,” ujarnya penuh harapan.

Apa yang membanggakan, Hans sendiri berusaha mendapatkan seorang guru vokal dari Australia bagi membantu dan membimbing semua pelakon untuk meningkatkan mutu nyanyian masing-masing.

Guru vokal yang dimaksudkan ialah Amanda Colliver dan dia bukanlah guru vokal yang calang-calang.

Kata Hans, Amanda sudah lebih 25 tahun terlibat dalam industri seni dan pernah membimbing pelakon tersohor dunia seperti Hugh Jackman untuk pementasan teater muzikal Beauty and the Beast dan Sunset Boulevard.

Bukan itu sahaja, Amanda juga pernah mencurahkan ilmunya dengan membimbing Nicole Kidman dan Ewan McGregor sewaktu mereka membintangi filem muzikal Moulin Rouge pada tahun 2001.

Dari aspek pelakonnya pula, satu persoalan yang timbul adalah perubahan pada watak heroinnya iaitu CJ dan Farah.

Jika mereka yang pernah menonton filem Cuci sebelum ini, watak CJ dan Farah dibawa oleh Erra Fazira dan Umie Aida.

Begitu juga dengan watak Tan Sri dan Wira yang dipegang oleh Datuk Rahim Razali dan Khir Rahman dalam versi filemnya.

Namun, untuk CTM watak itu bertukar ganti kepada Vanidah Imran, Adibah Noor, Ramli Hassan dan Harith.

Bagaikan mengetahui soalan itu akan diajukan kepadanya, Hans tidak sedikit pun melatah sebaliknya, dia mempunyai jawapannya sendiri.

Ujarnya, soal itu langsung tiada kena-mengena dengan kisah kontroversi yang pernah melanda dia dan Erra satu ketika dulu.

Memang sengaja Hans mahu memberikan satu kelainan kepada empat watak itu dan menyifatkannya sebagai satu penjenamaan semula untuk versi teater muzikal ini.

“Jujurnya, sewaktu perbincangan dan mesyuarat saya memang mahu memberikan satu pendekatan yang baru dan segar daripada apa yang pernah ditonton dalam versi filem.

“Mengenai pemilihan Vanidah dan Adibah pula, sudah lama saya mahu bekerja dengan mereka kerana kedua-duanya memiliki bakat yang cukup hebat dan luar biasa.

“Saya tidak melihat pertukaran pelakon ini sebagai satu isu atau masalah kerana ia juga berlaku dalam teater muzikal antarabangsa yang lain.

Bukan mudah

“Satu yang pasti, saya adalah seorang yang profesional. Seandainya saya mahu membikin filem susulan Cuci selepas ini, pelakon asalnya akan tetap saya kekalkan,” ujarnya panjang lebar sambil menjelaskan kesemua pelakon kini giat menjalani latihan selepas bercuti raya.

Namun kata Hans, dia tidak boleh menukar empat watak lelaki utama kerana itu adalah jenama Cuci yang sudah terbina.

Hans turut ditanya tentang rasionalnya mahu mengangkat Cuci ke pentas teater sedangkan peminat dan penonton sebelum ini sudah pun mengetahui jalan ceritanya.

“Sebenarnya, sebelum filem Cuci dapat direalisasikan saya mahu menjadikannya sebagai sebuah filem muzikal.

“Tetapi, saya sedar untuk menerbitkan sebuah filem muzikal bukan mudah kerana ia memerlukan wang dan kesungguhan yang tinggi.

“Prinsip saya mudah. Kalau mahu melakukan sesuatu, biarlah dengan sepenuh hati dan jiwa. Maka dengan itu, saya jelmakan impian saya itu di pentas teater,” jelasnya sambil memberitahu perubahan dapat dilihat menerusi jalan ceritanya sebagai satu kelainan daripada versi filem.

Pelakon kacak yang mula menempa nama menerusi filem Ringgit Kasorrga pada tahun 1995 ini juga secara terang-terangan memberitahu, sehingga kini, masih tiada pihak yang berminat menaja teater itu.

Biarpun begitu, ia langsung tidak mematahkan semangat Hans untuk meneruskan perjuangannya dalam produksi yang menelan belanja hampir RM2 juta itu.

Mendengarkan jawapan itu, lantas Hans ditebak dengan soalan tentang sumber kewangan untuk merealisasikan CTM.

Adakah jumlah itu datangnya dari poketnya sendiri?

“Ya, memang benar. Semuanya perbelanjaan saya sendiri tetapi jangan pula ada yang salah anggap bila saya berkata demikian.

“Semuanya hasil daripada tabungan saya sejak 15 tahun lalu,” ujarnya penuh bangga.

Apa yang dimahukan Hans hanya satu. Dia mahu mereka yang hadir menonton kelak akan merasai pengalaman yang sama biarpun harga tiketnya berbeza.

Apatah lagi, CTM juga mempunyai misinya yang tersendiri dalam menyahut seruan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“CTM tidak akan menceritakan secara terang-terangan semangat 1Malaysia itu kerana saya mahu penonton sendiri mencari mesej itu di dalam pementasan ini,” katanya tentang produksi terbitan syarikatnya, Tall Order Productions Sdn. Bhd. itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: