Saturday, October 17, 2009

Pencarian Ratu Pesta Pulau Pinang


HENG KIANG (kanan) melihat mahkota Ratu Pesta Pulau Pinang 2008, Intan Syafinaz pada sidang media pelancaran pencarian Ratu Pesta Pulau Pinang 2009 di Georgetown baru-baru ini.


BUAT tahun kedua, pencarian gadis paling menawan yang bakal dinobatkan sebagai Ratu Pesta Pulau Pinang bermula.

Bertemakan 'Nikmati Makanan Pulau Pinang,' penyertaan dibuka kepada peserta pelbagai kaum berusia 18 tahun ke atas dari Pulau Pinang dan negeri lain.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Pulau Pinang, Danny Law Heng Kiang, peserta Ratu Pesta hanya akan menggayakan pakaian tradisional.

"Tiada pakaian mandi diperagakan oleh peserta dalam pertandingan ini, malah ia mempromosikan budaya dan ciri-ciri tradisional tempatan.

"Jadi, ia dibuka kepada semua kaum agar benar-benar berwajah serta bercirikan nasional.

"Uniknya pada pertandingan kali ini, peserta perlu bersedia untuk menjawab soalan mengenai makanan yang terdapat di Pulau Pinang pada sesi uji bakat," katanya pada sidang media yang diadakan di Hotel Red Rock, George Town baru-baru ini.

Pemenang pertama Ratu Pesta bakal membawa pulang hadiah bernilai lebih daripada RM12,000 termasuk wang tunai RM3,000, manakala pemenang tempat kedua akan menerima hadiah bernilai RM9,500 dan tempat ketiga pula kira-kira RM5,000.

Pertandingan akhir pencarian ratu itu diadakan sempena Pesta Pulau Pinang yang akan berlangsung dalam majlis makan malam pada 13 Disember ini.

Mereka yang berminat boleh mendapatkan borang di lobi Hotel Red Rock, kaunter Maraton Antarabangsa Pulau Pinang di Queensbay Mall, tingkat bawah Kompleks Tun Abdul Razak atau melayari laman sosial facebook di www.facebook/misspesta.

Heng Kiang menambah, hasil pembelian meja pada malam itu akan disumbangkan kepada Kelab Lion Bayan Baru, manakala selebihnya untuk mengisi Tabung Pelancongan Negeri Pulau Pinang dan penganjuran acara Ratu Pesta yang akan datang.

"Sesi uji bakat akan diadakan pada 7 November ini. Sebanyak 12 peserta yang terpilih ke peringkat akhir akan mengadakan sesi fotografi di beberapa lokasi tempat makan terkenal di Pulau Pinang, selain dibawa bertemu orang ramai.

"Ia diharap dapat memajukan lagi sektor pelancongan Pulau Pinang, selain menjadi pentas terbaik gadis-gadis berbakat untuk bergelar peragawati," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: