BLACK DOG BONe bakal gegarkan bandar raya Johor Bahru pada 31 Oktober. |
LAGU mereka masih sedap didengar sehingga ke hari ini walaupun kebanyakannya dirakam pada dekad 70-an dan 80-an. Irama segar seperti Geram, Releks, Dulu Dan Sekarang, Hatiku Luka Lagi, Cinta Hampa, Joget Bujang Di Rantau, Si Gadis Ayu dan banyak lagi tetap menjadi siulan peminat tidak kira tua mahupun muda.
Ditubuhkan sekitar 1973 di Singapura, kumpulan yang dianggotai Tahir Ali (Jatt), Izhar Masrom, Masron Ali, James Chai, Michael Heng dan Hamid Ahmad ini sebenarnya diasaskan sebagai kumpulan muzik untuk persembahan kelab.
Kononnya, langsung tidak terlintas di hati anggota kumpulan terbabit untuk bergelar artis rakaman. Mereka berkumpul dalam satu kumpulan dengan mempertaruhkan kebolehan bermain muzik semat-mata untuk mencari rezeki.
Begitupun, selepas kira-kira tiga tahun menimba pengalaman menghiburkan pengunjung kelab, rezeki menyebelahi kumpulan ini apabila ditawarkan menghasilkan album. Langkah pertama nampaknya cukup menjadi, meletakkan nama Black Dog Bone (BDB) sebagai kumpulan popular dengan lagu mereka dikenali ramai.
Sejak itu, BDB tidak memandang ke belakang. Apabila percubaan sulung diterima ramai di pasaran, kumpulan itu dilamar EMI Singapura, seterusnya beberapa album lain menyusul di belakang.
Sepanjang karier, kumpulan ini sempat menghasilkan sembilan album. Ketika ini, mereka berada dalam perbincangan untuk muncul bersama buah tangan terbaru, sebagai hadiah paling berharga buat peminat yang setia menyokong perjuangan seni setiap anggota kumpulan berkenaan.
PeRSeMBAHAN Black Dog Bone di Istana Budaya, Mei lalu. |
Pada awal kemunculan mereka, tidak banyak kumpulan lain yang bergerak aktif dalam industri seni. Apabila BDB mula mencipta nama, beberapa kumpulan muzik lain turut menjengah pasaran termasuk Carefree, Flybaits dan Discovery.
Dengan kebolehan anggotanya membaca nota muzik, ia memberikan kelebihan kepada kumpulan itu untuk terus bertahan, di samping berpeluang menambah pendapatan.
Khidmat mereka sebagai pemain muzik sering kali digunakan oleh komposer terkemuka ketika itu dalam penghasilan album artis lain. Bukan sekadar bermain muzik untuk rakaman album penyanyi popular, malah mereka turut menyediakan suara latar sekali.
Antara artis popular yang pernah mendapat khidmat permainan muzik serta suara latar anggota kumpulan ini ialah Sudirman Arshad, Datuk Sharifah Aini, DJ Dave dan Noorkumalasari. Mereka juga pernah mengadakan mengiringi persembahan penghibur terkemuka, Anita Sarawak serta penyanyi antarabangsa yang lain.
Selepas lebih dua dekad bersama, pernah anggota kumpulan ini membawa haluan sendiri. Begitupun, selepas 18 tahun, anggota asalnya kembali bersama untuk menjayakan beberapa persembahan sekitar 2004. Album reunion BDB juga pernah dihasilkan sekitar 2002.
Mei lalu, kumpulan ini diberikan penghormatan untuk muncul bersama sebuah konsert di Istana Budaya, dengan iringan muzik Orkestra Simfoni Kebangsaan. Kumpulan itu turut mengundang penyanyi Jay Jay dan pemuzik Rahim Othman pada konsert berkenaan. Persembahan selama tiga malam itu mendapat sokongan padu daripada peminat.
Rentetan kejayaan konsert terbabit, enam anggota asal kumpulan itu sekali lagi diberikan ruang menghiburkan peminatnya dalam sebuah lagi konsert, kali ini di Johor pula. Bakal dilangsungkan di Pusat Konvensyen Persada Johor, Johor Bahru, pada 31 Oktober ini, BDB akan tampil di pentas mulai jam 8.30 malam.
Konsert diberi nama Konsert Malam Kenangan BDB itu sekali lagi menampilkan bekas vokalis Carefree, Jay Jay, sebagai artis undangan. Dibawakan oleh Offshore Entertainment Production Sdn Bhd, konsert itu juga akan menyaksikan kumpulan berkenaan mengadakan persembahan dengan diiringi muzik orkestra.
Tiket menyaksikan persembahan penuh nostalgia oleh BDB ini boleh didapati dengan harga RM295, RM245, RM175 dan RM75. Peminat yang ingin mendapatkannya boleh menghubungi talian 07-3355860, 03-27191800 dan 04-2293670. Tempahan tiket juga boleh dilakukan dengan melayari www.sistic.com.sg.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: