Thursday, October 1, 2009

Chaka seperti tidak bersungguh


CHAKA Khan (tengah) tidak mampu menyembunyikan perasaan terharunya apabila menerima Anugerah Personaliti Terbaik The BrandLaureate daripada Dr. K.K Johan (kiri) dan Dr. M. Mahadevan.


INI bukanlah kali pertama Chaka Khan hadir ke negara ini untuk mengadakan persembahan. Kali terakhir dia menjejakkan kaki ke negara ini buat julung kalinya adalah pada tahun 2002 untuk satu persembahan makan malam amal.

Biarpun sudah tujuh tahun berlalu, ternyata kehadiran Chaka ke negara ini masih lagi dinantikan oleh peminat setianya yang sentiasa dahagakan persembahan bertenaga yang simbol keunggulannya selama empat dekad menjadi seorang penghibur.

Buktinya, malam Isnin lalu bertempat di Grand Ballroom, Hotel Hilton, Kuala Lumpu menjadi saksi apabila hampir 1,000 orang peminatnya membanjiri dewan itu untuk menonton dengan lebih dekat lagi persembahan Chaka.

Maklumlah, bukan mudah untuk menyaksikan persembahan Chaka yang diberi jolokan Ratu R&B dan Soul yang juga dilabel sebagai diva legenda itu.

Apatah lagi dengan reputasinya sebagai seorang penghibur unggul itu pastinya persembahannya sememangnya cukup ditunggu-tunggu.

Menariknya, dewan itu bukan sahaja dipenuhi oleh mereka yang lahir di zaman kegemilangan Chaka yang cukup masyhur dengan irama R&B itu.

Sebaliknya, kelibat anak-anak muda yang kelihatan sekali gus membuktikan muzik dan nuansa yang dibawakan Chaka berjaya merentas sempadan tidak kira usia, latar belakang mahupun budaya.

Chaka disanjung dan dipuja bukan berdasarkan pada paras rupa serta bentuk badannya tetapi semuanya kerana vokalnya yang satu dalam sejuta.

Berbalik kepada persembahannya yang diberi nama Chaka Khan - Funk This itu, satu yang harus diakui adalah aura dan karisma Chaka sebagai seorang penghibur unggul memang tiada tandingan.

Biarpun muncul artis muda bersilih-ganti yang membawakan irama yang sama, Chaka tetap berdiri teguh dengan irama itu yang sudah menjadi makanan rujinya sejak empat dekad yang lalu.

Tampil dengan gaun singkat kembang kembang berona ungu dan seluar jeans biru, Chaka memulakan persembahannya tepat pukul 9.05 malam.

Sebaik sahaja kelibatnya kelihatan di atas pentas, penonton sudah tidak dapat lagi menahan perasaan mereka apabila terus berdiri dan memberikan tepukan paling gemuruh untuk diva kesayangan mereka itu.

Keadaan menjadi tidak terkawal dengan jeritan dan sorakan penonton saat permulaan lagu Ain't Nobody mula dimainkan.

Seperti yang dijangka, peminat dan penonton yang hadir tanpa disuruh menyanyi dan menari di tempat masing-masing mengikut ritma lagu yang diterbitkan pada tahun 1983 itu.

Tetapi, sayangnya entah mengapa nyanyian Chaka menerusi lagu itu tidak mencapai kepuasan yang maksimum seperti yang diharapkan.

Butir kata-katanya kurang jelas dan jika hendak disalahkan kepada sistem bunyi mahupun peralatan muziknya, agak mustahil kerana semuanya dibawa khas dari Amerika Syarikat.

Chaka dilihat seperti tidak bersungguh dalam persembahannya dan ada kalanya penonton kelihatan seperti kebosanan tatkala dia mendendangkan lagu yang kurang popular.

Bukan pada persembahan untuk lagu Ain't Nobody sahaja tetapi juga menerusi lagu Through The Fire yang paling dinantikan malam itu.

Sehinggakan nyanyian penyanyi latarnya lebih menyerlah berbanding dengan persembahan Chaka sendiri.

Seharusnya lagu-lagu itulah yang harus dilontarkan sepenuh jiwa oleh Chaka memandangkan ia merupakan lagu-lagu popularnya.

Satu yang harus diakui adalah kredibiliti Chaka bergerak lincah di atas pentas biarpun memiliki bentuk badan yang gempal dan usianya yang menghampiri enam dekad itu.

Namun, segala kelemahan itu dapat diatasi Chaka sewaktu menyampaikan lagu balada berjudul Angel yang merupakan sajak yang lahir daripada luahan isi hatinya sewaktu berdepan dengan kemurungan dan masalah ketagihan alkohol.

Peluang

"Sudah lima tahun saya menjauhkan diri saya dengan arak dan hari ini saya seperti orang yang baru.

"Sepanjang tempoh itu, saya sering memikirkan bahawa tiada siapa yang menyayangi saya tetapi ternyata semua itu silap.

"Rupanya, masih lagi ada yang sayang kepada saya terutama sekali Tuhan yang masih lagi memberi peluang kepada saya untuk terus hidup di muka bumi ini," ceritanya yang membawa sajak berkenaan kepada komposer dan penerbit terkenal, Terry Lewis yang mencadangkan untuk menjadikannya sebagai sebuah lagu.

Chaka turut mempamerkan kehebatannya bermain dengan vokal terutama sekali bahagian yang bernada tinggi dan dia mengakhiri persembahannya malam itu dengan lagu I'm Every Woman yang terus membuat penonton berdiri dan menari.

Antara lagu lain yang disampaikan Chaka adalah I Feel For You, Tell Me Something Good, Your Smile, Whatcha Gonna Do For Me, One For All Time, Sweet Thing, Everlasting Love, One For All Time serta You Got The Love yang merupakan lagu-lagu yang pernah popular sewaktu dia menganggotai kumpulan Rufus pada tahun 1970.

Persembahan selama satu jam lima belas minit itu juga disaksikan oleh bintang ternama tanah air seperti Datuk Sheila Majid, Datuk Khatijah Ibrahim, Jaclyn Victor, Nora, Noryn Aziz dan Ning Baizura.

Malam itu juga memberikan makna dan mencatatkan momen indah dalam hidup pemenang anugerah Grammy sebanyak 10 kali itu apabila menerima Anugerah Personaliti Terbaik The BrandLaureate.

Pemilihan Chaka untuk anugerah itu berdasarkan kecemerlangannya dan sumbangannya menerusi irama R&B dan soul selain kerja amal yang dilakukannya.

"Anugerah ini merupakan yang terbaik pernah saya terima dan saya amat menghargainya," ujarnya dalam nada terharu.

Ternyata riak terkejut terpancar jelas di wajah Chaka atau nama sebenarnya Yvette Marie Stevens apabila diumumkan sebagai penerima kategori itu sehingga dia tidak mampu membendung air matanya.

Anugerah itu telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif The BrandLaurette, Dr. K.K Johan dan ahli lembaga pengarah Yayasan Jenama Asia Pasifik (APBF), Tan Sri Dr. M. Mahadevan.

Chaka merupakan artis ketiga selepas Sir Cliff Richard dan Kitaro yang memenangi anugerah itu yang dipilih oleh ahli jawatankuasa APBF.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: