Saturday, October 17, 2009

Bunga daun getah


JAMBANGAN bunga yang diperbuat daripada daun getah.


SELAIN susu getah yang boleh menghasilkan tayar dan batangnya dijadikan perabot, masih ramai tidak mengetahui bahawa daun pokok getah juga berguna untuk dijadikan produk kraftangan iaitu bunga daun getah.

Salah seorang pengusaha bunga tersebut, Rohani Ibrahim, 58, memberitahu, sebelum ini, dia tidak terfikir untuk membuat produk berkenaan kerana tiada kemahiran khusus untuk menghasilkannya.

Menurutnya, lapan tahun lalu cerita penghasilan bunga daun getah itu hanya didengarnya daripada rakan sekampungnya di Kampung Rendang Pasir di Yan, Kedah. Dia kemudiannya cuba membuat sendiri tanpa dibantu oleh sesiapa.

"Waktu itu, saya hanya cuba-cuba sahaja. Tidak sangka pula, rekaan saya menjadi," katanya kepada Kosmo!.

Rohani mula aktif menghasilkan bunga daun getah sejak 2007 setelah mendapat bantuan dan galakan daripada pihak Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di bawah projek Aktiviti Ekonomi Tambahan Risda Daerah Kedah Tengah.

RISDA mempelawa Rohani menyertai projek itu ketika melawat kebun getah miliknya yang baru ditanam semula kerana pokok lama sudah terlalu tua.

"Kebetulan pula sewaktu mereka (RISDA) datang, saya sedang membuat bunga daun getah. Jadi, mereka terus menawarkan saya untuk menjadi sebahagian daripada ahli projek RISDA," katanya.

Bak kata pepatah, 'pucuk dicita, ulam mendatang'. Tanpa berlengah, Rohani terus menyatakan persetujuan memandangkan pihak RISDA bersedia membantu menyediakan peralatan moden untuk menghasilkan bunga daun getah dengan lebih banyak dan cantik.

Ini kerana, katanya, cara penghasilan yang dia lakukan sebelum itu amat terbatas. Malah, kualitinya juga kurang memuaskan hati. Antara bantuan yang disediakan oleh RISDA adalah mesin semburan dan pelbagai cat warna.

Bercerita tentang penghasilan bunga daun getah, bahan utamanya iaitu daun getah perlu dipetik daripada pokok bagi mengekalkan kesegarannya.

"Ambil sebanyak mana daun getah pun tak mengapa. Kemudian rendam di dalam kolah simen khas selama sekurang-kurangnya sebulan.

"Proses ini dibuat sehingga daun yang sebelum ini berwarna hijau berubah menjadi coklat dan hanya tinggal urat-urat daun sahaja," katanya.


ROHANI IBRAHIM sibuk membuat bunga telur daripada daun getah.


Jelas ibu kepada enam orang anak itu lagi, untuk menjadikan daun getah ini putih, cecair peluntur perlu dicampurkan di dalam air rendaman, sehari sebelum proses mengeringkannya dilakukan di bawah sinaran matahari.

"Apabila kering, barulah boleh buat proses berikutnya iaitu menyembur pewarna dan membentuk daun menjadi barang-barang perhiasan. Semburan pewarna dibuat untuk menjadikan bunga ini kelihatan cantik," katanya.

Jika seseorang itu kreatif, pelbagai jenis barang perhiasan boleh dibuat. Setakat ini, Rohani telah menghasilkan beberapa produk termasuklah bunga telur, gubahan bunga ros dan bunga untuk dihadiahkan semasa majlis konvokesyen.

Buat masa ini, permintaan yang paling hangat diterima adalah gubahan bunga telur. Dia juga pernah menerima tempahan daripada Kelantan, Perak dan Johor.

Rohani mengakui, hanya dia sahaja yang mengusahakan kraftangan itu memandangkan generasi muda kurang berminat untuk mempelajarinya kerana kerja-kerja menghasilkannya agak rumit.

"Kalau tak minat, memang susah kerana cara membuatnya agak sukar dan perlu kesungguhan. Saya sendiri pun buat sekadar yang termampu sahaja," katanya.

Kepada sesiapa yang berminat, Rohani menjual produknya itu pada harga RM2 setangkai. Ini kerana kos seperti lidi, reben dan perhiasan lain semakin mahal.

Walaupun perniagaannya tidak dilakukan secara komersial, Rohani amat berharap agar satu hari nanti, bunga daun getahnya mendapat sambutan dari seluruh negara.

"Buat masa sekarang, pihak RISDA memasang papan tanda di jalan utama bagi memudahkan orang ramai membuat tempahan bunga daun getah ini," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: