Saturday, October 17, 2009

Tradisi barbeku cara Afrika


PENDUDUK berkumpul di Soweto, Afrika Selatan untuk menyertai pesta braai.


SAMBIL menyaksikan matahari terbenam yang indah, kawasan taman itu turut diserikan dengan aroma daging panggang yang menusuk hidung.

Para pengunjung yang datang bukan sekadar bersuka ria bersama teman, malah bergembira melakukan aktiviti memanggang daging, kepak ayam dan sosej.

"Anda pergi ke negara lain mereka akan memberitahu anda mengenai barbeku tetapi aktiviti itu cukup berbeza seperti braai iaitu barbeku tradisi masyarakat Afrika Selatan," jelas gadis berusia 22 tahun sambil memberikan sosej ketika ditemui AFP di Taman Soweto yang hingar-bingar itu.

Acara braai menjadi satu-satunya aktiviti unik masyarakat Afrika Selatan bagi menunjukkan semangat kebangsaan yang berwarna-warni.

Mulut mereka pula tidak henti-henti memberitahu bahawa mereka dalam perjalanan ke taman itu untuk meraikan pesta braai.

Kaedah barbeku itu merupakan salah satu obsesi kebangsaan yang berkongsi hubungan sosial sekali gus memintas jurang perbezaan bangsa yang sudah 15 tahun jatuh ke pemerintahan minoriti orang putih.

Disebabkan sambutan braai yang menggalakkan, maka satu kempen dilancarkan untuk mendesak negara memilih hari Khamis sebagai hari mengumpulkan orang ramai bagi meraikan pesta braai.

"Uniknya mengenai braai adalah ia hanya didapati dan dipraktikkan oleh masyarakat Afrika Selatan sahaja," ujar Tiaan van der Spuy mengenai konsep braai yang semakin popular.

"Kami mempunyai 11 bahasa rasmi tetapi kami semua mengetahui apa itu braai. Perkataan ini mempunyai kuasa dalam menyatukan masyarakat," katanya lagi.

Sementara itu, penulis puisi braai yang pernah memenangi hadiah Nobel Keamanan, Desmond Tutu menyifatkan untuk menjadi sebahagian daripada braai, ia memerlukan tulang stik.

"Di pesta braai, masing-masing menikmati sajian daging yang banyak, bergembira bersama rakan, bergelak ketawa, aman dan harmoni. Disusuli pula aroma braai yang cukup menenangkan," luah Tutu.

Braai kini merupakan bisnes yang serius di Afrika Selatan. Di sana, mereka dianggap juara kerana menjual banyak daging di kebanyakan pasar raya dan membuat unggun api di pantai dan taman serta kawasan belakang rumah secara meluas.

Bagi pengunjung yang malas menghidupkan unggun api, mereka diberi pilihan membeli kepingan daging mentah di kedai dan berpeluang membakar daging tersebut di sana. Kedai itu juga menyediakan tempat bakar, arang dan rempah.


SEORANG wanita sibuk memeriksa daging yang sedang dipanggangnya di pesta braai.


"Mereka membeli dan membakarnya sendiri," jelas Tobogo, 22, yang menjual antara enam hingga tujuh kepingan daging setiap minggu.

Mercu tanda

Gerai Mzoli Place yang menjadi mercu tanda di Cape Town menerima ratusan pengunjung yang tidak melepaskan peluang membakar makanan bersama chef British popular, Jamie Oliver. Mereka mengambil kesempatan memasak daging dalam pelbagai juadah.

"Ia melahirkan pengalaman yang menarik. Atmosfera, muzik, makanan dan pengunjung yang hadir menghangatkan suasana," tulis Olivier dalam sebuah majalah pada awal tahun lalu.

Dalam pada itu, Majlis Warisan Afrika Selatan melahirkan rasa kecewa kerana tarikh 24 September ditukar menjadi Hari Kebangsaan Braai dan secara rasmi menjadi cuti umum. Ia secara tidak langsung membelakangkan warisan kebangsaan yang telah pun ditetapkan pada tahun 1994.

"Kami bersetuju sekiranya mereka tidak mengiktirafnya sebagai Hari Kebangsaan Braai. Ini kerana ia tidak tepat bagi menggambarkan pesta braai yang sebenarnya," ujar jurucakap majlis tersebut Danny Goulkan.

Kumpulan pemasaran telah menetapkan konsep untuk kempen pengiklanan. Ia bergerak aktif dalam laman sosial Facebook dan Twitter. Malah, kumpulan koir, Soweto Gospel yang popular di dunia yang menyanyikan lagu, Our Heritage turut disiarkan di YouTube.

Dengan dipenuhi acara braai, selain penggunaan bekas air dan mangkuk bubur di taman Soweto, Khubeka menyatakan braai perlu diadakan pada hari lain bukannya serentak pada sambutan Hari Kebangsaan.

"Ia seolah-olah sambutan hari Krismas tetapi kita memanggilnya Hari Kebangsaan Braai," ujar penuntut ekonomi.

Apakah yang akan dilakukan pada hari Khamis akan datang? Sambil ketawa, dia menjawab: "Biasanya, kami akan memakai pakaian tradisi Afrika dan menyertai pesta braai."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: