|
|
MEMENANGI lima anugerah di Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22), Ogos lalu, Papadom arahan Afdlin Shauki bukanlah sekadar filem untuk bergelak tawa atau berhibur semata-mata.
Bakal menjengah pawagam 8 Oktober ini, Papadom menampilkan jalan cerita yang cukup menarik dengan adunan mesej kekeluargaan, persahabatan, perpaduan, kasih sayang serta rasa bertanggungjawab.
Mengisahkan keprihatinan seorang bapa bernama Saadom lakonan Afdlin menuruti wasiat arwah isterinya, Munirah (Noorkhiriah) agar menjaga baik-baik anak mereka iaitu Miasara, filem dengan bajet RM1.4 juta ini meletakkan hubungan antara bapa dan anak sebagai tonggak penceritaan.
Menariknya, keprihatinan Saadom itu melebihi segala-galanya sehingga sanggup melakukan apa sahaja termasuk bekerja sebagai tukang kebun untuk mengintip perlakuan Miasara yang dilakonkan oleh Liyana Jasmay sepanjang anaknya itu berada di universiti.
Semuanya adalah demi memastikan Miasara tidak terjebak dengan kegiatan tidak bermoral, sementelah anaknya itulah satu-satunya sahabat Saadom setelah kematian Munirah.
Tatkala di universiti, Miasara yang ketika itu baru merasakan bebas daripada pemerhatian bapanya cuba digoda oleh Hisham (Farid Kamil).
Tanpa disedari Miasara, Saadom yang dibantu dengan kehadiran kelibat arwah isterinya sentiasa menyusun strategi bagi menggagalkan usaha Hisham untuk menambat hati Miasara.
Kehadiran Noorkhiriah selaku penghidup watak Munirah cukup mencuit hati penonton bagi elemen komedi yang diselitkan dengan lakonan bersahajanya.
Begitu juga dengan lakonan Que Haidar yang membawakan watak sebagai Mat.
Penutup segala kerancakan komedi yang dihidangkan, Papadom akhirnya mengakhiri kisah dengan elemen menyentuh perasaan tatkala Miasara mengetahui bapanya selama ini sanggup bekerja sebagai tukang kebun semata-mata ingin 'menjaga' kehidupannya di universiti.
Justeru, atas dasar kehebatan jalan cerita yang dibawakan, kemenangan Papadom merangkul lima anugerah di FFM22 sememangnya tidak perlu dipertikaikan.
Karya Yasmin Ahmad sebagai inspirasi
Namun, bagi Afdlin, kemenangan yang dirangkul itu bukanlah untuk bermegah-megah tetapi ia lebih kepada satu bentuk peringatan untuk terus menghasilkan karya yang baik.
Menceritakan proses penghasilan Papadom, Afdlin dengan rendah diri mengakui, dia menjadikan filem-filem Allahyarham Yasmin Ahmad sebagai sumber inspirasinya untuk berkarya.
''Ketika FFM22, saya amat meminati filem Talentime. Allahyarham Yasmin telah berjaya mengangkat konsep kekeluargaan yang semakin terbiar.
''Oleh itu, Papadom dihasilkan selepas saya melihat sendiri cara saya bekerja selama ini.
''Saya telah bertanya pada diri tentang apa akan jadi jika orang yang selalu diharapkan untuk menjaga anak-anak iaitu isteri tidak berada dalam hidup,'' katanya ketika ditemui pada sesi pratonton Papadom di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) baru-baru ini.
Menyambung bicara, Afdlin berkata, hal tersebut mendorongnya untuk melihat semula perhubungannya dengan keluarga serta menilai betapa pentingnya kehidupan berkeluarga.
Menurutnya, Papadom merupakan filem yang mendekatkannya dengan orang-orang baru terutama barisan pelakon.
Masakan tidak, sebelum ini, Afdlin dilihat begitu selesa dengan barisan artis yang sejiwa dengannya iaitu Awie, Hans Isaac dan AC Mizal.
''Filem ini (Papadom) tidak ada yang sama daripada segi pelakon.
''Ia membolehkan saya berkenalan dengan pelakon yang belum pernah bekerja di bawah saya sebelum ini,'' jelasnya.
Ketika diajukan persoalan mengenai senario filem yang bagus akan gagal mengaut jumlah kutipan pecah panggung (box office), Afdlin berkata, dia menyedari akan senario itu yang mana ia pernah berlaku selama ini.
''Kita akan berusaha untuk mencari keseimbangan. Kami sedar ia pernah berlaku.
''Oleh itu, aktiviti promosi akan diperkuatkan,'' tegasnya.
jangan terlalu emosi dengan tanah
ReplyDelete