"Kalau album itu dapat terjual sebanyak 5,000 unit, kami akan menjualnya di kedai" – YOUK
MULA mendapat pendedahan arus perdana menerusi program realiti nyanyian terbitan Astro, Blastoff! 3 (2007), Bunkface tidak pernah berfikir untuk menjuarai pertandingan itu. Apa yang penting bagi Bunkface adalah pembabitan itu boleh memperkenalkan muzik mereka serta memeriahkan industri muzik tempatan.
Kini selepas dua tahun menjalankan tugas, Bunkface tampil lebih matang dan serius dalam pembikinan muzik. Walaupun hanya dalam masa yang singkat, kumpulan yang dianggotai oleh Sam (vokalis), Paan (gitar) dan Youk (bass) itu sudah kukuh dalam industri.
Lagu-lagu seperti Bunk Anthem, Situasi, Silly Lily, Revolusi dan Prom Queen tidak memerlukan pengenalan lagi. Menjadi kegilaan ramai terutama remaja, lagu terbaru Bunkface, Ekstravaganza kini sedang hangat dimainkan di corong ramai.
Maka, ramai yang mungkin tidak sedar bahawa Bunkface sebenarnya belum pernah ada album. Ini kerana kesemua lagu yang popular itu hanya diterbitkan secara single.
Namun, sebagai penyanyi, siapa yang tidak mahu memiliki album sendiri. Walaupun sedikit lewat, Bunkface akan menghadiahkan album pertama mereka sekitar bulan Disember nanti jika tiada aral melintang.
Diterbitkan bawah syarikat Bunkface Production yang ditubuhkan pada tahun 2007, album yang masih dalam proses rakaman akan memuatkan enam lagu Inggeris dan empat lagu Melayu.
Bagi percubaan pertama ini, lagu-lagu lama yang popular turut akan dimuatkan sama dalam naskhah itu. Tapi, ada sebabnya mengapa lebih banyak lagu Inggeris akan mengisi album itu.
Kata Paan, "Kami pergi ke Australia bukan sahaja untuk membuat persembahan tetapi juga mahu menyebarkan muzik kami di sana. Kami mahu mencari pasaran baru.
"Jadi untuk melebarkan sayap ke luar negara, kami memerlukan lebih banyak lagu Inggeris. Impian pertama kami sekarang adalah menjajah negara Asia Tenggara dahulu."
Menerima sambutan baik semasa melawat Indonesia Julai lalu, Bunkface menyatakan mereka mula mencari material lagu sejak tahun lalu lagi.
Namun, kebanyakan lagu yang diisi merupakan hasil tangan Sam. "Kami masih mengekalkan genre pop punk. Ada beberapa lagu lagi yang belum dirakamkan walaupun kami memulakan rakaman sejak November 2008," jelas Youk ketika ditemui pada sidang media Parti X-klusif One Drop Perfumes bersama XFM.
Mengambil inisiatif yang sama seperti kebanyakan artis sekarang, Bunkface juga akan menjalankan promosi jelajah semasa melancarkan album mereka nanti.
"Nanti bila kami hendak lancar album, kami akan melawat setiap negeri. Di situ kami akan melancar serta menjual dan bertemu dengan peminat kami.
"Dalam perancangan awal, kami mahu memberikan fokus kepada pasaran Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Ramai peminat dari Sabah dan Sarawak meninggalkan komen kepada kami dan meminta kami melawat mereka," kata Youk mengenai kumpulan mereka yang pernah menyertai Rock The World 2008.
Tidak menggunakan syarikat muzik lain untuk mengedarkan album mereka, Bunkface akan menjual album mereka semasa menjalan promosi jelajah nanti.
"Pada mulanya, kami ingin jual sendiri dahulu. Tapi kalau album itu dapat terjual sebanyak 5,000 unit, kami akan menjualnya di kedai. Jadi, masa itu baru kami akan mencari pengedar," tambah Youk.
Beraksi di Australia dan Maldives
Menjadi Pemenang Anugerah Utama Shout! Awards anjuran 8TV pada Julai lalu, Bunkface diberi pengiktirafan oleh pihak One Movement For Music Perth (OMFM) untuk membuat persembahan di Perth, Australia pada 16 hingga 18 Oktober lalu.
Membuat persembahan selama 30 minit dengan dendangan lima buah lagu, Bunckface teruja kerana mereka dipilih sendiri oleh pihak penganjur.
Ini kerana festival OMFM menjadi medan bagi Bunkface memperkenalkan keunikan serta jiwa segar muzik Malaysia.
"Kami teruja dan bangga kerana dipilih untuk menyertai festival yang disaksikan oleh jutaan penonton dari seluruh dunia. Apa yang menyeronokkan, pentas persembahan itu dikongsi oleh lebih 80 artis dari negara berlainan," kata Sam.
Selain Perth, Australia, Bunkface sebelum itu sepatutnya dijadualkan untuk membuat persembahan di Maldives tetapi lawatan itu telah ditangguh.
"Kami sebenarnya dijadualkan untuk beraksi di Maldives sekitar September. Tapi disebabkan ribut taufan dan tsunami, pertandingan Breakout Festival itu ditunda ke bulan November nanti," jelas Youk.
Cerita Parti X-klusif One Drop
Bukan sahaja diundang untuk membuat persembahan di negara luar, Bunkface juga sering dijemput untuk menceriakan majlis atau konsert tempatan.
Pada 7 November nanti, Bunkface bersama Pop Shuvit, Hujan, Altimet, Pesawat dan Stonebay akan menghiburkan peminat di Impiana Cherating, Pahang untuk Parti X-klusif One Drop Perfumes bersama XFM.
"Kesemua pemuzik yang terlibat berasa teruja kerana mereka selalu membuat persembahan dalam keadaan sesak. Jadi kali ini mereka boleh bermesra dengan peminat mereka.
"Apa yang menarik, mereka akan membuat persembahan di tepi pantai secara santai," kata Pengurus Rancangan XFM, Adly Syairi Ramly.
Parti itu hanya akan dihadiri 25 pendengar XFM (dengan membawa seorang teman) dan 50 pengguna One Drop Perfumes juga akan dipilih untuk sertai sama.
Pendengar XFM yang berminat perlu menyertai peraduan yang akan diadakan dari 26 Oktober hingga 2 November nanti.
"Kami mahu menjadikan parti ini eksklusif seperti satu percutian. Selain daripada persembahan, banyak aktiviti yang boleh dilakukan.
"Selain daripada pemuzik, kami juga ada menjemput artis, atlet sukan ekstrem dan penulis blog untuk bersama kami," tambah Adly Syairi Ramly.
Untuk keterangan lanjut sila layari laman web www.xfm.com.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: