Sebuah konsert orkestra amal akan dianjurkan oleh ADFM di Dewan Pleno, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada pertengahan bulan hadapan bagi mengumpul dana operasi pusat-pusat jagaan ADFM.

PENYAKIT Alzheimer (AD) merupakan sejenis penyakit otak yang menyebabkan kehilangan sel-sel saraf otak secara berperingkat. Sel-sel saraf itu penting untuk memori dan membuat otak berfungsi secara normal.
Namun, 'kehilangan aset-aset' itu secara tidak langsung akan menjejaskan fungsi mental sekali gus mengakibatkan aktiviti harian pesakit terganggu.
Kerja-kerja mudah seperti menggosok gigi, memakai pakaian mahupun mandi tidak lagi kelihatan senang untuk mereka. Malangnya, setakat ini, AD belum boleh dicegah ataupun dirawat.
Dianggarkan seramai 20,000 orang di Malaysia telah didiagnosis dengan AD. Tetapi, sejumlah 60,000 orang dianggarkan menghidap penyakit itu tanpa disedari atau didiagnosis.
Menyedari hakikat itu, Kelab Rotary Shah Alam (RCSA) telah mengambil inisiatif mendaftarkan Yayasan Penyakit Alzheimer Malaysia (ADFM).
Setakat ini, ADFM yang ditubuhkan pada Ogos 1997 memiliki empat pusat jagaan iaitu di Kuala Lumpur, Johor, Perak dan di ibu pejabatnya di Seksyen 11, Petaling Jaya, Selangor.
Pengerusi Jawatankuasa Eksekutifnya, Datuk Dr. Yim Khai Kee berkata, ADFM berhasrat melebarkan sayap bantuan menerusi penubuhan lebih banyak pusat jagaan di setiap negeri. Namun, semua itu dijangka menelan kos yang tinggi.
Tambahnya, yayasan tersebut memerlukan sekitar setengah juta ringgit setahun hanya untuk membiayai kos operasi di kedua-dua pusat jagaannya di Taman Seputeh, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Sementara baki, dua lagi pusat jagaan di Johor dan Ipoh dioperasi menerusi pembiayaan sendiri.
Justeru bagi mengumpul dana, sebuah konsert orkestra amal akan dianjurkan oleh ADFM di Dewan Pleno, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada pertengahan bulan hadapan.
Konsert yang bakal berlangsung pada 14 November 2009 itu bertujuan merayakan sambutan Hari Keputeraan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al Haj ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj yang ke-64.

Lebih penting lagi, ia diharapkan dapat membantu mengisi tabung yayasan itu bagi menampung keperluan dan operasi harian pusat-pusat jagaan sedia ada.
"Konsert ini dinamakan 'Unforgettable' kerana ia mencerminkan perjuangan pesakit-pesakit Alzheimer dan penjaga mereka," kata penaung ADFM, Puan Sri Wendy Ong pada sidang akhbar pengumuman konsert itu di Kuala Lumpur baru-baru ini. Antara pihak penaja yang terlibat adalah SP Setia Berhad Group, KLCC, Innovate Solution, Sin Chew Daily dan The Star.
Diyakini mampu menjadi konsert yang memberi seribu satu kenangan indah, persembahan muzik pelbagai genre itu akan dipersembah oleh tenaga muzik bertaraf antarabangsa. Konsert tersebut akan memberi tumpuan kepada persembahan muzik klasik ringan, lagu-lagu popular dan keajaiban muzik simfoni.
Berbangga dapat menganjurkan konsert amal itu selepas mendapat restu serta sokongan Sultan Selangor, Wendy berkata, orang ramai turut menikmati manfaatnya.
"Alunan muzik bertaraf dunia ini akan dipersembahkan oleh penghibur berbakat besar dari Malaysia dan luar negara seperti Eugene Pook," jelas Wendy.
Menurut Wendy lagi, idea menganjurkan acara berbentuk konsert orkestra itu sebenarnya berputik daripada satu perbincangan antara ahli jawatankuasa penganjur bersama Eugene. Eugene merupakan seorang kenalan rapat Wendy dan juga konduktor muzik kelahiran Malaysia yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (AS). Dia yang telah mencadangkan idea tersebut.
Dalam konsert dua malam itu, Eugene akan mengetuai Orkestra Festival Antarabangsa Kuala Lumpur yang dianggotai 66 pemuzik antarabangsa dan tempatan. Antara nama besar dalam industri muzik dunia yang bakal membuat persembahan itu termasuklah pemain biola Jessica Lee dari AS dan penyanyi jazz, Sean Ghazi yang berpangkalan di Los Angeles, AS.
Senarai pilihan lagu yang akan dipersembah oleh nama-nama besar tadi antaranya termasuk The Phantom of the Opera, Star Wars, Cinema Paradiso, Unforgettable, Sway dan Hujan di Tengahari.
Dewan Pleno KLCC yang mempunyai kapasiti maksimum sebanyak 5,000 tempat duduk itu bakal menyediakan keselesaan kepada semua pengunjung.
Tawaran diskaun sebanyak 10 peratus juga diberikan kepada mereka yang membeli tiket awal iaitu dua minggu pertama mulai 30 September lalu. Harga tiket untuk Malam Konsert Amal pada Sabtu, 14 November 2009 adalah dari RM83 hingga RM383. Sementara itu, tiket untuk Malam Gala Amal di-Raja pada Ahad, 15 November 2009 pula berharga dari RM100 hingga RM1,200.
Bagi pemegang kad Visa Platinum, Infinite dan Signature pula, potongan diskaun sebanyak 20 peratus untuk pembelian sehingga empat tiket akan diberi jika pembelian dibuat dalam dua minggu pertama mulai 30 September lalu.
Tiket boleh didapati menerusi semua saluran Axcess. Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.axcess.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: