Tuesday, October 6, 2009

MAHKOTA minta campur tangan politik


TENAGA di sebalik tabir MAHKOTA (dari kiri) Syed Mohamad Hassan Benyahya, M Daud Wahid, A Rahman Hassan dan Khairuddin Othman pada sidang akhbar tersebut.


MAJLIS Perundingan Industri Hiburan dan Kesenian Tanah Air (MAHKOTA), yang dipengerusikan oleh Datuk A. Rahman Hassan telah diasaskan pada tahun lalu bertujuan membela nasib para karyawan seni tempatan.

Tidak kiralah daripada bidang seni apa sekalipun seperti nyanyian, lakonan dan muzik, majlis perundingan itu akan cuba sedaya upaya membantu mempertingkatkan mutu dan profesion para karyawan terbabit.

Bagaimanapun, Rahman berasa kesal apabila bidang seni dan hiburan tanah air masih kurang mendapat perhatian ramai termasuklah di kalangan ahli politik berbanding bidang-bidang kerjaya yang lain.

Sehubungan itu, menurut penyanyi dan gitaris kumpulan pop yeh-yeh Orkes Nirwana Johor Bahru ini, beliau tidak menafikan pembabitan ahli-ahli politik dalam bidang seni dan hiburan cukup penting dalam usaha untuk mengangkat martabat bidang tersebut.

"Saya tidak nafikan hakikat itu kerana orang politik amat berpengaruh. Sebelum ini pun, kami sudah cuba (menarik perhatian dan pembabitan ahli politik dalam bidang seni). Tetapi senario lain pula yang berlaku terutamanya yang membabitkan isteri-isteri mereka.

"Ramai di antara mereka yang takut suami mereka (ahli-ahli politik) akan mempunyai skandal atau menjalin hubungan dengan artis-artis perempuan. Tetapi itu kes kecil di mana kita akan gunakan juga pendekatan ini demi kebaikan industri seni dan hiburan kita pada masa depan.

"Kita pun sudah kenal pasti ahli-ahli politik yang dirasakan sesuai dan boleh membantu kami dalam membela bidang-bidang seni di negara ini supaya taraf dan sumbangannya sama penting seperti bidang-bidang lain," katanya pada sidang media MAHKOTA di Istana Budaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah dua Naib Pengerusi MAHKOTA iaitu Datuk M. Daud Wahid dan Syed Mohamad Hassan Benyahya serta Setiausaha Agungnya, Khairuddin Othman.

Pada majlis itu, Rahman turut menunjukkan buku berjudul Kongres Kebangsaan Industri Hiburan dan Kesenian Malaysia yang mengandungi 12 kertas kerja hasil daripada satu kongres anjuran MAHKOTA di Johor Bahru, Johor pada 15 hingga 17 Ogos tahun lalu.

Selain kertas kerja, buku dan kongres hasil kerjasama Kerajaan Negeri Johor dan Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (kini Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan) itu turut menampilkan tidak kurang 14 resolusi.

Malah, resolusi yang juga menampilkan 26 usul membabitkan bidang perfileman, muzik, media massa dan seni persembahan itu antara lain bertujuan menambah baik serta membantu segala permasalahan yang timbul dalam bidang-bidang seni tersebut.

Sebagai langkah awal, kata Rahman, beliau telah bertemu dengan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berhubung pembelaan terhadap bidang muzik yang selama ini seakan-akan kurang diberi perhatian.

"Pada 4 Mei lalu saya sempat berjumpa dengan Dr. Rais Yatim di Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia) bagi meminta beliau menyokong industri muzik yang ketika ini tidak mempunyai perbadanan sendiri.

"Kalau industri filem ada Finas tetapi industri muzik tidak ada tempat untuk para penggiatnya mengadu. Sebab itu kami sarankan diwujudkan perbadanan muzik dan ia bukan setakat seperti sebuah jabatan.

"Ini kerana, kalau jabatan jawatan-jawatan di dalamnya biasanya akan diisi oleh kakitangan kerajaan dan bukannya daripada kalangan orang dalam industri terbabit," jelasnya.

Buku Kongres Kebangsaan Industri Hiburan dan Kesenian Malaysia itu kata Rahman juga akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak supaya segala resolusi serta usul daripada kongres itu mendapat perhatian daripada pihak kerajaan.

"Kami akan menyerahkan buku ini kepada Perdana Menteri dalam waktu terdekat ini. Kami harap apa yang kami usahakan ini mendapat perhatian daripada kerajaan kerana warga seni juga mewakili masyarakat negara ini.

"Ia sesuai dengan slogan Perdana Menteri kita iaitu Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Selepas itu, MAHKOTA bercadang menganjurkan lebih banyak kongres susulan bagi mengenal pasti masalah-masalah yang berlaku dalam bidang seni dan hiburan kita," ujarnya.

Pada kongres pertama MAHKOTA yang diadakan di Johor Bahru itu, ia disertai seramai 420 peserta yang mewakili pelbagai pertubuhan, institusi dan agensi yang terbabit secara langsung dan tidak langsung dalam menyokong perkembangan seni hiburan tempatan.

Setiap bidang seni yang diketengahkan pada kongres itu mengemukakan resolusi masing-masing di mana ia kemudiannya disusuli dengan usul-usul tertentu bagi menambahbaik kekurangan yang berlaku dalam bidang-bidang tersebut.

Contohnya, kongres itu menampilkan lima resolusi industri iaitu saranan mewujudkan Akta Hiburan Nasional sebagai regulatori untuk mengawal selia bidang hiburan, menubuhkan muzium atau Arkib Hiburan bagi menyimpan khazanah berkaitan dan mewujudkan akta pembayaran royalti kepada para karyawannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: