
SEMPENA Kejuaraan Motosikal Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang yang berlangsung dari 23 hingga 25 Oktober, satu konsert besar-besaran telah disediakan pihak penganjur khas buat penonton setia Moto GP. Konsert Moto GP yang membawa tema rock, membariskan penyanyi terkenal tanah air yang dipilih dari segi kualiti serta mempunyai pengikut yang tersendiri.
Antara penyanyi yang terlibat ialah ratu rock Malaysia siapa lagi kalau bukan Ella, kumpulan rock terkenal Jinbara dan kumpulan indie yang kini sedang mengadakan konsert jelajah pertama mereka, Hujan, turut meluangkan masa menghiburkan peminat sukan permotoran itu.
Bukan itu sahaja, penganjur Litar Antarabangsa Sepang turut membawa khas kumpulan terkenal dari Indonesia, Nidji bagi menambahkan lagi kehangatan konsert yang akan bermula pukul 4.30 petang esok.
Hari ini penonton juga dapat menyaksikan persembahan daripada penyanyi Rob Caudill yang membuat persembahan pada pukul 1.30 tengah hari. Penyanyi ini juga akan muncul pada pukul 2 petang esok.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Litar Antarabangsa Sepang, Ahmad Razlan Ahmad Razali, konsert itu diadakan untuk menghiburkan semua peminat setia Moto GP dan sebagai sambutan hari terakhir Moto GP. Malah, senarai penyanyi rock yang dipilih juga dianggap bertepatan dengan kehendak dan selera penonton masa kini.
"Proses pemilihan tidak sukar kerana kita telah menyenaraikan beberapa nama dan kita nilai dari segi kualiti serta selera peminat muzik. Jadi apabila tema rock dipilih, maka nama-nama seperti Hujan, Ella dan Jinbara muncul selain kumpulan Nidji yang kita tahu kehebatannya," ujar Ahmad Razlan.
Penyanyi yang semakin anggun, Ella memberitahu, dia tidak menolak untuk membuat persembahan pada konsert Moto GP kerana ia sebuah acara yang tinggi nilai komersial dan ditonton jutaan peminat selepas Formula One.
"Ditawarkan untuk terlibat dalam konsert ini, Ella rasa ia satu penghormatan dan peluang yang tidak patut dilepaskan. Tambahan jadual pun okey, barisan penyanyi semuanya rock, itu menyebabkan saya teruja dan tidak sabar untuk berdiri di pentas konsert.
"Saya harap ramai peminat yang datang kerana saya pasti akan membuatkan anda semua terhibur selepas puas menonton perlumbaan Moto GP pada tengah hari," ujarnya sambil tersenyum.
Begitu juga dengan kumpulan Jinbara yang menganggap tawaran untuk terlibat dalam konsert ini satu peluang keemasan memandang mereka sendiri amat meminati sukan permotoran.
"Kami band rock dan konsert pula sempena Moto GP kira sesuai sangat. Kalau ikutkan ramai peminat kami terdiri daripada orang yang gila motor, jadi Jinbara dan motosikal sangat sinonim. Terus terang kami semua pun minat motosikal dan suka sukan permotoran. Selain sebagai rezeki ia juga sebagai tanda sokongan kami pada sukan ini.
"Masa konsert kami diberi masa lebih kurang dalam 30 minit, jadi kami akan nyanyi lima buah lagu termasuk lagu popular dan lagu baru dari album Suara Kita," ujar vokalis Jinbara, Tia.
Kumpulan paling muda, Hujan, menjelaskan ketika tawaran dibuat kepada mereka secara kebetulan jadual mereka lapang dari segala aktiviti sedangkan ketika ini mereka sibuk dengan konsert jelajah.
"Memang kebetulan jadual kami okey, konsert berlangsung pada hari Ahad 25 Oktober dan kami akan balik dari konsert jelajah pada pagi Sabtu.
"Walaupun masa agak suntuk dan kami agak letih tetapi berdasarkan persembahan di konsert jelajah kami sebelum ini kami yakin mampu lakukannya yang terbaik," ujar vokalis Hujan, Noh.
Buat peminat yang ingin menyaksikan konsert Moto GP, tiket perlumbaan itu secara automatik melayakkan anda menyaksikan konsert artis terkenal secara percuma.
Tiket dijual pada harga RM80 (normal), RM200 (pakej keluarga) dan RM40 (pelajar). Bagi maklumat lanjut anda boleh layari laman sesawang www.sepangcircuit.com.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: