Monday, October 26, 2009

Lagu tangkap muat


BARISAN artis, pencipta dan penulis lirik yang berjaya ke separuh akhir Muzik Muzik 24 bersama wakil penaja.

Primeworks Studios kecewa, malu dengan kualiti lagu, buat kali pertama semua pencalonan bersaing secara terbuka dalam Muzik Muzik 2010

ANDAI jumlah pencalonan lagu yang menyertai rancangan Muzik Muzik 2009 boleh dijadikan ukuran, kemerosotan industri muzik tanah air semakin ketara kelihatan. Bukan sekadar nilai pasaran fizikal kini hanya berjumlah kira-kira RM50 juta, berbanding RM225 juta sedekad yang lalu, jumlah lagu yang dihasilkan turut berkurangan.

Pada musim terbaru Muzik Muzik (4 April - 17 Oktober) hanya 112 lagu dicalonkan dan daripada jumlah itu, 30 lagu yang mendapat undian terbaik penonton terpilih ke peringkat separuh akhir. Saingan pada peringkat itu dibahagikan kepada tiga bahagian dengan masing-masing dilangsungkan di Sri Pentas 2, Shah Alam, pada 6, 13 dan 20 November.


Jumlah itu, kata Pengurus Produksi Hiburan, Primeworks Studios Sdn Bhd, Fadzliniza Zakaria, menurun sebanyak 20 peratus berbanding pencalonan diterima untuk musim sebelumnya.

"Keadaan ini berlaku berkemungkinan besar disebabkan tidak banyak syarikat rakaman dan tidak ramai artis yang berani tampil bersama album penuh. Masing-masing kini lebih bertumpu kepada penghasilan single yang kemudian dipasarkan secara digital," katanya selepas majlis pengumuman lagu yang layak bertanding pada separuh akhir rancangan berkenaan di Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini.

Menurut Fadzliniza, daripada jumlah pencalonan yang diterima, kebanyakannya adalah lagu berentak pop rock dan balada.

MISHA mencabut angka giliran persembahan sambil diperhatikan pengacara, Cheryl Samad dan Faizal Ismail.

"Jika dilihat secara genrenya, kami hanya menerima 10 lagu dalam kategori etnik kreatif. Lebih membimbangkan, apabila kualiti lagu dalam kategori ini kurang memberangsangkan. Sebagai penganjur, kami berasa malu dengan kualiti yang dipersembahkan menerusi lagu etnik kreatif.

"Tujuan kami menganjurkan pertandingan ini adalah untuk mengangkat komposer tempatan serta karya mereka. Namun begitu, janganlah lagu yang dihantar menyertai Muzik Muzik sekadar tangkap muat saja," katanya.

Dalam usaha untuk terus mengangkat pencipta tempatan juga, maka Muzik Muzik kembali mempertandingkan lagu secara terbuka, tidak lagi menggunakan sistem kategori yang diperkenalkan sejak 1992.

"Sejak awal lagi kami sudah memutuskan pertandingan pada kali ini tidak akan dibuat berdasarkan kepada kategori. Dengan keadaan industri muzik tanah air ketika ini, kami mahu menggalakkan lebih banyak jenis lagu dapat memasuki pertandingan ini. Komposer juga tidaklah hanya mencipta lagu berdasarkan kategori yang diberikan itu.

ARTIS baru, Yuna, tidak ketinggalan memberikan saingan dengan lagu, Dan Sebenarnya.

"Kami juga tidak berasakan pembubaran kategori akan membuatkan lagu etnik kreatif semakin menurun. Sedar tak sedar, Muzik Muzik sudah memasuki usia 24 tahun. Jika kita mempunyai anak, anak itu sudah boleh berdikari. Jadi, inilah masanya komposer lagu etnik pun turut sama bersaing dengan komposer genre lain dalam suasana lebih terbuka.

"Kami tidak mahu lagi lagu etnik dihasilkan secara sambil lewa. Kami mahu mereka berlawan dengan irama lain secara saksama. Mana tahu, jika mutu lagu dalam kategori itu semakin baik, ia boleh kembali menguasai industri muzik tanah air," katanya.

Sekitar 1997 hingga 2002, lagu daripada kategori etnik kreatif dilihat begitu menyerlah apabila ada saja judul daripada genre terbabit seperti Ghazal Untuk Rabiah, Cindai, Balqis dan Mimpi Laila diangkat sebagai juara keseluruhan. Komposer seperti Pak Ngah, Yasin dan M Nasir antara nama yang disegani ramai dek kemampuan mereka dalam penghasilan lagu dengan pengaruh muzik tradisional, etnik mahupun kemelayuan.

Kini, tiada lagi kategori yang ada kala memberikan kelebihan kepada lagu yang tidak ’meriah’ dari segi jumlah penyertaan. Pada peringkat separuh akhir tahun ini, hanya lagu bermutu yang disokong persembahan terbaik pada penilaian juri, tidak kira daripada genre mana sekalipun, yang mampu melangkah ke Anugerah Juara Lagu (AJL).

Kemuncak pertandingan bakal dilangsungkan pada 10 Januari 2010, di Stadium Putra Bukit Jalil.

Kata Fadzliniza, penganjur berasakan, sistem terbuka ialah pilihan terbaik buat waktu ini bagi meneruskan kesinambungan Muzik Muzik yang kerap dijadikan kayu ukur pada perkembangan dunia muzik tempatan. Pertandingan lebih terbuka itu mungkin dikekalkan buat beberapa tahun akan datang, sebelum formula baru dapat ditemui bagi memperkemaskan lagi rancangan berkenaan.

"Kami juga tidak boleh mengubah format rancangan ini terlalu kerap, bimbang peminat mula kebingungan nanti," katanya yang menganggap, kebangkitan lagu daripada kumpulan muzik bebas ketika ini turut bersifat semasa, sebagaimana etnik kreatif pernah mencipta gemilang beberapa tahun yang sudah.

Mengulas tanggapan sesetengah pihak rancangan mingguan Muzik Muzik mula kehilangan tarikannya, Fadzliniza menegaskan, pada satu ketika dulu program itu cukup menyerlah berikutan ketiadaan saingan daripada rancangan lain. Begitu juga tidak banyak medium hiburan yang tersedia untuk peminat.

"Tetapi, kami akan tetap pertahankan rancangan ini selama yang terdaya. Kami berasakan, ia masih cukup relevan dengan penonton sekarang. Primeworks sendiri sentiasa berinteraksi dengan penonton untuk mendapatkan maklum balas terhadap bentuk persembahan yang mereka inginkan. Rancangan ini harus dikekalkan selagi mana ia mampu membantu industri muzik kita berkembang," katanya.

Ketika ini, Muzik Muzik ditonton kira-kira 600,000 peminat pada setiap minggu, manakala rancangan kemuncaknya, AJL, mampu mencapai sehingga lebih empat juta penonton, sebagaimana dicatatkan AJL edisi ke-23 awal tahun ini.

INFO: Muzik Muzik 2009

  • AIZAT muncul penyanyi dengan pencalonan terbanyak pada separuh akhir, iaitu tiga lagu kesemuanya. Sebuah daripadanya, Kau Aku, adalah ciptaan sepenuhnya penyanyi kelahiran rancangan Akademi Fantasia ini.

  • ESTRANGED yang pernah menjulang trofi Juara Lagu menerusi Itu Kamu, dua tahun lalu, mempertaruhkan dua lagu pada separuh akhir Muzik Muzik 24 (Aurora, Ketika Ini). Kumpulan Jinbara dan Alyah juga turut mempertandingkan dua lagu pada peringkat ini, dengan sebuah daripada lagu Alyah dinyanyikan secara duet bersama Riz (Ku Pinjam Satu Bintang).

  • BERTAMU DI KALBU nyanyian Jaclyn Victor yang turut layak kali ini, dicipta sepenuhnya anggota Jinbara, Anjang.

  • SEPARUH akhir Muzik Muzik 24 diacarakan oleh Cheryl Samad, Faizal Ismail dan Ezlynn. Ia ditaja oleh Hotlink (Maxis Communications Berhad) dan L’Oreal, dengan stesen radio nombor satu negara, Hot FM, sebagai radio rasmi.

  • TIKET percuma menyaksikan saingan separuh akhir boleh didapati di Balai Pengawal Sri Pentas, Bandar Utama dan Balai Pengawal Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, mulai Sabtu, 31 Oktober.

    INFO: Lagu yang layak ke separuh akhir
  • Bencinta (Nyanyian Faizal Tahir / Ciptaan Audi Mok / Lirik Faizal Tahir)
  • Pakai Buang (Stacy / Edry / Edry)
  • Aurora (Estranged / Estranged)
  • Benar-Benar (Adam / Edry / Edry)
  • Gila (Mila / Audi Mok / Nur Fatimah)
  • Rindu Terhenti (Tomok / Aubrey Suwito / Tinta)
  • Situasi (Bunkface / Sam / Sam)
  • Dan Sebenarnya (Yuna / Yuna, Paan, Efry, Adil / Yuna, Paan, Efry, Adil)
  • Kau Aku (Aizat / Aizat)
  • Pergi (Aizat / Pete Teo / Pete Teo)
  • Aku Scandal (Hujan / Noh / Noh)
  • Patri (Jinbara / Anjang / Anjang)
  • Mirage (Pesawat / Jipie / Jipie)
  • Cinta Adam Dan Hawa (Misha Omar / Azmeer / Loloq)
  • Khatimah Cinta (6ixth Sense / 6ixth Sense)
  • Tak Mungkin Kerna Sayang (Alyah / Ajai / Habsah Hassan)
  • Pari-Pari Di Bawah Angin (Meet Uncle Hussain / Taja, Tassiq, Lan / Taja, Tassiq, Lan)
  • Raja Gelek (One Nation Emcees / Damian Mikhail / One Nation Emcees)
  • Oh Anok Anok (Reshmonu / Reshmonu / Farasha Osman)
  • Masih Jelas (Hafiz / Aidit Alfian / Ad Samad)
  • Tahu Tak Tahu Joget (Jinbara / Anak Jin, Palut / Anak Jin)
  • Bertamu Di Kalbu (Jaclyn Victor / Anjang / Anjang)
  • Ketika Ini (Estranged / Estranged)
  • Seadanya Aku (Nubhan / Sharon Paul / Azalea)
  • Aku Rindu Sayang Kamu (Black / Yuzai / Yuzai)
  • Enjut (Noraniza Idris / Cat Farish / Ahmad Fedtri Yahya)
  • Dia, Aku Dan Kamu (Nadia & Red Peanut / Eddie Hamid / Ahmad Fedtri Yahya)
  • Ku Pinjam Satu Bintang (Alyah & Riz / Ajai / Slen)
  • Fikirlah (Aizat / Anas / Anas)
  • Bengang (Akim / Amir / Sheikh Qalam).
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: