Monday, October 26, 2009

Terapi cara Metadome


artis naungan Metadome yang hadir pada acara ini.

Penat dengan rutin kerja harian, syarikat itu bawa wakil media, penyanyi dan kakitangannya bersantai

PERCUTIAN singkat anjuran Metadome Sdn Bhd hujung minggu pastinya akan dikenang rakan media dan artis terpilih. Cherating, Kuantan yang menjadi lokasi percutian ini, ternyata memberi banyak kenangan manis.

Pelbagai aktiviti diatur seperti sukaneka yang diadakan membabitkan kakitangan dan penyanyi di bawah naungan syarikat ini serta wakil media. Kemeriahan memang cukup dirasai kerana acara sebegini menimbulkan suasana riuh apabila masing-masing cuba untuk memenangi pelbagai acara dipertandingkan.


Selain menjamu selera, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan rakan penyanyi yang hadir. Ia diselang seli dengan cabutan bertuah menawarkan hadiah lumayan seperti percutian ke luar negara, barangan elektrik, telefon bimbit dan telekomunikasi.

Ringkas dan sederhana, acara yang berlatarkan Suria Cherating Beach Resort ini sebagai bukti keakraban yang terjalin antara penyanyi, syarikat Metadome dan wartawan.

Diasaskan pada tahun 2002, Metadome pada mulanya berperanan sebagai pembekal kandungan bagi muzik digital. Dua tahun selepas itu, Maxis melantik Metadome untuk memberi tumpuan tugas yang sama kepada kandungan lagu berbahasa Melayu, Inggeris dan Indonesia.



Saban tahun, Metadome terus berdiri megah sebagai sebuah syarikat rakaman dengan tidak sekadar memberi tumpuan kepada pasaran digital, sebaliknya membuka ruang kepada penyanyi naungannya menerbitkan sendiri lagu mereka jika berkemampuan.

Ketika acara santai ini berlangsung penyanyi di bawah label Metadome seperti Nurul Huda, Liyana Jasmay, The Fabolous Cats (TFC), Han, Sleeq dan Imran Ajmain tidak melepaskan peluang meluangkan masa untuk sama-sama memeriahkannya.

Pengarah Urusan Metadome, Ferhard Ahmad berkata, setiap penyanyi yang dipilih dan bernaung di label syarikatnya memang benar-benar berbakat dan mempunyai pasaran yang agak besar.

“Bakat perlu datang dulu. Soal rupa atau lain itu menjadi pakej yang sering melengkapi. Bukan sekadar bakat biasa, sebaliknya bakat yang lebih daripada biasa. Jika penyanyi berkumpulan, kriteria yang ditekankan mereka bukan saja boleh bermain alat muzik, malah boleh mencipta lagu sendiri sekurang-kurangnya empat lagu hits daripada 10 yang dimuat di dalam album.


“Jika penyanyi wanita pula, tahap kehebatan vokal itu dititik beratkan. Kalau merujuk kepada Han, dia mula disebut-sebut selepas berjaya berada dalam kelompok tiga terbaik di pertandingan Bintang RTM dan seterusnya mencuba nasib dalam One In A Million musim ketiga. Han memiliki vokal yang baik cuma peluangnya sebagai penyanyi dikenali belum menyinar.

“Kami cuba untuk membentuk imej yang lebih segar kepadanya dalam usaha memadam imej kampung. Selain itu dua anggota TFC, Cat Farish dan Adeed juga turut menyertai pasukan kreatif kami. Malah Cat dan Adeed juga bekerja tetap untuk memastikan kualiti sesebuah lagu itu sebelum dipasarkan,” kata Ferhard sambil memberitahu ‘orang kanannya’, KC Ismail turut memainkan peranan penting di atas pengalaman sebelum ini iaitu sebagai penyampai radio.

Optimis masa depan industri muzik

FERHARD yakin peluang sentiasa terbuka luas kepada penyanyi naungannya untuk mencambah idea dan cetusan minda berhubung perkara yang boleh diguna pakai untuk kepentingan bersama.

Seiring dengan perubahan landskap industri muzik, beliau percaya keterbukaan itu penting supaya bidang seni berkembang dengan baik.

Mengikuti aliran sekarang, pasaran muzik digital lebih memberangsangkan berbanding fizikal. Sehubungan itu, beliau sendiri yakin pasaran digital akan terus berkembang pesat pada masa mendatang.

Katanya, beliau mahu Metadome terus berada di barisan hadapan dan tidak sesekali terkebelakang dengan peredaran masa.

“Muzik bergantung kepada teknologi dan maka dengan itu, kami perlu seiring atau lebih sedikit daripada teknologi yang ada. Namun, formula untuk lagu menjadi hit tetap sama, iaitu masih mempunyai penekanan kepada genre, korus dan isi cerita.

“Cuma harus diingat kalau soal kos itu perlu dikawal dengan betul. Jika memperuntukkan sejumlah kos seperti sepuluh tahun dulu, bermakna kita seperti cuba untuk gulung tikar,” katanya.

Dalam pada itu, Ferhad berkata, lumrah dalam setiap perniagaan pasti ada turun dan naiknya. Katanya, sejak tahun 70-an hingga kini, industri muzik terutamanya saluran pengedaran dikuasai oleh golongan bumi putera. Hakikatnya, yang mencipta lagu dan menjadi penyanyi adalah orang Melayu.

“Maka dengan itu, kita sendiri sebagai kaum Bumiputera cuba menongkah arus dengan mengikuti jejak mereka. Cuma sekarang seiring dengan pasaran digital, saluran pengedaran itu sudah tidak banyak digunakan lagi selepas wujudnya peranan syarikat telekomunikasi.

“Kami sendiri mempunyai capaian yang baik dengan Maxis, Digi, Celcom dan U Mobile. Malah ketika nada dering diperkenalkan, ada juga syarikat yang berminat menggunakan khidmat Metadome.

“Sebagai persediaan juga, Metadome menubuhkan anak syarikat yang dipecahkan kepada Alibi Music, Alibi TV, Alibi Media dan Alibi Pictures,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: