![]() |
| POPULARITI Nubhan sebagai finalis Akademi Fantasia 7 menyebabkan dia masih menerima jemputan menyanyi sehingga kini. |
SYARIKAT Kumpulan Eurofine Sdn. Bhd., (Eurofine) merupakan antara penerbit drama televisyen (TV) dan filem milik bumiputra yang boleh dikatakan berjaya dalam perniagaan yang mereka usahakan pada hari ini.
Sepanjang 18 tahun terbabit dalam bidang penerbitan drama dan TV, syarikat itu telah menerbitkan ratusan drama bersiri TV selain dua filem berjudul Anaknya Sazali yang diterbitkan pada 1999 dan Putih (2002).
Lebih membanggakan Pengarah Urusannya, Ida Rahayu Md. Noor, syarikat yang diterajuinya itu kini turut disenaraikan sebagai syarikat produksi pembekal rancangan TV kategori gred A kerana kualiti produk-produk yang mereka terbitkan.
Malah, menurut Ida, selain diiktiraf kerana prestasi cemerlang itu, Eurofine juga kini berjaya mengumpul aset berjumlah RM8 juta hasil kegigihannya terbabit dalam bidang itu hampir dua dekad lalu.
"RTM telah meletakkan kami sebagai syarikat pembekal rancangan TV mereka dalam gred A sejak tiga tahun lalu. Ia berdasarkan aset kami yang kini bernilai RM8 juta di mana ia meliputi peralatan dan kemudahan produksi yang kami miliki pada hari ini.
"Selain itu, sehingga kini kami juga mempunyai modal terkumpul sebanyak RM6.7 juta yang digunakan untuk menerbitkan drama atau filem di bawah terbitan syarikat ini," katanya kepada Hits ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Eurofine di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Paling membanggakan apabila Eurofine katanya telah menyediakan banyak peluang pekerjaan dalam bidang lakonan di negara ini seperti pengarah, penulis skrip dan para pekerja di sebalik penggambaran sesebuah drama atau filem terbitannya.
Buktinya jelas Ida, tahun ini sahaja syarikatnya telah menerbitkan 30 telemovie yang mengambil durasi 60 jam di mana 98 peratus daripadanya adalah untuk tayangan di saluran TV RTM iaitu sama ada di TV1 atau TV2.
"Alhamdulillah, setakat ini produksi kami masih berjalan seperti biasa walaupun sudah 18 tahun kami melalui pelbagai suka dan duka dalam bidang penerbitan drama dan filem.
"Selama tempoh itu juga, kami telah melabur sebanyak hampir RM100 juta dan rezeki itu bukan untuk Eurofine sahaja tetapi sedikit sebanyak ia turut dikongsi oleh mereka yang terbabit menjayakan drama-drama dan filem-filem terbitan kami," ujarnya.
Penerbit berusia 38 tahun ini tidak menafikan, sepanjang 18 tahun terbabit dalam bidang itu pelbagai rintangan dan pahit getir pernah dilalui dalam usahanya bagi membangunkan syarikat tersebut.
Kata Ida, paling mencabar bagi Eurofine ialah pada tahun 2001 hingga 2005 akibat bahang kemelesetan ekonomi tahun 1997 yang melanda sepanjang tempoh empat tahun itu.
"Pada suatu ketika misalnya, kami pernah mempunyai hampir 100 pekerja tetap tetapi kini kami hanya mengekalkan 28 pekerja sahaja di mana yang selebihnya adalah pekerja secara kontrak.
"Bagaimanapun, pada masa sama kami akan terus mewujudkan peluang-peluang pekerjaan menerusi produk-produk yang kami hasilkan kelak," katanya yang juga Pengerusi Tetap UMNO Cawangan Petaling Jaya Utara sejak setahun lalu.
Terbaru Eurofine baru sahaja menerbitkan drama bersiri berjudul Bara Yang Ku Genggam iaitu sebanyak 26 episod, Noktah Pilu (26 episod) serta empat telemovie bertajuk Mentadak, Lafaz Bukan Mainan, Pesan Mak dan Kasih Zahra yang akan ditayangkan menerusi RTM sepanjang Oktober dan November ini.
Sesuai sebagai syarikat produksi bergred A, Eurofine kata Ida, amat mementingkan kualiti terutamanya skrip yang bermutu bagi menghidupkan sesuatu jalan cerita dalam produk-produk mereka.
Justeru, tidak hairanlah reputasi baik tersebut berjaya menaikkan bukan sahaja nama syarikatnya, tetapi juga di kalangan stesen TV yang banyak membeli dan menyiarkan produk-produk terbitannya itu.
"Setakat ini kebanyakan drama yang kami terbitkan mendapat sambutan hangat ketika ia ditayangkan sama ada di saluran TV kerajaan atau swasta.
"Contohnya drama bersiri Kutub Utara Kutub Selatan lakonan Nasha Aziz dan Hans Isaac itu ditonton hampir 2 juta penonton ketika ia disiarkan melalui RTM tidak lama dulu.
"Begitu juga dengan drama bersiri Villa Cinta Daddy lakonan Aida Radzwill dan Mustapha Kamal yang ditayangkan di TV3 pada 2002 juga mendapat rating mencecah 1 juta penonton," ujarnya.
Pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Kumpulan Eurofine yang diadakan dari pukul 11 pagi hingga 5 petang itu, lebih 300 tetamu hadir memeriahkannya.
Selain menikmati juadah raya, cabutan bertuah juga disediakan di mana sebanyak 18 hadiah termasuklah barangan elektrik telah dimenangi oleh para hadirin yang kebanyakannya terdiri daripada rakan niaga Eurofine.
"Majlis ini menawarkan 18 hadiah cabutan bertuah yang secara simboliknya sebagai tanda ulang tahun Eurofine ke-18 pada tahun ini," ujarnya pada pertemuan pada petang itu.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: